Bekas Bintang Schalke Bakal Dipenjara Kerana Memalsukan Kematiannya Sendiri

Salah seorang bekas pemain bola sepak kini sedang berdepan dengan hukuman penjara selama lebih dari 10 tahun, kerana didakwa memalsukan kematiannya sendiri.

Bekas bintang Schalke, Hiannick Kamba kini sedang dibicarakan atas pertuduhan memalsukan kematiannya sendiri, demi untuk memastikan isterinya mendapat pampasan insurans bernilai jutaan dollar.

Pada tahun 2016, ketika kariernya bersama kelab bawahan, VfB Huls, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Kamba telah meninggal dunia dengan penuh tragis.

Beliau dikatakan terkorban selepas terlibat dengan kemalangan ngeri di kampung halamannya di Congo dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah beliau juga dilaporkan telah disempurnakan di kampung halamannya dan tidak akan di bawa ke Jerman.

Pada ketika itu, para peminat sukan bola sepak seluruh dunia telah memberikan ucapan takziah dan kata-kata semangat kepada keluarganya kerana percaya yang beliau sudah betul-betul meninggal dunia.

Isteri mendiang (sekarang hidup balik) turut mendapat sokongan padu dari para penyokong dengan harapan agar beliau tidak begitu terkesan dengan berita kematian suaminya itu.

Walau bagaimanapun, empat tahun selepas itu, Kamba dengan tiba-tiba membuat kemunculan di Jerman, dalam keadaan masih bernyawa dan sihat walafiat.

Bijak bukan? Elok duduk kampung mengada balik Jerman, kan dah kena tangkap.

Melihat kepada kejanggalan dan keanehan itu, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan berkait hal kematian Kamba.

Pihak berkuasa mula curiga selepas melihat bekas isterinya, Christina telah menerima pampasan dari syarikat insurans bernilai enam angka atas kematian suaminya.

Bekas teman sehidup semati palsu beliau itu sebelum ini mendakwa yang beliau selayaknya untuk menerima pampasan insurans hayat suaminya, dengan menunjukkan bukti-bukti yang beliau miliki.

Selepas melihat kesemua bukti yang ada, syarikat insurans tersebut bersetuju untuk membayar pampasan bernilai jutaan dollar kepada keluar Kamba.

“Tertuduh muncul di kedutaan Jerman di Kinshasa dua tahun kemudian, dengan mendakwa dirinya telah diculik.”

Jelas jurucakap mahkamah, Thomas Kliegel kepada media Jerman.

Kini, selepas 12 bulan beliau ditemui semula dalam keadaan hidup di bandar Jerman, Gelsenkirchen, Kamba dan Christina telah dipanggil ke mahkamah.

Seandainya bekas pemain bola sepak itu didapati benar-benar bersalah dalam memalsukan kematiannya sendiri itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Peguam Christina, Michael Wolff menegaskan yang anak guamnya tidak bersalah dan benar-benar tidak sedar dengan semua hal yang berlaku.

“Kami sangat yakin yang di akhir perbicaraan nanti, kedua-dua pendakwa dan mahkamah akan yakin dengan anak guam saya yang dia tidak bersalah.”

Jelas Wolff.

“Duit itu masih ada, dan ia kini telah disita. Ia telah digunakan untuk melabur dalam perumahan dan ada yang dimasukkan ke dalam akaun.”

Perbuatan memalsukan kematian sendiri demi untuk menipu syarikat insurans bukanlah hal baru dalam kehidupan harian kita. Satu hal yang pasti, perbuatan tidak bermoral seperti ini tidak sepatutnya menjadi ikutan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lihat Aksi Penyelamatan Atas Garisan Tidak Masuk Akal Dari Hinteregger