Benrahma Dan Mahrez Terpaksa Hitamkan Rambut Kerana Takut Dengan Pengurus Algeria

Riyad Mahrez dan Said Benrahma kedua-duanya terpaksa menghitamkan semula rambut mereka, selepas diarahkan oleh pengurus skuad kebangsaan Algeria.

Kedua-dua pemain kebangsaan Algeria itu telah mewarnakan rambut mereka pada musim panas lalu, dengan mereka memulakan kempen saingan Premier League musim ini dengan rambut blonde.

Tidak pasti adakah mereka berjanji, atau terhasut dengan hasutan dari Phil Foden yang mewarnakan rambut dengan warna yang sama ketika Euro 2020 lalu.

Walau bagaimanapun, ketika kedua-dua mereka kembali sertai skuad kebangsaan, Mahrez dan Benrahma terpaksa menghitamkan semula rambut mereka atas arahan dari pengurus pasukan.

Jelas sekali ia bukan kehendak mereka, pengurus pasukan, Djamel Belmadi sememangnya agak tegas dan tidak gemar dengan gaya rambut berwarna seperti yang dilakukan oleh kedua-dua Benrahma dan Mahrez.

Oleh yang demikian, bintang Manchester City dan West Ham itu terpaksa mengikut arahan dari pengurus skuad kebangsaan mereka, dan menghitamkan semula rambut yang berwarna blonde itu.

Belmadi ketika kariernya beliau pernah beraksi bersama Paris Saint Germain, Marseille dan Manchester City sebelum bersara dan kini menjadi pengurus untuk skuad kebangsaan Algeria.

Beliau mahukan para pemainnya bersukan dengan gaya ahli sukan bukan model, dan tidak mahu para pemainnya membawa imej berbeza dari budaya dan tradisi masyarakat Algeria.

Ini bukan kali pertama beliau terpaksa membuat keputusan yang tegas melibatkan pemainnya yang mewarnakan rambut seperti ini.

Pada tahun 2018 yang lalu, Ilias Hassani hadir ke pusat latihan dengan rambut blonde, lalu Belmadi dengan segera mengarahkan pemainnya itu untuk hitamkan semula rambutnya.

Keesokan harinya, Hassani kembali dengan rambut berwarna hitam dan terus dibenarkan untuk kembali sertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan Algeria.

Algeria selepas ini akan beraksi bertemu Djibouti dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada esok hari, sebelum mereka bakal bertemu Burkina Faso di Morocco minggu hadapan.

Selepas selesai tugas bersama skuad kebangsaan Algeria, kedua-dua mereka akan kembali ke England untuk beraksi bersama kelab masing-masing.

Tidak pasti sama ada mereka akan terus tampil dengan rambut hitam atau mereka akan kembali mewarnakan rambut mereka kerana sudah selesai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Said Benrahma dan Riyad Mahrez memulakan kempen saingan liga musim ini dengan sangat baik, dengan kedua-dua mereka merupakan nadi penting kelab masing-masing.

Mereka tidak dinafikan sedang berada di tahap persembahan terbaik masing-masing, dengan Said Benrahma dianggap antara yang paling berprestasi pada ketika ini.

Saingan Premier League akan kembali bersambung pada 11 September nanti, dengan kedua-dua Mahrez dan Benrahma akan pulang ke England sebaik selesai aksi bertemu Burkina Faso nanti.

Sumber: SB

BACA:  Jesus Kecewa Tidak Dibenarkan Mengambil Sepakan Penalti