Bapa di Penjara, Kenali Nenek Yang Menjadi Watak Utama Membesarkan Kalvin Phillips Sehingga Menjadi Pemain Utama England

Suasana di sebahagian tempat duduk keluarga pemain di Stadium Wembley bagaikan berada di tanah perkuburan, berbanding penyokong di bahagian lain yang bersorak kuat, ketika perlawanan pertama England di Euro menentang Croatia.

Kesemuanya berdebar, menantikan perlawanan pertama di kejohanan sebesar Euro buat kali pertama buat Kalvin Phillips – anak kesayangan keluarga.

Namun sebaik wisel penamat dibunyikan, wajah mereka jelas terpancar sinar keceriaan dan kelegaan selepas Phillips dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, dan dihujani pelbagai pujian di atas persembahan yang bertenaganya tersebut.

Namun apa yang menarik perhatian adalah bila mana bekas penyerang England, Ian Wright, menciap di Twitter;

“Nenek Val sedang melihat dengan senyuman yang paling lebar.”

Siapa Nenek Val?

Mungkin ramai yang tidak mengenali Valerie Crosby atau lebih mesra dipanggil Nenek Val. Dia adalah inspirasi besar kepada Kalvin Phillips, ketua kepada satu keluarga yang besar tetapi sangat rapat dan bahagia.

Pernah suatu ketika, tatkala pemain tengah ini sedang membuak-buak ingin menerima lamaran perpindahan besar ke Aston Villa yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2019, Nenek Val adalah insan yang menghalang Phillips.

Menerusi satu dokumentari di Amazon Prime, Take Us Home, ketika dia menemani cucu kesayangannya menandatangani kontrak baru bersama Leeds United, Nenek Val berkongsi perasaanya pada ketika itu.

“Saya jadi macam ni,” katanya, sambil menunjukkan tangannya yang menggigil.

“Ada orang cakap dia (Phillips) mungkin akan pindah. Saya pun cakap kat dia, ‘Ya ampun.’

“Lepas tu dia jawab, ‘Nenek kena jual rumah dan ikut saya pindah’.

“Saya ada banyak sangat benda nak ditinggalkan. Kalau saya tinggalkan Leeds, saya ada 23 orang cucu, 23 orang cicit dan saya ada cicit piut piat miat oneng-oneng yang nak keluar, jadi memang tak elok kalau saya pindah.”

Phillips turut berkongsi detik tersebut dalam satu temubual dengan Wright untuk Football Focus di BBC, detik ketika dia memberitahu Nenek Val tentang pasukan Aston Villa yang berminat untuk mendapatkannya.

“Ooh Nooo. Kau jangan buat cenggitu,” ujar nenek kesayangannya, lantas Phillips meminta penjelasan kerana memang impiannya untuk bermain di EPL.

“‘Kau dah duduk di Leeds selama 10 tahun dah. Sikit lagi nak naik. Kenapa tak cuba sekali je lagi untuk cuba naik dan cuba buat benda yang buatkan penyokong Leeds dan keluarga kau tak akan lupa. Duduk je sini!” Jawab sang nenek.

Kesudahannya?

Phillips kekal bersama Leeds, tandatangani kontrak baharu selama lima tahun dan memberikan segalanya dan membantu Leeds naik ke EPL buat kali pertama selepas terjerumus ke liga bawahan selama hampir 20 tahun.

Bagi penyokong Leeds pula, Phillips adalah salah seorang watak utama dalam peningkatan mendadak pasukan di bawah kendalian Marcelo Bielsa, dan Nenek Val adalah insan yang sangat penting di belakangnya, dan disebabkan itu, Nenek Val turut dikenali ramai penyokong Leeds dan diraikan bersama.

Phillips Membesar Tanpa Ayah

Ketika Phillips masih kecil, ibunya, Lindsay terpaksa melakukan dua kerja – salah satunya di kedai pizza, demi memastikan Kalvin Phillips, abang dan dua adik perempuannya cukup makan, walaupun dia sering terpaksa mengikat perut menahan lapar. Lebih menyentuh perasaan lagi, Lindsay sanggup tidur di atas sofa kerana katil diberikan kepada semua anak-anaknya, dengan harapan mereka dapat tidur dengan lena dan selesa.

