Berbanding Mengamuk, Zlatan Lebih Memilih Untuk Memujuk Pengadil Yang Rompak Kemenangan Milan

Zlatan Ibrahimovic dilaporkan telah menunjukkan sikap terpuji dengan beliau memaafkan pengadil perlawanan yang merompak kemenangan Milan kemarin.

Bukan hanya memaafkan, beliau juga turut memujuk serta menenangkan pengadil tersebut, yang dilaporkan menangis kerana rasa bersalah.

Sukar untuk para peminat tidak bersimpati dengan nasib Serra Marco yang secara tidak sengaja telah merompak kemenangan ketika aksi bertemu Spezia kemarin.

Terdapat satu laporan terbaru dari Corriere Della Sera, yang mengatakan bahawa pengadil yang kini berusia 39 tahun itu menangis teresak-esak selepas tamat perlawanan di dalam bilik persalinan.

Beliau bahkan turut menggigil ketakutan mungkin kerana merasa terlalu bersalah atas tindakan yang beliau lakukan di atas padang.

Dek kerana melihat keadaan pengadil seperti itu, Zlatan Ibrahimovic bersama empat ke lima lagi rakan sepasukannya yang lain pergi kepada pengadil tersebut untuk menenangkan beliau.

Mereka bahkan turut memujuk pengadil dengan Zlatan menasihati Serra untuk lupakan sahaja hal itu kerana manusia tak pernah lari dari membuat kesilapan.

Ya, Zlatan Ibrahimovic menasihati pengadil supaya jangan bersedih atau rasa bersalah kerana tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini.

Sikap yang benar-benar terpuji dari Zlatan Ibrahimovic yang sanggup menasihati pengadil yang telah merompak kemenangan skuadnya.

Mungkin kerana beliau melihat pengadil itu sudah menyesal dengan tindakannya dan beliau mungkin juga tahu yang pengadil itu benar-benar tak sengaja melakukan hal tersebut.

Satu hal yang pasti, tindakan Zlatan benar-benar telah memberi kesan yang baik kepada pengadil perlawanan, dan tiada siapa sangka bintang Sweden itu akan jadi pemain pertama yang memujuk pengadil tersebut.

Serra Marco bakal dikenakan hukuman berat

Pengadil dari Itali Serra Marco berkemungkinan akan berdepan hukuman penggantungan yang sangat panjang kerana kesilapan besar yang beliau lakukan ketika aksi Milan bertemu Spezia awal pagi tadi.

Kesilapan beliau di minit-minit akhir permainan itu telah menyebabkan Milan pulang dengan kehampaan selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Spezia.

The Rossoneri melayan kunjungan Spezia ke bumi San Siro pada awal pagi tadi dan seluruh kem Milan bergegar mengamuk selepas melihat kesilapan dungu dari pengadil perlawanan.

Serra Marco telah tersilap membunyikan wisel beberapa detik sahaja sebelum bola berakhir dalam jaring gawang gol lawan.

Dengan perlawanan pada ketika itu terikat 1-1 selepas Kevin Agudelo memadam gol pendahuluan Milan yang dijaringkan oleh Rafael Leao, The Rossoneri dilihat tidak henti-henti melancarkan serangan.

Zlatan Ibrahimovic bergandingan dengan Ante Rebic untuk melancarkan seeangan, dengan bintang Croatia itu hampir tersembam selepas beliau dikasari oleh pemain Spezia di hadapan kotak penalti.

Walaupun beliau baru sahaja dikasari, namun bola sepertinya tidak keluar dari kawasan permainan sebaliknya tiba ke kaki Junior Messias.

Junior Messias pula sebaik menerima bola tersebut, beliau terus sahaja melepaskan rembatan lencong yang cantik menerjah jaring gawang gol Spezia.

Walau bagaimanapun, gol tersebut tidak disahkan kerana pengadil perlawanan terlebih dahulu sudah membunyikan wisel dan memberikan sepakan percuma kepada Milan.

Para pemain Milan jelas kecewa dengan situasi tersebut, dengan Rebic bahkan turut memegang muka pengadil perlawanan untuk meluahkan rasa kecewanya beliau.

Serra sendiri turut sedar dengan kesilapan yang beliau lakukan dan beliau nampak sangat menyesal kerana menghentikan permainan.

Perlawanan kemudiannya kembali bersambung dengan pengadil memberikan sepakan percuma kepada Milan.

Zlatan Ibrahimovic mengambil sepakan percuma tersebut, namun sayangnya ia gagal menghasilkan gol kerana bola berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol lawan.

Kesilapan pengadil perlawanan menafikan gol kemenangan Milan sebenarnya memberi kelebihan kepada Spezia dengan mereka berjaya memperoleh gol kemenangan dalam perlawanan ini di minit ke-96 permainan.

Emmanuel Gyasi meledak gol kemenangan untuk Spezia dan ia jelas keputusan yang sangat menyakitkan untuk AC Milan.

Pengurus Milan, Stefano Pioli mendedahkan yang Serra tampil memohon maaf kerana menjadi punca gol kemenangan mereka tidak dikira.

Selain Serra yang meminta maaf dan menyesal dengan keputusan beliau, Pengerusi persatuan pengadil (AIA) turut membuat permohonan maaf kepada kem Milan.

Namun begitu, menurut sumber laporan dari Gazzetta Dello Sport, pengadil berusia 39 tahun itu dilaporkan akan menjalani hukuman yang panjang berbanding hukuman penggantungan dua perlawanan seperti kebiasaannya.

Selain dari insiden melibatkan gol tersebut, Pengerusi AIA turut tidak gembira dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan termasuk tidak terus memberikan sepakan penalti kepada Milan pada aksi babak pertama permainan.

Serra awalnya tidak memberikan sepakan penalti kepada Milan sehinggalah VAR masuk campur dan meminta agar beliau menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.

Malang untuk Milan apabila Theo Hernandez gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti itu dan ia juga menjadi antara punca mengapa mereka gagal mengutip tiga mata penuh dari perlawanan ini.

“Saya cuba untuk tenangkan pemain saya, tapi saya gagal kerana Spezia berjaya menjaringkan gol.”

Jelas Pioli kepada DAZN selepas tamat perlawanan.

“Kita tahu ada ketidakadilan di situ, kita juga perlu salahkan diri sendiri, dan kita perlu berkongsi rasa bersalah dengan pengadil. Saya rasa bersalah untuk katakan itu.”

“Dia bahkan turut meminta maaf kepada kami, mungkin itu juga bukan kesalahan dia. Ia agak memalukan.”

Sejak dari awal lagi Serra sememangnya sedar yang beliau telah melakukan kesalahan dan kerana itulah beliau sudah mula meminta maaf dari dalam padang lagi.

Beliau mungkin tidak menjangka yang bola tersebut akan berakhir di dalam jaring gawang gol dan kerana itulah beliau terlebih dahulu memberikan sepakan percuma kepada Milan.

Sumber: GMS

BACA:  Europa League 2020/21: Manchester United 1-1 AC Milan