Bayern Munich Yakin Lewandowski Tidak Akan Sertai Real Madrid

Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes berkata beliau tidak dapat bayangkan kelabnya akan menjual Robert Lewandowski musim panas nanti selepas pemain tersebut menukar ejen yang menguruskan karier bolasepaknya.

Tindakan penyerang antarabangsa Poland ini telah mengundang tanggapan yang beliau bersedia untuk meninggalkan Allianz Arena tidak lama lagi dengan Real Madrid dikaitkan sebagai destinasi beliau seterusnya.

Ke Real Madrid kah ?

Lewandowski menamatkan kerjasama beliau dengan Cezary Kucharski, ejen yang telah berkhidmat selama 10 tahun dengannya dan melantik ejen terkenal, Pini Zahavi sebagai individu yang bakal mengurus kariernya.

Zahavi merupakan ejen yang bertanggungjawab membantu Neymar berpindah ke Paris Saint-Germain dalam perjanjian rekod dunia bernilai €222juta. Terdapat spekulasi mengatakan tindakan Lewandowski menukar ejennya adalah kerana beliau mahu berpindah ke Sepanyol musim panas nanti.

Walaubagaimanapun, Heynckes tidak gusar dengan perkembangan tersebut dan menegaskan Bayern Munich bukan kelab yang menjual pemain bintangnya. Apabila diminta untuk mengulas tindakan Lewandowski menukar ejen yang baru, Heynckes berkata,

“Itu adalah tanggapan pihak media. Pada pendapat saya, tindakan pemain untuk menukar ejen adalah tidak salah. Saya tidak dapat memberikan sebab mengapa beliau berbuat demikian.”

“Tindakan Lewandowski tidak memberi sebarang makna kepada Bayern Munich berdasarkan pemahaman saya mengenai pegawai yang menguruskan Bayern Munich.”

“Bayern bukan kelab yang menjual pemain bintangnya. Pemain bintang di Bayern Munich kekal di Bayern Munich. Saya tidak dapat gambarkan Lewandowski mempunyai sebarang peluang untuk meninggalkan Bayern Munich.”

Lewandowski yang sentimental. Mungkin reunion di Anfield bakal berlaku?

Selain Real Madrid, bekas penyerang Dortmund ini juga telah dikaitkan dengan reunion dengan bos lamanya, Jurgen Klopp di Liverpool. Chelsea dan Manchester City juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun ini.

Dalam satu temuramah awal bulan ini, Lewandowski berkata Klopp merupakan pengurus yang bertanggungjawab mencorakkkan karier bolasepak beliau pada hari ini.

“Klopp merupakan pengurus yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan saya. Beliau juga memperbaiki teknik penyudah saya. Ketika saya baru tiba di Dortmund, penyudah saya tidak begitu bagus. Beliau memberitahu saya supaya memperbaiki penyudah dan menunjukkan bagaimana untuk melakukannya.”

Lewandowski menghabiskan majoriti karier bolasepaknya di Jerman sejak menyertai Borussia Dortmund pada tahun 2010 dari kelab Poland, Lech Poznan. Beliau bermain bersama Dortmund selama 4 musim sebelum mengambil keputusan untuk menyertai Bayern Munich pada tahun 2014.

BACA:  Roberto Carlos Tidak Fikir Panjang Tinggalkan Inter Milan Kerana Terkilan Tindakan Roy Hodgson