Bekas pemain Chelsea dan Real Madrid, Ricardo Carvalho telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan atas di atas kesalahan yang tidak lain tidak bukan – tidak membayar cukai.
Cukai yang tidak dibayar bukanlah cukai kenderaan atau cukai pintu, akan tetapi cukai pendapatan – masalah sama yang menghantui Cristiano Ronaldo, Leo Messi dan juga Neymar.
Carvalho bagaimanapun berkemungkinan besar tidak akan menjalani hukuman tersebut kerana tempoh hukuman penjara bawah dua tahun bagi kesalahan yang tidak ganas oleh pesalah kali pertama biasanya akan diganti dengan khidmat masyarakat.
Pemain Portugal ini yang masih lagi bermain secara professional bersama kelab China, Shanghai SIPG, telah mengaku gagal membayar cukai berkenaan hak royalti imej pada tahun 2011 dan 2012.
Di samping perlu membayar baki jumlah cukai, Carvalho juga perlu membayar denda sebanyak €142,882, meskipun pihak plaintif mahu hukuman dinaikkan ke 12 bulan penjara dan denda €300,000.
Caarvalho mula bermain bola sepak secara professional ketika berusia 19 tahun bersama kelab Portugal, FC Porto. Bersama kelab gergasi Portugis tersebut, Carvalho berjaya memenangi Liga Juara-juara UEFA pada tahun 2004. Musim berikutnya, Carvalho mengikut jejak langkah pengurusnya di Porto, Jose Mourinho berpindah ke Chelsea dan memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali.
Bersama skuad kebangsaaan Portugal, Carvalho telah mewakili negara sebanyak 89 kali dan detik manisnya dalam karier pastinya dapat menjulang Kejohanan Eropah pada tahun 2016.
Sumber berita : Sportskeeda