Bellamy Percaya Liverpool Akan Tewas Tidak Lama Lagi, Yakin City Mampu Kekalkan Kejuaraan Liga

Bekas pemain Liverpool, Craig Bellamy percaya Manchester City akan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini dan yakin Liverpool tidak akan melalui musim ini tanpa sebarang kekalahan.

Bellamy yang pernah mewakili Manchester City dari tahun 2009 sehingga 2011, percaya Pep Guardiola akan membimbing The Citizens memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, walaupun kini ketinggalan 7 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Bellamy yakin Guardiola akan jumpa cara untuk menangi liga musim ini walaupun ketinggalan 7 mata

Manchester City memulakan kempen liga musim ini selaku pasukan pilihan selepas mudah menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan kelebihan 19 mata.

Walau bagaimanapun, tiga kekalahan dari 4 perlawanan liga terakhir mereka menyebabkan skuad kendalian Guardiola jatuh ke tangga ke-3. Tottenham Hotspurs kini berada di tempat ke-2, 1 mata dihadapan Manchester City selepas mudah membelasah Bournemouth dalam aksi Boxing Day tempoh hari.

Liverpool merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum mengalami sebarang kekalahan dalam liga musim ini dan dilihat berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali selepas puluhan tahun mandul.

Namun begitu, Bellamy yang pernah mewakili kedua-dua pasukan dalam kariernya, percaya Manchester City masih mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim lepas.

Gandingan yang mantap suatu ketika dahulu

“Saya tidak percaya Liverpool akan melalui musim ini tanpa mengalami sebarang kekalahan. Mereka akan tewas satu atau dua perlawanan. Secara peribadi, saya rasa Manchester City akan memenangi liga musim ini.”

“Saya rasa Pep Guardiola akan menggosok tangannya sambil berkata, ‘Game on – Tahun lepas, kami menang dengan cukup mudah, sekarang kita lihat apa yang kami ada’.”

“Mereka mempunyai seorang pengurus yang sering memenangi piala, jadi mereka mempunyai beberapa faktor yang dapat menyokong pasukan tersebut dalam merebut kejuaraan liga.”

“Dengan 7 mata yang perlu dikejar, terutamanya menjelang tempoh Krismas, anda mampu mendapatkannya kembali. Jangan sekali-kali pangkah nama Manchester City.”

Bekas pemain Cardiff City itu juga menambah perkara paling penting buat Liverpool selepas ini adalah bagaimana mereka kembali bangkit selepas mengalami kekalahan pertama.

“Bagaimana mereka bertindak balas, itu kunci utama.”

Bellamy terlibat dalam pergaduhan dengan John Arne Riise ketika mewakili Liverpool suatu ketika dahulu. Sampai hayun kayu golf

“Saya masih ingat hilang kejuaraan liga pada perlawanan terakhir ketika mewakili Celtic. Saya menggunakan pengalaman tersebut ketika bermain dengan Cardiff dalam liga Championship.”

“Saya beritahu pemain lain supaya bertenang, dan fokus pada satu perlawanan setiap masa. Cuba fokus untuk menangi perlawaan yang seterusnya dan jangan risaukan perlawanan yang akan berlaku 3 minggu lagi.”

Manchester City akan cuba kembali bangkit dengan menentang Southampton di tempat lawan, sehari selepas Liverpool menjadi tuan rumah kepada pasukan yang menghuni tangga ke-5, Arsenal.

BACA:  Guardiola: Kejuaraan Liga Lebih Bermakna Daripada Liga Juara-Juara Eropah