Baru Tujuh Bulan Bersama Roma, Mourinho Sudah Berunding Untuk Urus Pasukan Lain

Jose Mourinho baru sahaja tujuh bulan menjadi pengurus AS Roma, namun sudah ada laporan yang menyatakan beliau sudah mengadakan rundingan tentang tawaran bersama pasukan lain.

Pengurus dari Portugal itu telah dipecat oleh Tottenham Hotspur menjelang akhir musim lalu, yang mana pada ketika itu kurang seminggu sahaja sebelum Mourinho sepatutnya membantu Spurs memenangi Piala pertama mereka sejak 13 tahun yang lalu.

Beliau berjaya membawa Tottenham Hotspur mara ke aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup, namun beliau tidak sempat untuk kendalikan Spurs dalam aksi perlawanan akhir kerana beliau sudah dipecat beberapa hari sebelum itu.

Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama pun untuk ditawarkan kerja di tempat yang baru, dengan Roma segera melakukan rundingan dengan Mourinho untuk menjadi pengurus mereka.

Jose Mourinho kemudiannya telah diumumkan sebagai pengurus AS Roma dan beliau memulakan tugasnya sebagai pengurus kelab pada musim baharu ini.

Sepanjang tempoh tujuh bulan bersama Roma, pelbagai perasaan yang sudah dinikmati oleh Mourinho, suka, duka, ketawa, gembira, menangis, terharu dan macam-macam lagi.

Kekalahan 6-1 di tangan Bodo dalam saingan Europa Conference League jelas sekali bakal menjadi detik hitam dan hal paling beliau tidak mahu kenang sepanjang kariernya bersama gergasi Serie A itu.

Beliau juga turut sempat bergaduh dengan media, melakukan pelbagai gaya viral di tepi padang, membelikan pemain mudanya sepasang kasut mewah dan macam-macam lagi kenangan indahnya di sana sepanjang tempoh tujuh bulan ini.

Walau bagaimanapun, beliau pada ketika ini dilaporkan sudah ditawarkan pekerjaan yang baru dan menurut satu laporan dari Itali, Mourinho sudah ditawarkan untuk menjadi pengurus skuad kebangsaan Nigeria.

Beliau dilaporkan sudah berunding dengan kem Nigeria, yang mahu mendapatkan khidmatnya menjelang bermulanya Piala benua Afrika yang akan dilangsungkan pada Januari nanti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Nigeria, Amaju Pinnick telah mengeluarkan dakwaan kepada media tempatan yang menyatakan bahawa, beliau sudah bercakap dengan pengurus berusia 58 tahun itu untuk menawarkan jawatan sebagai pengurus skuad kebangsaan Nigeria.

Beliau juga sudah memberitahu Mourinho yang mereka mahu menggunakan khidmatnya menjelang aksi Piala Benua Afrika yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

“Penekanan kepada jurulatih baharu adalah disiplin.”

Jelas Pinnick kepada Daily Trust.

“Kami juga melihat tentang bagaimana dahaganya dia untuk memenangi Piala kerana jika dia dahagakan kejayaan ia akan membantu dari pelbagai segi dan jika dia mahu menang dia perlu menerapkan disiplin yang kuat.”

“Sudah tentu Mourinho, saya tidak akan beritahu kamu kalau kami tidak bercakap dengan Mourinho kerana kami sudah bercakap dengan dia dan Menteri Sukan juga sudah bercakap dengan Mourinho dan tidak ada masalah tentang itu.”

Saingan Piala Benua Afrika akan bermula pada 9 Januari nanti di Cameroon, dengan kejohanan tersebut sebenarnya sudah ditangguhkan sejak Januari tahun lalu kerana dunia dilanda wabak pandemik.

Pengurus Nigeria sebelum ini, Gernot Rohr berjaya membawa Super Eagles layak beraksi di kejohanan AFCON dan turut cemerlang memimpin skuad untuk beraksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Walau bagaimanapun, beliau akhirnya diumumkan dipecat oleh pihak FA Nigeria dengan mereka pada ketika ini sedang dalam usaha untuk melantik pengurus skuad yang baharu.

Walau bagaimanapun, melihat kepada kesuntukkan masa yang diberi kepada Mourinho untuk menambah baik sesuatu semakin suntik, beliau sepertinya tidak mungkin akan meninggalkan Roma.

The Giallorossi pada ketika ini berada di kedudukan keenam dalam saingan Serie A selepas mengharungi 19 perlawanan.

Mereka berjaya mencatatkan 10 kemenangan dan turut berdepan dengan tujuh kekalahan sepanjang tempoh tersebut.

AS Roma juga pada ketika ini hanya enam mata sahaja berada di belakang Atalanta, dalam usaha mereka untuk merebut slot khas beraksi di pentas saingan Champions League musim hadapan.

Sementara bekas kelab Mourinho, Tottenham Hotspur pula, mereka secara rasminya telah pun tersingkir dari saingan Europa Conference League, dek kerana UEFA menganggap mereka menarik diri dari beraksi bertemu Rennes.

Oleh yang demikian, mustahil sudah untuk melihat Mourinho bertemu semula dengan Tottenham Hotspur di kejohanan Europa Conference League selepas ini kerana pasukan dari Premier League itu sudah tersingkir.

Seandainya Pinnick gagal untuk menemui pengurus baharu sebelum kejohanan itu bermula, maka pengurus interim, Augustine Eguavoen yang akan mengendalikan Nigeria untuk bertemu Égypt, Sudan dan Guinea Bissau di pusingan peringkat kumpulan Piala Benua Afrika.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kevin De Bruyne Ceritakan Pengalaman Beliau Ditolak Mourinho