Barcelona Main 10 Orang? Tak Ada Hal, Raphinha Jadi Hero!

Keunggulan Barcelona, Main 10 Orang Pun Masih Boleh Menang

Pada perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara, Barcelona berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Benfica, walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan perlawanan. Nampaknya, pasukan Catalan ini bukan sahaja hebat mengawal bola tetapi juga pakar dalam mengawal situasi cemas!

Aksi Hebat di Separuh Masa Pertama

Seawal minit ke-12, Barcelona hampir mendapat gol pendahuluan namun penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin menunjukkan refleksi luar biasa melalui aksi penyelamat 3 kali berturut-turut termasuk dari Robert Lewandowski. Boleh dikatakan, Trubin seakan-akan mempunyai 6 tangan!

Namun, detik paling dramatik tiba pada minit ke-22. Vangelis Pavlidis berjaya melepasi barisan pertahanan tinggi Barcelona dan meluru ke arah gawang yang dikawal Wojciech Szczesny. Panik melihat ancaman itu, Pau Cubarsi membuat terjahan dari belakang yang menyebabkan pengadil Felix Zwayer tiada pilihan selain melayangkan kad merah. Tinggal 10 pemain? Barcelona beraksi dalam mod ‘Survivor’!

Gol Raphinha: Si Pemain Serba Boleh!

Benfica mendominasi permainan pada awal babak kedua tetapi Barcelona enggan mengalah. Minit ke-63, Raphinha menerima bola di kawasan lawan, berlari pantas seperti cheetah dan melepaskan rembatan padu dari jarak jauh. Bola terkena pemain pertahanan sebelum menerjah ke dalam jaring untuk menewaskan Trubin! Adakah itu kemahiran atau tuah? Ia tidak penting dan yang pasti Barcelona berada di hadapan.

Barcelona hampir terperangkap dengan keputusan penalti lewat perlawanan tetapi terselamat selepas keputusan VAR mengesahkan tiada pebalti. Nampaknya, ‘nasib baik’ juga merupakan salah satu taktik Barcelona.

Raphinha: Wira Barcelona?

Kalau Barcelona diibaratkan seperti sebuah kapal maka Raphinha adalah enjin yang menggerakkannya. Sepanjang perlawanan, pemain berusia 28 tahun itu beraksi sebagai sayap kiri, sayap kanan malah wing-back kanan. Seakan-akan dia mempunyai klon di atas padang.

Pada babak pertama, dia lebih banyak bertahan kerana Barcelona kekurangan pemain. Namun, sebaik sahaja berpindah ke bahagian kanan selepas Yamal dikeluarkan, dia segera menjadi duri dalam daging untuk Benfica. Satu kesilapan hantaran oleh Antonio Silva dihukum dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang membolosi gawang Benfica. Lebih manis, itu merupakan gol ketiganya ke atas Benfica untuk musim ini.

Bukan sahaja berbisa di hadapan gol, Raphinha turut bertahan dengan cemerlang, membantu Jules Kounde mengawal Alvaro Fernandez Carreras yang akhirnya menerima kad kuning dan bakal terlepas aksi timbal balik. Seorang pemain dengan pelbagai tugas, Raphinha sememangnya nadi utama Barcelona.

De Jong: Berbaloi atau Tidak?

Salah satu keputusan besar Hansi Flick sebelum perlawanan ialah memilih Frenkie de Jong untuk mengetuai barisan tengah berbanding Marc Casado. Dengan lilitan kapten di lengan, De Jong membuktikan bahawa kepercayaan itu tidak sia-sia.

Pada awal perlawanan, dia sering turun ke bawah untuk membantu membina serangan malah sempat melepasi 2 pemain Benfica dengan cara yang cukup bergaya. Tapi selepas Cubarsi dibuang padang, dia terpaksa mengerah tenaga lebih untuk bertahan.

Walaupun Barcelona bermain dengan 10 pemain, De Jong tetap berani membawa bola ke hadapan dan hampir mencipta peluang keemasan untuk Raphinha sebelum tamat separuh masa pertama. Sungguhpun pernah dianggap sebagai pembelian yang gagal kerana harganya yang mencecah €86 juta, De Jong membuktikan malam itu dia masih mempunyai magis tersendiri!

Szczesny: Dari Marbella ke Barcelona, Kini Wira Gawang!

Szczesny baru sahaja menyertai Barcelona dalam jendela perpindahan Januari dan debut Liga Juara-Juaranya dulu tidak begitu mengagumkan. Dua dibolosi 4 kali. Namun, sejak itu Barcelona tidak pernah tewas dalam 14 perlawanan berturut-turut.

Dalam aksi ini, Szczesny menampilkan persembahan terbaiknya dalam jersi Barcelona. Seawal 18 saat permainan bermula, dia sudah diuji dengan rembatan padu dari Kerem Akturkoglu dan dia berjaya menepisnya dengan cemerlang. Sepanjang perlawanan, dia berulang kali menyelamatkan percubaan berbahaya daripada Benfica termasuk daripada Fredrik Aursnes dan Orkun Kokcu.

Terdapat saat cemas apabila Benfica dianugerahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan tetapi nasib menyebelahi Barcelona apabila ada pemain Benfica didapati berada dalam posisi ofsaid. Lega! Szczesny menamatkan perlawanan dengan 8 aksi penyelamatan penting. Dia benar-benar menjadi tembok kebal di hadapan gawang.

Barcelona Berjuang Hingga Akhir

Selepas Cubarsi dilayangkan kad merah, Flick segera membuat pertukaran taktikal dengan membawa masuk Ronald Araujo untuk menggantikan Dani Olmo. Strategi itu menyebabkan Lewandowski terpaksa beraksi secara sendirian di hadapan tetapi Barcelona tetap berbahaya menerusi serangan balas pantas.

Pedri menjadi jantung kreativiti pasukan, menggerakkan bola dengan bijak sambil berulang kali mencipta peluang. De Jong, walaupun terpaksa berlari lebih banyak tetapi dia masih mampu mengekalkan ketenangan di tengah padang.

Di bahagian pertahanan, Araujo dan Inigo Martinez melakukan tugas berat dengan penuh disiplin, walaupun kedua-duanya telah menerima kad kuning. Dengan Szczesny sebagai benteng terakhir yang sukar ditembusi, Barcelona bertahan dengan penuh keberanian.

Kesimpulan

Kemenangan ini bukan sahaja memberikan kelebihan buat Barcelona menjelang aksi timbal balik malah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing walaupun dalam keadaan sukar. Dengan pertahanan yang lebih kukuh, jentera serangan yang lebih tajam dan semangat juang yang tidak mudah luntur, Barcelona kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mara ke suku akhir.

Seperti yang dikatakan oleh Hansi Flick dalam temu bual selepas perlawanan,

“Saya sangat bangga. Dengan hanya 10 pemain, kami beraksi dengan hebat malam ini.” Dan sudah tentu, beliau turut memuji Szczesny dengan kata-kata, “Kami mempunyai penjaga gol yang bagus hari ini. Dia luar biasa!”

Bagi penyokong Barcelona, inilah satu malam yang pasti akan dikenang oleh mereka untuk satu tempoh yang lama.

BACA:  Andre Onana Berhutang Budi Dengan Abangnya Yang Pernah Beraksi Di Indonesia