Bellamy Yakin Mahrez Bakal Jadi Lebih ‘Berbisa’ Di Bawah Guardiola

Bekas penyerang Manchester City, Craig Bellamy percaya Riyad Mahrez akan mempamerkan tahap permainan yang lebih tinggi apabila bermain di bawah tunjuk ajar Pep Guardiola di Etihad Stadium.

Bellamy yang pernah beraksi untuk Blackburn dan Liverpool juga percaya Manchester City telah melakukan urus niaga yang cemerlang dengan mendapatkan pemain yang sudah membuktikan kemampuannya di Liga Perdana Inggeris.

Selepas setahun menunggu, Pep Guardiola akhirnya dapat mendakap Mahrez walaupun terpaksa berbelanja besar

Mahrez menandatangani kontrak jangka panjang untuk bermain bersama Manchester City selepas yuran perpindahan sekitar £60 juta dipersetujui dengan Leicester City.

Jumlah tersebut sebenarnya jauh lebih rendah daripada apa yang ditawarkan The Citizens 6 bulan lalu ketika hari terakhir tirai perpindahan Januari.

City melancarkan bidaan berjumlah £80 juta pada saat akhir bagi memujuk Leicester untuk melepaskan Mahrez, tetapi masih lagi ditolak dengan alasan Mahrez terlalu bernilai untuk dilepaskan ketika musim sedang berjalan.

Mahrez pernah memangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dan Pemain Terbaik Afrika 2016

Kreativiti yang dimiliki Mahrez tidak boleh disangkal lagi dan Bellamy percaya perpindahan ini akan memberi faedah yang besar kepada Manchester City dan pemain itu sendiri.

“Mahrez seorang pemain yang hebat. Beliau telah melakukan kerja yang hebat ketika berada di Leicester City. Ini merupakan masa yang paling sesuai untuk beliau berpindah. Mahrez akan menambah lebih banyak pilihan di bahagian serangan City.”

“Saya tahu keadaan akan menjadi sedikit sukar buat Mahrez kerana jumlah wang yang tinggi dibelanjakan oleh Manchester City untuk mendapatkannya. Tetapi ia perlu dilakukan kerana Leicester hanya akan melepaskan Mahrez sekiranya menerima tawaran yang tinggi.”

“Pemain seperti Mahrez hari ini hampir pasti akan melibatkan nilai wang yang tinggi. Mahrez akan menambah satu lagi dimensi dalam bahagian serangan City yang sedia ada berbisa.”

“Tetapi saya lebih berminat dengan perpindahan Mahrez kerana saya percaya Pep Guardiola merupakan jurulatih terbaik dunia ketika ini.”

“Saya berminat untuk mengetahui sejauh mana Pep akan meningkatkan tahap permainan Mahrez. Kualiti terbaik yang dimiliki Pep adalah beliau tahu bagaimana untuk meningkatkan tahap permainan pemainnya.”

Once a blues, always a blues. Sorry light blue

“Adakah Pep mampu membawa Mahrez ke satu tahap yang lebih tinggi ? Dan jika beliau mampu  melakukannya, Manchester City patut berasa teruja.”

Sepanjang 4 tahun bersama Leicester City, Mahrez telah melakukan 179 penampilan dan berjaya menjaringkan 48 gol. Musim terbaik Mahrez sudah tentu hadir ketika Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016 dimana beliau menyumbang 18 gol.

Musim lalu menyaksikan Mahrez bertelagah dengan pihak pengurusan kelab kerana tidak membenarkannya berpindah ke City pada bulan Januari. Walaupun demikian, beliau masih lagi berjaya menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan selain mencatatkan 10 bantuan gol.

BACA:  Jamie Carragher Dan Liam Gallagher Bergaduh Sakan Di Laman Twitter