Berbatov Bantu Penyokong Liverpool Dibayar Saguhati Selepas Bertaruh Quadruple Tidak Menjadi Kenyataan

Tanya Hanley mencipta sensasi tersendiri di kalangan penyokong bola sepak di England apabila bertaruh Liverpool akan menyapu bersih semua kejuaraan pada musim ini.

Kejayaan meraih quadruple belum pernah dilakukan oleh mana-mana kelab Inggeris. Tetapi Tanya sangat yakin Liverpool mampu melakukannya pada musim ini dan bertaruh sebanyak RM550.

Sekiranya skuad Jurgen Klopp berjaya meraih semua kejuaraan pada musim ini, beliau akan menerima bayaran sebanyak RM2 juta untuk taruhan beberapa ratus itu.

Sistem taruhan di England membenarkan syarikat judi untuk membayar pampasan segera (cash-out) untuk pelanggan menarik balik taruhan dengan jumlah bayaran tertentu.

Sebelum sepak mula perlawanan terakhir musim ini berlangsung, syarikat perjudian telah menawarkan sebanyak dua kali untuk Tanya membatalkan taruhan dengan bayaran cash-out.

Pada mulanya beliau ditawarkan bayaran cash-out sebanyak RM124,712, dan kemudiannya sebanyak RM192,208 30 minit sebelum sepak mula. Keyakinan Tanya Liverpool akan muncul juara begitu tinggi dan kedua-dua tawaran langsung ditolak.

Selepas babak pertama perlawanan tamat dan ketika kedudukan di Anfield terikat 1-1, jumlah tawaran syarikat perjudian ditingkatkan dan Tanya sekali lagi ditawarkan sebanyak RM342,521.

Jumlah tersebut juga ditolak dan ketika perlawanan berbaki 20 minit, satu lagi tawaran yang lebih besar berjumlah RM521,710 diberikan.

Pada ketika itu, bekas pemain The Reds, Philippe Countinho baru sahaja menggandakan kelebihan Aston Villa kepada 2-0 ke atas Manchester City dalam perlawanan pada waktu yang sama di Etihad.

Tanya tetap menolak tawaran lebih setengah juta itu dan yakin peluang untuk memenangi taruhan asal tetap cerah walaupun masih perlu menunggu perlawanan akhir Champions League menentang Real Madrid pada hujung minggu berikutnya.

Malang sekali buat Tanya, City kemudiannya bangkit dan menjaringkan tiga gol di dalam tempoh beberapa minit untuk menjadi juara Premier League musim ini.

Ini bermakna impian beliau untuk menjadi kaya melalui taruhan itu turut punah.

Sepatutnya Tanya tidak akan mendapat sebarang wang hadiah daripada taruhan yang dilakukannya. Namun Dimitar Berbatov, iaitu pemain yang pernah menjaringkan hatrik ketika berhadapan Liverpool suatu ketika dahulu membaca kisah Tanya, beliau bersimpati.

“Saya terbaca kisah Tanya, Si penyokong Liverpool,” ujar Berbatov yang juga merupakan duta syarikat perjudian Betfair.

“Saya bercakap dengan mereka di Betfair dan selepas berbincang, mereka setuju menawarkan RM6,000 sebagai sagu hati.

“Mengambil kira Liverpool adalah pasukan hampir juara ia adalah adil untuk Tanya dibayar dengan saguhati itu.”

Liverpool tetap mampu meraih treble pada awal pagi Ahad nanti sekiranya menewaskan Real Madrid di perlawanan akhir Champions League.

Baca Juga

Baca Juga