Bekas Pemain Manchester United Ini Merupakan Pemain Paling Tua Yang Menjaringkan Gol Di EPL

Bermain di Liga Perdana Inggeris yang sangat kompetitif amat memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Tidak ramai pemain bola sepak  yang mampu bermain sehingga melepasi usia 35 tahun apatah lagi untuk menjaringkan gol pada usia emas.Namun terdapat juga beberapa kuda tua yang berjaya mengekalkan tahap kercergasan mereka sehingga usia lewat 30-an dan berjaya menjaringkan gol untuk pasukan yang diwakili mereka. Ternyata kepercayaan yang diberikan oleh pasukan berjaya dibalas dengan jaringan gol. Mari kita lihat senarai pemain paling tua yang menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Graham Alexander (Burnley) 38 Tahun 183 Hari

Gambar: Zimbio

Graham Alexander merupakan pakar sepakan penalti untuk Burnley. Sepanjang musim 2009/2010, dia berjaya menjaringkan 7 gol untuk Burnley dan kali terakhir ialah ketika perlawanan menentang Hull City pada tahun 2010. Dia juga telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Burnley pada musim tersebut.

Stuart Pearce (West Ham) 38 Tahun 216 Hari

Gambar: Westhamtillidie

Bekas pemain pertahanan England ini mewakili West Ham pada penghujung kariernya dalam Liga Perdana Inggeris. Walaupun ketika itu sudah berusia 37 tahun, Pearce masih lagi dipanggil oleh pengurus England ketika itu iaitu Kevin Keegan untuk dua perlawanan kelayakan Euro 2000 disebabkan persembahan yang konsisten bersama West Ham. Dia menjaringkan gol terakhirnya dalam Liga Perdana Inggeris ketika West Ham menang 3-2 ke atas Souhampton.

Ryan Giggs (Manchester United) 39 Tahun 87 Hari

Gambar: Sportsmole

Siapa sahaja peminat bola sepak yang tidak kenal dengan Ryan Giggs. Pemain yang terkenal dengan larian pantas di sebelah kiri, gelecekan yang mengelirukan dan juga kebolehan menjaringkan gol. Ryan Giggs menjadi pemain penting untuk Manchester United dari zaman remaja sehinggalah kepada penghujung kariernya bersama pasukan Syaitan Merah ini. Pada tahun 2013, Giggs berjaya menjaringkan gol terakhirnya dalam Liga Perdana Inggeris ketika Manchester United menewaskan pasukan Queens Park Rangers 2-0.

Dean Windass (Hull City) 39 Tahun 236 Hari

Gambar: Gazettelive

Bekas penyerang Hull City ini menjaringkan gol terakhirnya bersama Hull pada usia 39 tahun. Dia telah masuk sebagai pemain gantian ketika Hull City ketinggalan 1-2 kepada Portsmouth. Tandukannya hasil sepakan penjuru telah terkena pertahanan Portsmouth, Noe Pamarot dan dikira sebagai gol sendiri pada hari tersebut. Namun selepas review dilakukan oleh Dubious Goals Committee, gol tersebut telah dianugerahkan kepada Dean Windasss menjadikannya pemain kedua tertua yang menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Teddy Sheringham (West Ham) 40 Tahun 268 Hari

Gambar: TalkSport

Peminat Manchester United semestinya masih terbayangkan gol penyamaan saat-saat akhir Sheringham ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Musim 1998/1999 menentang Bayern Munich. Seterusnya momen bola tandukannya yang kena tepat ke arah kaki Ole Gunnar Solskjaer untuk gol kemenangan United yang menyebabkan pemain dan penyokong bayern Munich menitiskan air mata. Selepas meninggalkan United, Sheringham telah menyertai beberapa pasukan lain seperti Tottenham Hospurs, Portsmouth dan West Ham United. Sheringham berjaya menjaringkan gol terakhirnya dalam Liga Perdana Inggeris ketika West Ham tewas 1-2 kepada pasukan lamanya Portsmouth pada tahun 2006.

Untuk pemain yang bermain di Liga Malaysia, pemain manakah yang paling tua pernah menjaringkan gol?

Baca Juga

Baca Juga