Berkat Berpuasa, Karim Benzema Cemerlang Catat Hat-trick Bertemu Chelsea Di Stamford Bridge

Karim Benzema berpuasa penuh setakat ini sepanjang Ramadhan dan berkat dari itu beliau berjaya mencatatkan hat-trick ketika aksi bertemu Chelsea awal pagi tadi.

​Pemain yang kini berusia 34 tahun itu sedang menjalani ibadah Puasa dan beliau sememangnya dikenali sebagai pemain beragama Islam yang patuh pada tuntutan agama.

Walaupun tak makan dan tak minum sepanjang hari, Benzema tetap berjaya memberi masalah kepada barisan pertahanan Chelsea dengan beliau mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan.

Benzema berbuka puasa 13 minit sebelum sepak mula perlawanan dan jelas sekali beliau tidak dapat berbuka puasa dengan sempurna dek kerana kekangan masa.

Namun hal itu sama sekali tak mengganggu untuk beliau mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Beliau berjaya mencatatkan hat-trick ketika membantu Real Madrid menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi leg pertama peringkat suku akhir saingan Champions League di Stamford Bridge.

Ketika ditemu bual oleh Esquire sebelum ini, Benzema mendedahkan yang beliau tak ada masalah untuk berpuasa di bulan Ramadhan walau perlu untuk terus berlatih dan bermain.

Beliau turut menegaskan yang ibadah puasa tidak akan pernah menjejaskan persembahan beliau kerana ia sememangnya satu hal yang wajib beliau lakukan.

“Tak ada impak, Ramadhan merupakan sebahagian dari kehidupan saya dan agama saya menjadikan Ramadhan sebagai satu tuntutan.”

“Bagi saya, ia sangat penting dan saya rasa semakin bagus ketika saya berpuasa.”

Ketika ditanya apa yang beliau syukuri dalam hidupnya, Benzema menjawab:

“Saya bersyukur kerana diberikan tubuh badan yang sihat.”

Hat-trick ketika beraksi bertemu Chelsea merupakan hat-trick kedua beliau secara berturut-turut dalam saingan Champions League musim ini.

Beliau sebelum ini cemerlang mencatat hat-trick ketika membantu Real Madrid menewaskan Paris Saint Germain, seterusnya menyingkirkan gergasi Ligue 1 itu di pusingan 16 terbaik.

Beliau berjaya menjaringkan dua gol menerusi tandukan padu yang sungguh menakjubkan untuk menewaskan Edouard Mendy.

Benzema kemudiannya melengkapkan hat-trick beliau selepas menyempurnakan kesilapan yang dilakukan oleh Edouard Mendy.

Bercakap selepas tamat perlawanan, Benzema menyatakan bahawa:

“Ini merupakan malam Champions League yang sungguh magis untuk kita saksikan.”

“Kita datang sini untuk menunjukkan siapa kita yang sebenarnya. Kita datang ke London untuk buktikan siapa sebenarnya Real Madrid.”

Bercakap tentang persembahan menakjubkan Karim Benzema dalam perlawanan ini, Carlo Ancelotti menjelaskan bahawa:

“Bagaimana mahu gambarkan Benzema? Saya tak ada kata untuk itu (ketawa). Saya boleh kata ‘Big Karim’.”

Karim Benzema tidak dinafikan lagi sememangnya sedang melalui musim terbaiknya bersama Real Madrid pada musim ini.

Beliau kini sudah berjaya menjaringkan 36 gol untuk Los Blancos dan ia merupakan catatan terbaiknya di Santiago Bernabeu.

Sudah tentu beliau bakal lakukan lebih baik lagi pada aksi leg kedua nanti, dalam usaha untuk bawa Real Madrid mara lebih jauh dalam pertandingan ini.

Gergasi dari saingan La Liga itu bakal membawa bekalan selesa ke Santiago Bernabeu pada minggu hadapan untuk aksi leg kedua bertemu Chelsea.

Mereka jelas sekali mempunyai kelebihan untuk layak ke peringkat separuh akhir dengan Real Madrid tentunya akan melakukan yang terbaik untuk singkirkan Juara bertahan itu di halaman mereka sendiri minggu hadapan.

Selain beri tumpuan untuk mara lebih jauh di pentas saingan Champions League, Real Madrid juga turut sedang berusaha untuk mengakhiri saingan La Liga di kedudukan pertama.

Mereka ketika ini sedang memimpin carta saingan La Liga, dan andai mereka konsisten, maka Los Blancos bakal dinobatkan sebagai Juara dalam tempoh terdekat ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kenapa Benzema Pakai Pembalut Tangan Terjawab