Bernardeschi Meraung Kesakitan Kena Terajang Dengan Max Allegri

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri memutuskan untuk memberi semangat dan aura positif kepada Federico Bernardeschi menggunakan cara klasik.

Beliau mahu menyepak belakang Bernardeschi yang sedang beraksi di atas padang, untuk memberi semangat dan aura positif kepada pemainnya itu.

Juventus dalam perlawanan itu berjaya menewaskan Torino 1-0, seterusnya menghidupkan semula peluang untuk mereka terus mencabar kejuaraan liga musim ini.

Gol minit akhir yang dijaringkan oleh Manuel Locatelli yang menandatangani perjanjian selama dua musim bersama Juventus dari Sassuolo itu sudah cukup untuk menjamin kemenangan The Old Lady.

Selepas memulakan kempen saingan 2021/22 dengan sangat teruk, Juventus kini sepertinya sudah berjaya menemui rentak kemenangan mereka, dan sudah berada di landasan terbaik untuk terus mencabar kejuaraan liga.

Pemain midfield berusia 23 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan tuan rumah di Stadio Olimpico Grande Torino, untuk membawa Juventus ke kedudukan kelapan dalam carta liga.

Kemenangan itu juga merupakan kemenangan keempat berturut-turut Juventus dalam semua pertandingan, termasuk kejayaan mereka menewaskan Chelsea dalam saingan Champions League.

Ia jelas satu peningkatan yang mendadak ditunjukkan oleh The Old Lady di bawah pengurusan Max Allegri pada ketika ini.

Allegri tidak senang duduk di tepi padang dalam memberi arahan kepada anak-anak buahnya, agar sentiasa beri tumpuan kepada permainan.

Pada minit ke-62 permainan, pengurus berusia 54 tahun itu dilihat mahu memberi sepakan semangat kepada Bernardeschi di tepi padang.

Beliau sebenarnya mahu memberi semangat kepada anak buahnya, dan pada masa sama mahu Bernardeschi memberi tumpuan kepada permainan.

Namun reaksi Federico Bernardeschi yang terkena tendangan Allegri itu menunjukkan sebaliknya yang beliau rasa.

Beliau bukan rasa bersemangat, sebaliknya meraung kesakitan kerana tendangan Allegri mungkin terkena pada bahagian yang tidak sepatutnya.

Ditusuk dengan senjata tumpul dan keras sememangnya akan menyakitkan dan mungkin kerana itulah reaksi Bernardeschi menunjukkan yang beliau sengsara dengan tendangan itu.

Juventus dilihat berdepan dengan kesukaran sejak dari pemergian Cristiano Ronaldo yang kembali menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Pemain yang telah berjaya menjaringkan 101 gol dari 134 perlawanan untuk The Old Lady itu memutuskan untuk kembali ke pangkuan bekas majikannya, selepas mengharungi karier selama tiga tahun di Turin.

Bahkan, pemain pertahanan berpengalaman, Leonardo Bonucci sendiri turut mengakui yang kesemua pemain Juventus sebenarnya terlalu bergantung kepada Ronaldo.

“Ini masalah dia. Biar mereka semua sedar, walau pemain terhebat dunia beraksi di sini, ia tidak menjamin kejayaan untuk Juventus.”

Jelas Bonucci kepada The Athletic.

“Kehadiran Cristiano banyak memberi pengaruh baik kepada kami. Cukup dapat berlatih dengan dia sudah beri kami tenaga tambahan, tapi secara tidak sedar, pemain mula fikir kehadiran dia sorang sudah cukup untuk memenangi perlawanan.”

“Kita mula jatuh perlahan-lahan dari rutin harian, kerendahan hati, pengorbanan, keinginan untuk sentiasa bersama rakan sepasukan setiap hari. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya rasa kamu boleh nampak semua itu.”

“Mungkin sudah tertanam dalam kepala semua orang, jika kita beri Cristiano Ronaldo bola, maka dia akan bantu kita untuk menang.”

“Tapi sebenarnya Cristiano juga perlukan rakan sepasukan seperti mana kita perlukan dia. Perlu ada tolak ansur kerana pasukan yang akan naikkan semangat individu, pemain terhebat dalam dunia pun perlukan hal sama.”

Bonucci menegaskan yang rakan sepasukannya yang lain terlalu bergantung kepada Ronaldo dan kerana itulah bintang Portugal itu merasa tertekan.

Melihat kepada kebangkitan The Old Lady pada ketika ini, sepertinya mereka bakal mampu untuk kembali mencabar kejuaraan liga, walau sudah sedikit jauh ketinggalan.

Mampukah Juventus untuk kembali mencabar kejuaraan liga? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pekerja FIAT Rancang Adakan Mogok Berikutan Perpindahan Ronaldo Ke Juventus