Balotelli Tumbuk Rakan Sepasukan Gara-Gara Bengang Dikeluarkan Awal

Pemain yang tidak pernah padam daripada cerita sensasi, Mario Balotelli, sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila dia melepaskan geram dengan menumbuk rakan sepasukan selepas tidak berpuas hati dikeluarkan pada minit ke-56 dalam perlawanan antara pasukan yang diwakilinya, Andana Demirspor menentang Konyaspor.

Dalam perlawanan tersebut, ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan, Demirspor terdesak untuk mencari gol bagi mendapatkan kemenangan pertama mereka pada musim ini dan ketika perlawanan hampir memasuki detik satu jam, pengurus pasukan Samet Aybaba telah bercadang untuk melakukan sedikit perubahan di dalam pasukan.

Dia kemudiannya bertindak mengeluarkan Balotelli, yang masih belum menjaringkan sebarang gol pada musim ini, dan ternyata bekas pemain pasukan kebangsaan Itali itu tidak gembira dengan keputusan Aybaba.

Sebaik duduk di bangku simpanan, Balotelli kelihatan membebel panjang – tak pasti dia bebel dalam bahasa apa, Turki atau Itali atau Inggeris – dan pada masa yang sama dia dilihat membaling pelitup keting sambil menjerit kepada rakan sepasukan dan jurulatih.

Dia kemudiannya menunjal-nunjal kakinya ke tanah sebelum bertindak menumbuk rakan sepasukan yang berada di sebelahnya. Yang peliknya, rakan Balotelli tu seperti tiada perasaan langsung.

Dia hanya merenung Balotelli dan pasrah ketika tumbukan dihayun ke bahunya. Mungkin dia sedang cuba memahami apa yang dikatakan oleh Balotelli ketika itu.

Tidak lama selepas Balotelli dikeluarkan, Demirspor berjaya menjaringkan gol selepas bekas pemain Nottingham Forest dan Middlesborough, Brii Assombalonga berjaya meletakkan bola di dalam gol lawan menerusi tandukan tajam di dalam kotak penalti.

Ketika perlawanan berbaki tujuh minit sebelum tamat, impian Demirspor untuk meraih kemenangan pertama hancur berkecai apabila Abdulkerim Bardakci berjaya menyamakan kedudukan buat Konyaspor selepas menolak bola tanpa dikawal dalam kotak enam ela di dalam kotak penalti lawan, hasil hantaran lintang daripada tendangan sudut.

Keputusan ini meletakkan Demispor di tangga ke-14 selepas tiga perlawanan, dengan dua mata manakala Konyaspor gah bersama geng kayangan di tangga kedua di belakang Besiktas, selepas berjaya mengutip tujuh mata.

Selepas ini Balotelli dan rakan-rakan bakal bertemu pasukan Fatih Karagumruk di tempat lawan pada 12 September 2021.

Balotelli boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang tidak hiraukan dan tidak takut apa-apa di sekelilingnya. Bekas rakan sepasukan di Manchester City, Micah Richars, pernah berkongsi di mana pemain ini adalah sangat sinonim dengan hukuman denda.

Richards menyatakan bahawa Balotelli adalah penyumbang terbesar dalam tabung denda pasukan tersebut hanya kerana datang lambat.

“Semua nampak macam satu perkara biasa. Balotelli memang selalu lambat.

“Kami pernah bagi kesemua duit (denda) kami kepada badan kebajikan dan menjelang Hari Krismas, kami dapat kumpul £100,000 atau £150,000 dan semuanya daripada Balotelli,” ujar Richards kepada Radio Five Live BBC.

“Kadang, dia ada je di bangunan kelab.

“Katakan kami ada mesyuarat di tingkat atas, dia ada je di bawah tengah bersenang-lenang.

“Dia akan masuk mesyuarat tu tapi dengan sikap ala kadar,” tambahnya lagi.

Pada tahun 2010, Balotelli muncul sebahagian daripada sejarah pasukan Inter Milan di mana mereka berjaya memenangi kejuaraan trebel dalam satu musim. Pada musim tersebut, ketika pasukan gergasi Itali itu di bawah kendalian Jose Mourinho, mereka telah memenangi Serie A, Coppa Italia dan juga Liga Juara-Juara UEFA.

Dalam satu perlawanan menentang kelab dari Russia, Rubin Kazan, Inter ketika menghadapi masalah di mana kesemua penyerang mereka sedang mengalami kecederaan, dan hanya Balotelli sahaja yang tinggal untuk dimainkan.

Pada separuh masa pertama, Balotelli telah dilayangkan kad kuning dan sebaik masa rehat bermula, Jose telah menghabiskan 14 minit daripada 15 minit waktu dibenarkan hanya untuk memberi ceramah kepada Balotelli.

“Aku ingat lagi satu malam di Kazan. Kami pergi ke Kazan dalam Liga Juara-Juara dan kesemua penyerang aku ada tengah cedera.

“Tiada Milito, tiada Eto’o, aku memang resah dan Mario je yang ada.

“Mario dapat kad kuning pada minit ke-42,43. Jadi bila masuk ke bilik persalinan pada waktu rehat, aku habiskan masa 14 minit daripada 15 tu untuk bercakap dengan Mario je.

“Mario aku tak boleh ubah kau. Aku tak boleh buat pertukaran. Aku tak ada penyerang di bangku simpanan. Jangan sentuh sesiapa. Main bola je. Bila hilang bola jangan bertindak. Kalau orang provoke kau, jangan bertindak. Kalau pengadil buat silap, jangan bertindak. Mario, tolonglah.

“Minit ke-46, kad merah!” ujar Mourinho panjang lebar. – SportBIBLE, GMS, sportBIBLE

BACA:  Balotelli Menganjing Pengurus Pasukan Lawan Yang Pernah Anggap Beliau Tiada Otak