Benzema Dedah Alasan Mengapa Memilih Panenka Berdepan Ederson

Karim Benzema telah menjelaskan tentang mengapa beliau memilih untuk mengambil sepakan penalti Panenka ketika aksi bertemu Manchester City awal pagi tadi.

Bintang handalan Real Madrid itu dengan tenang menewaskan Ederson untuk menjaringkan gol ketiga Real Madrid dalam aksi kekalahan 4-3 bertemu Man City di Etihad.

Beliau berjaya memperdaya Ederson yang sudah merebahkan badan ke arah yang salah dengan menggunakan teknik Panenka.

Beliau jelas sekali gugup untuk mengambil sepakan penalti itu kerana beliau sebelum ini telah gagal untuk menyempurnakan dua sepakan penalti ketika aksi bertemu Osasuna sebelum ini.

Bercakap selepas tamat perlawanan tersebut, pemain berusia 34 tahun itu mendedahkan sebab mengapa beliau memilih Panenka ketika berdepan Ederson.

“Semua penjaga gol dah baca cara saya ambil sepakan penalti dan saya perlu ubah itu.”

Jelas Benzema.

“Penalti itu dari saya adalah penalti yang ‘cold blooded’.”

Carlo Ancelotti telah menghamburkan pujian yang menggunung kepada Benzema kerana mempunyai kekuatan mental yang menakjubkan ketika memilih untuk mengambil penalti Panenka.

“Saya rasa dia tukar kerana dua penalti terakhir dia tak begitu bagus.”

Jelas Ancelotti kepada wartawan.

“Dia ubah dan cuba ketika sesi latihan. Saya sendiri tak tahu cara bagaimana dia akan sepak. Dia pilih itu dan ia berjalan dengan sempurna.”

“Personaliti dan karakter yang kuat. Ia bukan mudah untuk lakukan penalti seperti itu di pentas separuh akhir Champions League seperti ini.”

Bekas bintang Real Madrid, Steve McManaman turut memuji Panenka Benzema dengan menyatakan:

“Dia gagal untuk sempurnakan dua penalti sebelum ini bertemu Osasuna, penjaga gol selamatkan sepakan penalti itu.”

Jelas McManaman.

“Dia berkemungkinan merasakan Ederson sudah tahu di mana dia mahu hantar bola. Dia dah ambil banyak penalti. Musim ini saja dia sudah empat kali gagal. Berbanding memilih ke kiri atau ke kanan, dia mungkin fikir, ‘Kamu nak tahu, sekarang adalah masanya.”

“Mereka bukan sedang mendahului 4-0, mereka sedang ketinggalan 4-2 ketika dia melakukan itu. Jika dia gagal itu, maka semuanya berakhir.”

“Walaupun beliau sudah mencapai rekod yang sungguh menakjubkan musim ini, Benzema jelas sekali akan tetap dihentam andai beliau gagal sempurnakan sepakan penalti itu.”

Bekas rakan sepasukan Benzema, Mesut Ozil turut menghamburkan pujian menggunung kepada Benzema sebaik tamat perlawanan tersebut.

Mesut Ozil menghamburkan pujian menggunung kepada Benzema

Mesut Ozil tampil menegaskan yang bekas rakan sepasukannya, Karim Benzema patut memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas melihat Benzema mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika bertemu Manchester City awal pagi tadi.

Real Madrid tewas 4-3 di tangan Manchester City dalam aksi leg pertama peringkat separuh akhir saingan Champions League di Etihad.

Walau bagaimanapun, Real Madrid mungkin akan berdepan kekalahan yang lebih teruk andai tiada Karim Benzema di atas padang.

Pemain kebangsaan Perancis itu berjaya menjaringkan dua gol termasuk satu gol Panenka yang sungguh luar biasa dasyat ketika membantu Real Madrid memperoleh tiga gol di Etihad.

Tiga gol itu sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan sebagai bekalan menjelang aksi leg kedua yang akan dilangsungkan di Santiago Bernabeu pada 5 Mei nanti.

Benzema kini sudah berjaya menjaringkan 41 gol untuk Real Madrid dari semua pertandingan sepanjang musim ini.

Jelas sekali beliau antara pemain paling berprestasi dan berpotensi untuk memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Bekas pemain midfield Real Madrid, Mesut Ozil tampil menegaskan yang Karim Benzema sememangnya layak untuk memenangi anugerah tersebut.

Beliau percaya yang Benzema merupakan pemain terhebat yang ada dalam dunia bola sepak hari ini.

“Perlawanan yang sangat luar biasa. Berikan sahabat saya Benzi anugerah Ballon D’or.”

Tulis Mesut Ozil di laman twitter miliknya.

Bercakap menjelang aksi perlawanan bertemu Manchester City, pemain midfield Man City, IIkay Gundogan turut menganggap Benzema antara calon terbaik untuk memenangi anugerah itu.

“Sekarang, bagi saya, Benzema bersama Robert Lewandowski merupakan penyerang terhebat dunia.”

Jelas Gundogan kepada RT1.

“Dia bagus dengan kedua-dua belah kakinya, bagus di udara…. Saya rasa dia sebelum ini sedikit underrated dan sekarang dia sedang membuktikan segala kritikan yang dilemparkan kepadanya adalah salah.”

“Setelah sekian lama dia menjadi bayang-bayang Cristiano Ronaldo, terutama di kalangan media, tapi sekarang dia dapat perhatian yang selayaknya dia dapat.”

“Pencapaian dia sekarang bercakap bagi pihak dia. Benzema ada segalanya untuk memenangi anugerah Ballon D’or.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Karim Benzema Terlalu Teruja Kerana Dipuji Oleh Lionel Messi