Bayern Munich Ancam Tindakan Undang-Undang Terhadap Pihak Media

Bayern Munich menuduh pihak media tidak menghormati dan melanggar perlembagaan Jerman berikutan beberapa kritikan yang dilontarkan terhadap kelab tersebut sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bayern Munich mengharungi permulaan musim yang hambar musim ini dan kini tersadai di kedudukan ke-6 Bundesliga, 4 mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund.

Rummenigge berkata pihak media di Jerman perlu mengikut perlembagaan Jerman dan menghormati hak asasi manusia ketika membuat laporan.

Ia merupakan situasi yang janggal buat Bayern Munich kerana pasukan tersebut sudah biasa menduduki tangga teratas liga, namun musim ini menyaksikan mereka sudah tewas sebanyak dua kali selepas mengharungi 7 perlawanan.

Untuk rekod, Bayern Munich merupakan juara Bundesliga bagi 6 musim yang terakhir namun musim ini mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dari 4 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Prestasi tidak menentu Bayern Munich menyebabkan kelab tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak, terutamanya pengurus pasukan Niko Kovac.

Disebabkan perkara tersebut, Bayern Munich memanggil para wartawan untuk menghadiri satu sidang media luar biasa yang berlangsung malam tadi. Antara individu terkemuka yang hadir termasuklah Niko Kovac, Karl-Heinz Rummenigge (pengerusi kelab) and Uli Hoeness (presiden kelab).

“Sudah sampai masanya kelab terbesar di Jerman membuat pendirian dalam isu ini [kritikan pedas dari pihak media sejak kebelakangan ini].” Ujar Hoeness.

Kedudukan Bayern selepas 7 perlawanan. Merudum tapi masih lagi mampu diselamatkan.

“Kami tidak akan menerima laporan dan liputan berita dari pihak media mengenai perkara ini lagi.” Tambah Rummenigga sambil berkata Bayern Munich bersedia membawa isu ini ke mahkamah jika keadaan ini berterusan.

Kovac mengambil alih teraju pasukan dari Jupp Heynckes yang dipanggil pada pertengahan musim lalu untuk menguruskan Bayern Munich dari Carlo Ancelotti. Kovac berjaya memenangi 4 perlawanan pertama beliau namun keadaan mula berubah tidak lama kemudian.

Berikutan prestasi hambar Bayern Munich sejak kebelakangan ini, beberapa pemain utama pasukan seperti Jerome Boateng dan Manuel Neuer menerima kecaman teruk dari pihak media atas prestasi bersama kelab dan jua ketika mewakili Jerman.

“Kami duduk berbincang pada hari Isnin lalu selepas perlawanan antarabangsa di antara Jerman dan Netherlands dan mengambil keputusan untuk tidak menerima lagi gaya kewartawanan macam ni.”

“Apa yang kami baca di surat khabar sejak kebelakangan ini sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan prestasi pemain itu sendiri, tetapi serangan terhadap individu. Hari ini kami mahu melindungi pemain, jurulatih, dan juga kelab ini.”

“Hari ini juga sangat penting kerana kami ingin memberitahu kamu [pihak media] yang kami tidak akan menerima lagi berita berunsurkan penghinaan terhadap kelab ini.”

Ribery dan Robben dikritik kerana usia mereka yang terlalu tua untuk bermain dengan Bayern Munich

“Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan serangan yang ditujukan kepada Manuel Neuer. Saya juga ingin meningatkan kepada kamu semua yang Neuer merupakan penjaga gol terbaik dunia sebanyak 4 kali.”

Rummenigge juga marah dengan kritikan pihak media terhadap Arjen Robben dan Frank Ribery yang dilabel sebagai pemain yang terlalu tua untuk beraksi dengan Bayern Munich.

“Sepanjang sedekat yang lalu, pemain-pemain ini telah membantu Bayern Munich menjadi salah sebuah kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak.”

BACA:  Bayern Munich Lantik Bekas Pemain Sebagai Pengurus Pasukan Yang Baru