Bilik Persalinan Manchester United Bergolak?

Jose Mourinho kini ber­de­pan tekanan untuk menawan semula bilik persalinan Manchester United selepas bertindak mengkritik pemainnya secara terbuka ekoran kekalahan kepada Watford.

Akhbar Britain, The Sun mendedahkan, Luke Shaw dan beberapa bintang senior United terkejut setelah dimaki oleh pe­ngurus kelahiran Portugal itu sejurus kekalahan 1-3 di Watford.

Mourinho juga dikhabarkan bersedia untuk mengetepikan kap­ten, Wayne Rooney menjelang pertembungan dengan Leicester Sabtu ini, ekoran prestasi buruk yang dipamerkan bintang antarabangsa England itu di Vicarage Road.

“Aura Mourinho kini telah hilang…dia seperti pengurus biasa lain yang melintas di depan kita. Fergie (Alex Ferguson) tidak akan sesekali memarahi pemainnya di depan orang ramai. Dia sering berbuat demikian secara tertutup,” kata sumber United kepada The Sun.

Penyokong pula mula mendesak agar Rooney diketepikan daripada kesebelasan utama. Dalam undian yang dibuat majalah peminat kelab, Red Issue Sanctuary, 99 peratus mahu pe­nyerang berusia 30 tahun itu disingkirkan, malah ada yang mencadangkan agar dia bersara.

Namun, layanan Mourinho terhadap Shaw nyata mengejutkan selepas pemain itu gagal mengawal ketat pergerakan Nordin Amrabat untuk gol kedua Watford. Bek kiri England itu dibawa keluar hanya dua minit selepas Juan Zuniga menjaringkan gol.

Shaw, 21, baru kembali daripada kecederaan kaki yang me­nimpanya sejak awal musim dan terpaksa bermain dengan masalah pangkal paha yang membelenggu. Bagaimanapun Mou­rinho secara terbuka menyalahkan pemain itu kerana melakukan kesilapan yang membuka ruang buat lawan menja­ringkan gol.

Dia turut memberi amaran kepada anak-anak buahnya bahawa mereka perlu menjaga kedudukan masing-masing menjelang jendela perpindahan Januari.

Dikenali sebagai Special One, Mourinho mendapat sokongan penuh daripada pemilik kelab iaitu keluarga Glazer untuk melakukan perubahan jika United masih gagal berada dalam kelompok empat terbaik.

Red Devils bakal berdepan pasukan Liga Satu, Northampton dalam pusingan ketiga Piala Liga, Khamis ini. Sekiranya mereka tewas, maka buat kali pertama Mourinho ditimpa empat kekalahan berturut-turut. – AGENSI

Sumber : Utusan Online

Baca Juga

Baca Juga