Bekas Konduktor Bas Yang Berkelana Ke Eropah Demi Karier Bola Sepak

Di sebuah kampung yang terletak di Puerto Colombia, tinggal seorang anak muda berusia 20 tahun yang bercita-cita mengubah nasib keluarganya yang miskin. Pagi-pagi lagi Carlos Bacca sudah bangun daripada tidur dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Dengan pendapatan sebagai seorang konduktor bas dia menyara kehidupan diri dan keluarganya. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang pula terpaksa disimpan untuk hari esok. Kadang-kadang dia terpaksa menjadi nelayan untuk mencari rezeki.

Sumber: FootyRoom

Walaupun sibuk dengan kerja hakiki, minatnya terhadap sukan bola sepak masih terus utuh.

Impiannya bergelar seorang pemain bola sepak masih utuh walaupun menyedari  ramai pemain bola sepak yang seusia dengannya sudah pun berjaya mencipta nama sebagai wonderkid dalam kelab-kelab bola sepak utama dunia.

Langkah Pertama Bersama Athletico Junior

Akhirnya ada sedikit sinar untuk Bacca menempa nama dalam dunia bola sepak apabila terpilih untuk menyertai kelab Athletico Junior pada tahun 2006. Namun langit tidak selalu cerah. Bacca jarang mendapat peluang untuk bermain pada musim pertamanya bersama Junior.

Dia telah dipinjamkan ke kelab Barranquilla FC dan kelab yang berpangkalan di Venezuela, Minerven sebelum kembali dalam skuad senior di Athletico Junior pada usia 23 tahun.

Tempoh bersama kelab pinjaman digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman. Bacca berjaya menunjukkan ketajamannya di depan gawang gol lawan dengan jaringan demi jaringan.

Dia berjaya membantu Junior menjadi juara Categoría Primera A untuk dua musim berturut-turut. Selain itu dia juga berjaya menjadi penjaring terbanyak liga untuk dua musim tersebut.

Berhijrah Ke Eropah Demi Karier

Prestasi Bacca ketika itu telah menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya. Pada tahun 2012, dia telah berhijrah ke Belgium untuk bersama-sama Club Brugge. Beberapa bulan pertama Bacca masih bergelut untuk menyesuaikan dengan persekitaran baru dan jarang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Selepas penghijrahan pemain Nigeria, Joseph Akpala ke Werder Bremen, Bacca memperoleh lebih banyak peluang untuk bermain dan dia memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya.

Dia umpama mesin cetak gol untuk Club Brugge dan berjaya menjadi penjaring terbanyak dan dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Liga Belgium pada musim 2012/2013.

Pada penghujung musim tersebut, Bacca menyatakan untuk berhijrah ke kelab lain demi masa depan karier bola sepaknya. Kelab yang berjaya mendapat tandatangannya ialah pasukan Sevilla.

Bersama pasukan Sevilla, tahap permainannya meningkat dengan begitu ketara sekali. Bacca berjaya membantu Sevilla menjadi juara Liga Europa untuk dua musim berturut-turut iaitu musim 2013/2014 dan juga musim 2014/2015.

Rekod jaringannya bersama Sevilla ialah 34 gol daripada 72 perlawanan.

Sumber: EuroSport

Angan-Angan Jadi Impian, Impian Jadi Cita-Cita

Pada musim panas  2015, kelab gergasi Itali AC Milan cuba mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Bacca di San Siro. Tawaran yang dilakukan oleh Milan itu ternyata tidak mampu ditolak oleh Bacca.

Siapa sahaja yang tidak mahu bermain untuk kelab yang terkenal sejak zaman-berzaman seperti AC Milan. Setakat ini Bacca telah menjaringkan 31 gol untuk Milan sepanjang 69 penampilan.

Sumber: Goal.Com

Setiap kejayaan bermula dengan sedikit pengorbanan dan kesabaran. Bukan senang nak senang brader!

Baca Juga

Baca Juga