Belotti Hanya Akan Sertai Kelab Besar Yang Mampu Beri Jaminan Kesebelasan Utama

Penyerang sensasi Torino, Andrea Belotti memberi amaran kepada kelab besar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim hadapan supaya memberi jaminan beliau akan berada dalam kesebelasan utama.

Pemain antarabangsa Itali ini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Chelsea dan Manchester United dilaporkan berminat untuk membawa pemain tersebut ke England.

Menjadi idaman banyak kelab Inggeris, terutamanya Chelsea di bawah Antonio Conte

Kelab berbelanja besar, AC Milan cuba mendapatkan Belotti pada tirai perpindahan musim panas lalu tetapi tidak berlaku kerana kedua-dua kelab gagal mencapai kata sepakat mengenai yuran perpindahan.

Torino dilaporkan tidak akan melepaskan Belotti pada harga kurang daripada €100 juta, sesuatu yang tidak dipersetujui Milan. Walaupun perpindahan tersebut tidak berlaku pada waktu itu, besar kemungkinan Milan akan mencuba sekali lagi memandangkan pemain tersebut adalah peminat Milan dan sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Gennaro Gattuso.

Walaubagaimanapun, Belotti menegaskan beliau hanya akan berpindah ke kelab besar yang mampu memberi jaminan yang beliau akan berada dalam kesebelasan utama.

Prestasi Belotti merudum teruk kerana kecederaan yang dialaminya musim ini.

Belotti dianggap sebagai penyerang muda terbaik Eropah musim lepas dimana beliau berjaya menjaringkan 26 gol dalam saingan Serie A. Tetapi prestasinya merudum teruk musim ini dan beliau gagal mengulangi pencapaian baiknya musim lepas selepas hanya menjaringkan 9 gol dari 25 perlawanan dalam semua pertandingan.

Walaupun demikian, perkara tersebut tidak akan menjejaskan minat kelab besar terhadap Belotti dan Torino sudah tentu tidak boleh meminta €100 juta lagi dari kelab yang berminat selepas prestasi pemain tersebut merudum musim ini.

Ketika bercakap kepada RAI, Belotti berkata banyak pihak mahu beliau berpindah keluar dari Torino demi kebaikan kariernya tetapi beliau menegaskan hanya akan menyertai pasukan yang mampu memberi posisi penyerang utama kepada beliau.

“Banyak pihak beritahu saya perlu meninggalkan Torino dan menyertai kelab besar lain. Tetapi saya hanya akan berpindah ke kelab besar sekiranya saya diberi jaminan berada dalam kesebelasan utama kerana saya tidak mahu memanaskan bangku simpanan.”

“Sekarang saya berasa bagus selepas mengalami dua kecederaan musim ini yang telah banyak menjejaskan persembahan saya musim ini. Masih banyak lagi perlawanan yang tinggal sebelum musim ini tamat dan saya mahu membantu Torino.”

Antara pemain yang terlibat ketika tumpas di tangan Sweden, sekali gus gagal layak ke Piala Dunia 2018

Belotti tidak akan terlibat dalam kejohanan Piala Dunia yang bakal berlangsung di Russia musim panas nanti kerana negara kelahirannya, Itali gagal melayakkan diri selepas tewas perlawanan play-off di tangan Sweden.

Itali akan berhadapan dengan England dalam perlawanan persahabatan Selasa ini dan Belotti mahu membuktikan Itali masih lagi pasukan yang hebat.

“Kami mahu membuktikan pasukan Itali ini masih lagi pasukan yang hebat, tetapi ia akan mengambil masa dan kerja keras dari seluruh pemain. Kami akan bermula dengan perlawanan menentang England.”

BACA:  Penyokong Setan Merah Dituduh Bawa Suwey Kepada Chelsea