Benjamin Pavard Tak Sedarkan Diri Selama Lebih 10 Saat Ketika Aksi Bertemu Jerman

Benjamin Pavard mengakui yang beliau sempat pengsan selama 10 ke 15 saat selepas kepalanya terkena lutut bintang Jerman, Robin Gosens.

Pavard terlibat dengan insiden pelanggaran yang agak teruk selepas kepalanya terhantuk dengan lutut Gosens yang ketika itu sedang melompat untuk memenangi perebutan bola.

Ekoran dari pelanggaran itu, beliau terbaring kesakitan sambil para pemain lain memantau keadaannya, dan Pavard sendiri turut mendedahkan yang beliau sempat pengsan seketika selepas insiden tersebut.

Ia merupakan pelanggaran yang agak serius memandangkan kepalanya terkena lutut Gosens dan beliau dengan segera diberikan rawatan oleh petugas kesihatan ketika permainan sedang dihentikan.

Apa yang mengejutkan para peminat adalah melihat Pavard kemudiannya dibenarkan untuk terus beraksi dan beliau bermain sehingga wisel penamat dibunyikan.

Para peminat menganggap ia sebenarnya keputusan yang agak memalukan untuk terus membenarkan Pavard bermain selepas beliau terlibat dengan pelanggaran yang melibatkan kepalanya.

Para pemain kedua-dua pasukan juga dilihat risau melihat keadaan Pavard ketika beliau rebah selepas terlibat dengan pelanggaran itu.

Selepas tamat perlawanan, Pavard mendedahkan kepada BeIN Sport bahawa:

“Saya rasa saya sempat tak sedarkan diri dalam tempoh 10 ke 15 saat. Selepas itu saya rasa semakin membaik.”

“Ya, tak dinafikan kami menerima tentangan yang hebat dari pasukan seperti Jerman, yang mana mereka ada penguasaan bola, tapi kami bertahan dengan sangat baik dalam perlawanan ini, dan kami juga melancarkan serangan yang memberi masalah kepada mereka, kami lebih bersatu.”

Kebanyakkan peminat di media sosial menganggap pemain berusia 25 tahun itu seharusnya dikeluarkan kerana bimbang beliau mengalami gegaran otak.

Kerana ketika insiden itu berlaku, ia jelas menunjukkan yang kepala beliau benar-benar berlanggar dengan lutut Gosens dan gegaran otak mungkin boleh berlaku.

Isu berkait gegaran otak dalam dunia bola sepak semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, terutama sekali selepas melihat apa yang berlaku pada sesetengah legenda selepas berakhirnya karier bola sepak mereka.

Terdapat pelbagai pihak yang memainkan peranan penting untuk memastikan isu pelanggaran melibatkan bahagian kepala ini perlu diutamakan.

Pada awal minggu lalu, kesemua 24 pasukan yang bertanding dalam saingan Euro 2020 telah menandatangani piagam baru yang akan menjanjikan tahap keselamatan pemain akan ditingkatkan.

Ia termasuklah dari segi kesejahteraan pemain dan pemeriksaan neurologikal serta akses kepada ulang tayang televisyen buat pasukan perubatan.

Jadi para peminat sebenarnya mengecam keputusan untuk membenarkan Pavard terus beraksi kerana risau dengan tahap kesihatannya.

Bagaimanapun Pavard berjaya meneruskan perlawanan sehingga ke akhirnya dan beliau juga merupakan individu penting dalam membantu Perancis menewaskan Jerman 1-0 awal pagi tadi.

Pavard sememangnya bersemangat untuk membantu skuadnya menjuarai saingan Euro musim ini, dengan matlamat utamanya untuk memastikan Kante boleh dianugerahkan dengan anugerah Ballon D’or.

Dalam satu temu bual Pavard sebelum ini, beliau mendedahkan yang Perancis akan berusaha semampu mereka untuk memenangi Euro kali ini, untuk memastikan Kante menang anugerah Ballon D’or.

“N’Golo adalah N’Golo. Dia adalah pemain yang mempunyai enam paru-paru. Dia tak pernah berhenti. Dia seorang pemain yang baik dan dia telah buktikan yang dia merupakan pemain terhebat dunia ketika ini. Saya harap dia boleh julang Euro untuk membenarkan dia memenangi anugerah Ballon D’or.”

“Dia memang berhak untuk memenangi anugerah itu sejak dalam tempoh beberapa tahun ini. Dia memang seorang pemain yang sangat hebat.”

BACA:  Video: Pogba Bengang Dan Memaki Hamun Benjamin Pavard