Barcelona Perlu Singkirkan Salah Seorang Penandatanganan Terbaru Kelab Dari Skuad Europa League

Barcelona terpaksa mengetepikan salah seorang penandatanganan terbaru pada jendela perpindahan Januari ini dari skuad Europa League mereka.

Gergasi Catalan itu jelas sekali antara pasukan paling sibuk pada jendela perpindahan Januari ini, dengan mereka berjaya mendapatkan beberapa pemain untuk memperbaiki skuad sedia ada.

Dani Alves, Ferran Torres, Adama Traore dan Pierre Emerick Aubameyang merupakan antara pemain yang telah ditandatangani oleh Barcelona pada jendela perpindahan Januari ini.

Walau bagaimanapun, pengurus Barca, Xavi Hernandez kini terpaksa berdepan dengan dilemma baru dengan beliau tidak akan boleh mendaftarkan salah seorang penandatanganan terbaru kelab itu ke dalam skuad Europa League.

Barca tersingkir dari saingan Champions League dan buat pertama kalinya mereka bakal beraksi di kejohanan Europa League atau sebelum ini dikenali sebagai UEFA Cup sejak dari tahun 2004 yang lalu.

Peraturan UEFA telah menetapkan yang hanya tiga penandatanganan pada jendela perpindahan Januari sahaja yang akan dibenarkan untuk didaftarkan ke daam skuad mereka.

Yang membimbangkan Barcelona pada ketika ini adalah mereka tidak mempunyai waktu yang cukup untuk memutuskan siapa yang perlu diketepikan sebelum tarikh tutup pendaftaran esok.

Barca perlu menyediakan skuad terbaiknya pada aksi kalah mati saingan Europa League musim ini nanti dengan mereka telah diundi untuk bertemu Napoli.

Pemain muda, Ez Abde dan Ferran Jutgla turut tidak boleh didaftarkan dalam skuad Europa League kerana salah seorang dari mereka perlu didaftarkan dalam senarai B.

Menurut laporan dari AS, antara Traore dan Aubameyang salah seorang dari mereka akan disingkirkan dari skuad Europa League memandangkan mereka dua pemain terakhir yang didaftarkan.

Kedua-dua mereka juga mungkin akan disingkirkan dek kerana Barcelona sudah memiliki barisan jentera serangan yang ramai dan tidak ada masalah untuk Xavi hilang salah seorang dari Adama Traore dan Pierre Emerick Aubameyang.

Pemain kebangsaan Gabon itu telah ditandatangani oleh Barcelona pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Urusan penandatanganan beliau berjaya diselesaikan selepas Arsenal bersetuju untuk membatalkan kontraknya dan selesai urusan tersebut, Barcelona segera menandatangani Aubameyang.

Kedua-dua kelab masih belum mengumumkan penandatanganan tersebut, namun Aubameyang dilihat sudah mula menyertai sesi latihan bersama kelab barunya itu.

Aubameyang sememangnya sudah tidak mendapat tempat dalam skuad Arsenal dan kerana itulah The Gunners tak ada masalah untuk melepaskannya menyertai Barcelona.

Tidak dinafikan yang gergasi Catalan itu nampak lebih meyakinkan selepas berjaya melengkapkan beberapa penandatanganan terbaru mereka.

Harus diakui skuad mereka pada ketika ini sudah sangat mantap dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap yang mereka bakal menjadi antara pasukan kegemaran untuk menjuarai saingan Europa League musim ini.

Mereka memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat mendukacitakan namun selepas kelab diambil alih oleh Xavi Hernandez, mereka nampak jauh berubah dan sedang berada di landasan terbaik untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Kehadiran pemain-pemain baru jelas sekali bakal memberi impak yang positif dan Xavi sudah tentu akan memanfaatkan skuad mantap ini dengan membantu Barcelona menjulang Piala.

Pimpinan kelab juga akan sangat berharap agar Xavi akan membimbing skuad hebat ini dengan baik dan membalas kepercayaan kelab kepadanya dengan membawa pulang kejuaraan.

Selain menyasarkan gelaran Europa League, Xavi juga akan berusaha sehabis mampu beliau untuk membantu Barcelona mengakhiri saingan La Liga musim ini dikelompok empat teratas.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Koeman Tolak Rayuan Barca, Mintak Kurang Bayaran Pampasan