Bekas Pemain Tottenham Hotspurs Umumkan Persaraan Seawal Umur 26 Tahun

Pemain tengah Hull City, Ryan Mason telah mengumumkan persaraan beliau dari bolasepak selepas gagal pulih dari kecederaan di bahagian kepala yang dialaminya ketika perlawanan menentang Chelsea pada Januari 2017.

Dalam insiden tersebut, Mason telah diusung keluar dari perlawanan apabila berlaga kepala dengan pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill dan menerima rawatan di atas padang hampir 9 minit.

Malang buat Mason kerana terpaksa bersara seawal usia 26 tahun

Sebaik menyedari Mason mengalami kecederaan yang serius, beliau telah dikejarkan ke Hospitan St. Mary di London untuk menjalani pembedahan di bahagian tengkoraknya. Mason akhirnya dibenarkan keluar dari hospital 8 hari kemudian.

Selepas lebih setahun berusaha untuk kembali beraksi di atas padang, Mason akhirnya mengumumkan persaraan dari bolasepak profesional selepas menerima nasihat doktor yang merawatnya.

“Saya telah berusaha keras untuk kembali bermain di atas padang. Malangnya, selepas menerima nasihat dari mereka yang pakar dalam bidang perubatan, saya tidak mempunyai sebarang pilihan selain bersara kerana risiko yang bakal berlaku disebabkan kecederaan ini.”

“Saya sentiasa akan bersyukur kerana dikelilingi individu yang bekerja keras dalam membantu saya pulih dari kecederaan yang hampir meragut nyawa saya pada Januari 2017. Terima kasih diucapkan kepada tunang saya, Rachel yang telah berada disisi selama saya mengalami kecederaan ini dan memberikan kekuatan yang sangat diperlukan saya bagi mengharungi pengalaman ini.”

Insiden yang mengubah segalanya

Hull City juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kecederaan Mason dan mengesahkan Mason tidak digalakan untuk kembali beraksi atas faktor kesihatan.

“Ryan telah berjumpa beberapa pakar neruologi dan pakar bedah neuro bagi mendapatkan nasihat mengenai kecederaan beliau. Kesemua mereka telah menasihatkan Mason untuk tidak kembali bermain bolasepak kerana risiko yang terlalu tinggi.”

Kelab lama Mason, Tottenham Hotspurs turut mengucapkan kata-kata semangat kepada Mason atas berita yang menyedihkan ini melalui Twitter rasmi mereka.

Mason memulakan karier bolasepaknya bersama Spurs dan pernah dipinjamkan ke beberapa kelab liga bawahan seperti Yeovil, Doncaster, Millwall dan Swindon. Beliau menyertai Hull pada 2016 dengan yuran perpindahan sekitar £12juta.

Kemuncak karier Mason sudah tentu apabila beliau dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan England pada Mac 2015 dimana beliau membuat kemunculan ketika perlawanan menentang Itali.

BACA:  Pochettino: Hati Kane Terguris Selepas Digelar Gilakan Gol Di Media Sosial