Ayah Phillips?

Keluar masuk penjara kerana pelbagai kesalahan – pergaduhan, dadah dan banyak lagi.

Memandangkan ibunya cukup sibuk mencari nafkah buat keluarga, Nenek Val adalah orang yang banyak membantu perkembangan Phillips di mana dia telah menghantar pemain Leeds tersebut ke padang latihan dan menghadiri setiap perlawanan, seperti yang dikongsi oleh Lucy Ward, ketua di Bahagian Pendidikan dan Kebajikan Akademi Leeds United.

Lucy mula mengenali Phillips sejak pemain tersebut berusia 14 tahun lagi, dan dia cukup kagum dengan pemain yang dipanggil Kal tersebut.

“Ada budak yang telah menjadi sebahagian daripada akademi sejak diorang berusia enam, tujuh, lapan tahun lagi dan apabila diorang dah masuk umur 16, ada tekanan sikitlah sebab diorang taknak dilepaskan kelab.

“Kal bukan macam tu. Dia masuk pada usia 14 tahun dan dia telah bermain bola sepak di kawasan kejiranan dan dia suka sangat, jadi dia bukanlah macam budak akademi yang biasa.

“Dia masuk dan kita boleh nampak yang dia ni macam, ‘Wow, impian aku tercapai. Tak terfikir aku boleh masuk Leeds United’.

“Setiap hari dia muncul di akademi, macam hari jadi dia!

“Saya banyak jumpa orang yang ada wanita besi di dalam hidup mereka. Kadang-kadang si ibu. Selalunya ibu tunggal lah, kan.

“Tapi dalam hidup Kal ada dua wanita hebat – ibu tunggal dan nenek. Ibu dia Lindsay dan Nenek Val adalah satu contoh teladan yang sangat baik dalam hidupnya. Mereka berdua pastikan dia dihormati dan tak pernah benarkan dia buat perangai tak elok.”

Lucy juga menjadi saksi betapa banyaknya kasih sayang seorang nenek dicurahkan kepada seorang cucu, sehingga mengambil alih tugas sang ibu dalam sesetengah perkara.

“Saya selalu nampak Nenek Val bawa Phillips ke latihan dan diorang bersesak-sesak di dalam kereta.

“Dia sangat hebat, neneknya tu. Dia ada di setiap perlawanan dan setiap sesi latihan. Dia minat sangat!

“Dia tak kisah guna perkataan yang kasar kalau dia perlu untuk marah cucunya, tapi dia tak perlu bertegas sangat sebab memang dia budak yang bagus hasil didikan keluarga.”

Kekuatan nurani ibunya, kasih sayang neneknya dan situasi bapanya menjadikan Phillips seorang lelaki yang kuat.

Detik Akhir Nenek Val

Pada bulan Februari 2021, Nenek Val tiba-tiba jatuh sakit, membuatkan Phillips sekeluarga dan penyokong Leeds United berasa sangat sedih. Malah laman rasmi Twitter Leeds United turut menciap ucapan selamat kepada orang kuat di belakang pemain mereka.

“Seorang daripada penyokong setia kami tak berapa sihat sekarang ni. Kuatkan diri, Nenek Val!”

Pagi 18 Februari 2021 akan menjadi hari yang paling tidak dilupakan oleh Phillips dan keluarga.

Nenek Val telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 82 tahun, selepas tidak sihat selama beberapa hari.

Phillips memuatnaik satu hantaran di Instagram, berkongsi perasaannya pada waktu itu.

“Saya tak mampu nak luahkan dengan kata-kata siapa nenek buat saya dan keluarga – Ratu di hati kami. Saya sedar betapa beruntungnya saya ada nenek dalam hidup saya.”

Walaupun telah pergi selamanya, semangat dan kasih sayang Nenek Val kepada Phillips tetap mekar sampai ke hari ini. Dalam setiap perlawanan, kita akan nampak Phillips mendongak dan menunjukkan tangan ke langit, tanda seorang cucu yang tidak pernah lupa kasih sayang seorang nenek yang banyak berjasa dalam hidupnya.

Mengalir air mata teringat kan nenek, kan?

Cerita diolah dari : The Athletic

Baca Juga

Baca Juga