Barcelona Sedia Heret Pemain Sendiri Ke Mahkamah

Barcelona dilaporkan bersedia untuk mengheret pemain mereka sendiri ke mahkamah jika ada kalangan mereka yang menolak untuk menerima cadangan pemotongan gaji.

Terdapat segelintir pemain Barca yang menolak untuk menerima pemotongan gaji menjelang bermulanya musim baharu ini dan pihak kelab tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Masalah kewangan Barca dilaporkan berada di tahap yang agak teruk pada ketika ini, dan pihak kelab baru-baru ini telah memberi amaran kepada para pemain yang gaji mereka semua akan dipotong.

Presiden La Liga, Javier Tebas telah memberi amaran bahawa jika Barca tidak melakukan hal tersebut, maka mereka tidak akan dibenarkan untuk menandatangani penandatanganan terbaru seperti Sergio Aguero, Memphis Depay dan Eric Garcia.

Menurut laporan sama juga, Lionel Messi secara terbuka sudah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji, dengan 50% dari gaji asalnya akan dikurangkan.

Walau Messi telah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji dalam rundingan kontrak barunya, namun keadaan ekonomi kelab pada ketika ini telah menangguhkan lagi tempoh urusan tersebut.

Pengurangan gaji Messi seorang diri tidak cukup untuk menyelamatkan keadaan dengan pihak kelab mahu memotong gaji lebih ramai pemain mereka sebelum 15 Ogos ini.

Tarikh tutup untuk mereka lakukan itu adalah pada minggu yang mana akan bermulanya aksi saingan La Liga musim 2021/22.

Pemain terhebat sepanjang zaman Barcelona

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, pihak kelab telah memberi amaran kepada sesiapa sahaja pemain yang menolak pengurangan gaji, maka tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

Akhbar tempatan Sepanyol itu turut menyatakan yang pemain seperti Gerard Pique, Sergio Busquets dan Sergi Roberto kesemuanya sudah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji mereka.

Jordi Alba dinamakan sebagai salah seorang pemain berpengalaman yang menolak untuk menerima pemotongan gaji dan mahu tetap menuntut jumlah seperti yang tertulis dalam kontraknya.

Hal itu sedikit mengejutkan Presiden kelab, Joan Laporta memandangkan hubungan beliau dengan Jordi Alba adalah sangat baik.

Laporta dilaporkan sangat berharap kesudian Messi untuk menerima pemotongan gaji akan memberi dorongan kepada semua pemain lain untuk mengikuti jejak langkahnya.

Beliau juga berharap para pemain akan sudi untuk menerima pemotongan gaji tersebut walau tidak sebanyak seperti yang dilakukan oleh Messi.

Tindakan apa yang sebenarnya akan diambil oleh pihak kelab atau bagaimana keberhasilan dari tindakan undang-undang yang mahu mereka ambil masih belum didedahkan dalam laporan tersebut.

Namun begitu, agak tidak menarik untuk melihat sebuah kelab seperti Barcelona perlu sampai melakukan tindakan mengugut para pemain mereka berkait hal pengurangan gaji.

Ia kerana pihak kelab sebelum ini sudah memotong gaji para pemain mereka ketika awal wabak pandemik melanda dunia, dan kini mereka mahu sekali lagi melakukan hal sama dengan cara paksaan.

Selain mahu mengurangkan gaji para pemain, pihak kelab juga turut berusaha untuk melepaskan beberapa pemain mereka keluar sebelum bermulanya musim baharu nanti.

Antoine Griezmann dilaporkan menjadi antara nama yang akan dilepaskan oleh pihak kelab dengan masa depannya bersama pihak kelab ketika ini masih samar-samar.

Pihak kelab dilaporkan sedang berunding dengan Atletico Madrid dalam usaha untuk membuat pertukaran pemain, dengan Griezmann akan dihantar untuk sertai bekas kelabnya itu.

Clement Lenglet, Sergio Dest dan Samuel Umtiti merupakan antara tiga lagi nama besar yang mahu dilepaskan oleh Barcelona dalam kadar segera.

Mirlam Pjanic yang baru sahaja ditandatangani pada jendela perpindahan musim panas lalu turut diletakkan untuk dijual pada musim panas ini.

Barca hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk selesaikan masalah tersebut sebelum mereka mendaftarkan nama-nama penandatanganan terbaru skuad bagi menghadapi musim baru nanti.

Selain para pemain tak sudi beri kerjasama, Barca juga berdepan dengan masalah yang mana pemain mereka tak laku, seperti Umtiti yang telah pihak kelab offer ke pelbagai pasukan, namun tak ada yang berminat.

Pengurusan kelab harus lakukan sesuatu untuk pastikan mereka mampu selesaikan masalah ini dan akan mampu untuk daftarkan penandatanganan terbaru serta Messi sendiri sebelum 15 Ogos nanti.

Sumber: SB

BACA:  Manchester United Cipta Kebangkitan Sensasi Untuk Tendang Barcelona