Bekas Pengurus Barcelona Yang Pernah Memenangi Liga Juara-juara Mahu Menjadi Jurulatih Thailand

Lagenda Belanda, Frank Rijkaard muncul sebagai nama besar terkini yang berminat untuk melatih pasukan kebangsaan Thailand selepas jawatan ketua jurulatih negara Gajah Putih tersebut kosong ekoran perletakan jawatan Kiatisuk Senamuang bulan lalu.

Bekas pengurus Barcelona yang telah memenangi Liga Juara-juara pada musim 2005-06 tersebut telah menghantar surat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Setiausaha Agung FAT, Leftenan Jeneral Pisan Judilok memberitahu Bangkok Post bahawa dia telah menerima permohonan daripada jurulatih berbangsa Belanda tersebut.

Rijkaard kini berusia 54 tahun dan telah bermain sebanyak 73 kali untuk pasukang Oranje sepanjang 13 tahun karier professionalnya. Pada tahun 1998, Rijkaard telah dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda. Pada kejohanana Euro 2000, di mana Belanda menjadi tuan rumah bersama Belgium dan Luxembourg, anak didik Rijkaard mara sehingga ke peringkat separuh akhir, sebelum tewas kepada Itali menerusi sepakan penalti.

Rijkaard bersama dua tonggak Belanda – Van Basten dan Ruud Gullit.

Selepas kejohanan tersebut, Rijkaard telah berehat selama hampir setahun sebelum menjadi pengurus pasukan Sparta Rotterdam. Pada tahun 2003, Rijkaard telah dilantik sebagai ketua jurulatih Barcelona, menggantikan pengurus sementara, Radomir Antic, pada bulan Jun 2003. Rijkaard menguruskan gergasi Sepanyol ini sehingga 2008, dan memenangi dua gelaran La Liga, dua Copa Del Rey dan satu Liga Juara-juara.

Pada tahun 2008, Barcelona telah melantik Pep Guardiola menggantikan Rijkaard.

Rijkaard kemudiannya menguruskan kelab Turki, Galatasaray pada Jun 2009, dan hanya mampu bertahan selama setahun setengah, sebelum dipecat pada bulan Oktober 2010.

Rijkaard dan Zico

Arab Saudi menawarkan kontrak kepada Rijkaard pada tahun 2011 dan bersama pasukan Arab ini, Rijkaard gagal membawa pasukan ini layak ke Piala Dunia 2014, setelah sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan kelayakan. Pada Januari 2013, Rijkaard dipecat kerana gagal membawa Arab Saudi menjuarai Piala Negara Teluk pada tahun tersebut, setelah menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan.

Jika Rijkaard menjadi jurulatih Thailand, cabaran utamanya ialah membawa jaguh Asia Tenggara tersebut untuk menjadi kuasa dominan di peringkat Asia. Selain Rijkaard, antara jurulatih yang berprofil tinggi dikatikan dengan Thailand ialah Claudio Ranieri, Alejandro Sabella, Dunga dan Zico – Zico Brazil, bukan Zico Thailand.

Ternyata Thailand begitu serius mahu melantik jurulatih yang mempunyai reputasi yang tinggi.

Sumber berita asli : ESPNFC

Baca Juga

Baca Juga