Beregu lelaki negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong kini bergelar beregu nombor satu dunia menurut ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
BWF yang mengemas kini ranking dunia terbaru yang dikeluarkan pada 10 November 2016 itu menunjukkan V Shem dan Wee Kiong mengumpul 71,297 mata diikuti gandingan Chai Biao dan Hong Wei dari China di kedudukan kedua dengan 70,220 dan beregu Denmark di tempat ketiga Mathias Boe/Carsten Mogensen (67,534).
Goh V Shem dan Tan Wee Kiong sebelum ini berada di ranking kedua dunia melalui carta yang dikeluarkan pada 03 November 2016. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu sebelum ini memasang impian untuk bergelar beregu No. 1 dunia pada penghujung tahun ini.
“Kalau boleh saya mahu terus konsisten dan mengekalkan gelaran ini semampu yang boleh,” kata V Shem ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun menerusi kejayaan mereka dalam Terbuka Denmark pada 23 Oktober lalu telah melonjakkan gandingan tersebut ke persada ranking.
Sementara itu Lee Chong Wei tenang untuk kekal sebagai pemain nombor satu dunia dalam kategori perseorangan lelaki.