Billy Gilmour – Anak Askar Yang Diangkat Sebagai N’Golo Kante Baharu

Perlawanan antara England menentang Scotland adalah ibarat perseteruan antara abang dan adik, namun tidak pernah diambil mudah oleh para pemain dan penyokong. Semalam, kedua-dua pasukan ini bertemu dalam perlawanan kumpulan D Kejohanan Eropah dan menariknya, pemain terbaik perlawanan ini dianugerahkan kepada pemain yang baru berusia 20 tahun – Billy Gilmour.

Ketika pasukan England, yang dibarisi bintang-bintang dari Liga Perdana Inggeris menyerang bertubi-tubi kubu cotland, Gilmour muncul penyelamat selepas aksi cemerlangnya membantu barisan pertahanan mengekang asakan tersebut.

Dalam bahasa yang senang difahami, Gilmour adalah pemain yang telah banyak memudahkan kerja tiga pertahanan tengah Scotland semalam.

Kecemerlangan Gilmour tersebut membuka mata banyak pihak dan ada yang melabelnya sebagai NGolo Kante yang baharu!

Kalau tak percaya, tengok ciapan bekas pemain Chelsea, Patrick an Anholt, di bawah.

Gituh!

Selain van Aanholt, Gilmour turut mendapat pujian daripada pengurus Scotland sendiri, Steve Clarke, selepas perlawanan.

“Dia tak ada rasa gemuruh pun,” ujar Clarke kepada talkSPORT.

“Dia datang dari Ayrshire, sama macam aku. Aku kenal sangat Billy dan aku kenal masa di Chelsea.

“Kira masa yang tepat la untuk letak dia dalam pasukan. Aku rasa keseimbangan pasukan dari belakang ke depan adalah sangat bagus malam ni dan terbukti dalam persembahan semua.”

Untuk rekod, Clarke pernah menjadi pembantu pengurus di Chelsea, dan dia sangat faham akan potensi pemain muda ini.

Bekas jurulatih Chelsea, Jose Mourinho, turut memuji persembahan Gilmour semalam.

“Budak Gilmour tu yang menjadi titik perbezaan,” ujar Jose.

“Dia selalu ada, dia nak bola walau di bawah tekanan.”

Tidak terhenti di situ, pujian kepada Gilmour turut dinyatakan oleh kapten marvel pasukan Scotland, Andy Robertson.

“Duk kat atas ni [sebagai persembahan terbaik di kalangan sesiapa yang bermain memakai jersi Scotland].

“Aku ada cakap dengan dia di hotel hari ni dan tengok je kat dia dan tak ada apun yang buat dia hairan.

“Aku percaya dia akan dapat seberapa banyak caps yang dia nak untuk Scotland, dia ada masa depan yang cerah tapi sekarang pun dia dah sedap.”

Jadi, siapa Billy Gilmour ni? Kalau dia sedap, kenapa dia tak pernah timbul nama dia dalam liga?

Gilmour dilahirkan pada 11 Jun 2001 di Hospital Pusat Ayshire di Irvine, Ayshire dan tinggal di Ardrossan, di bahagian utara Ayshire.

Ayahnya merupakan seorang anggota tentera laut diraja Britain dan pernah bermain bola sepak untuk pasukan belia Ardrossan Winton Rovers. Gilmour mula belajar erti sebenar bola sepak ketika dia menghadiri Sekolah Rendah Stanley di Ardrossan dan Akaademi Grange di Kilmarnock, di bawah prgoram pembangunan sekolah oleh Persatuan Bola Sepak Scotland.

Kelab gergasi Scotland, Glasgow Rangers, mengesan bakat pemain ini dan membawanya ke Akademi Rangers. Dek kehebatannya, Gilmour dinaikkan dengan cepat ke pasukan utama bawah-20 tahun ketika dia baru berusia 15 tahun, pada 2016.

Pada tahun yang sama juga dia telah dijemput unutk berlatih bersama skuad senior oleh pengurus, Mark Warburton.

Apabila ada bakat muda yang meningkat naik, pasti pasukan gergasi dari selatan Scotland mula nak sibuk. Begitu juga dengan bakat Gilmour di mana dia telah menarik minat beberapa kelab, namun selepas memperhalusi tawaran, Gilmour memilih Chelsea sebagai destinasi berikutnya untuk mengenal erti bola sepak.

Pada usianya 16 tahun pada bulan Julai 2017, Gilmour secara sah menjadi milik Chelsea dan Rangers dibayar pampasan sebanyak £500,000.

Selepas menyertai pasukan bawah-18 The Blues, Gilmour menjaringkan gol dalam debutnya pada September 2017 menentang Arsenal. Pada bulan Julai 2019, Gilmour akhirnya melakukan debut buat pasukan utama Chelsea dalam perlawanan pra-musim yang ketika itu dikendalika pengurus yang juga lagenda kelab, Frank Lampard.

Lampard memang dikenali sebagai pengurus yang suka memberi peluang kepada pemain muda dan hasilnya, ramai pemain akademi yang mencipta nama di liga seperti Mason Mount, Reece James dan Tammy Abraham.

Pada musim 2020-21, Gilmour hanya diturunkan sebanyak 14 kali dan menjaringkan satu gol. Walaupun gagal memecah dominasi pemain yang lebih berkaliber di bahagian tengah pasukan Chelsea, bakat Gilmour tidak boleh dipandang sepi dan malam tadi adalah titik mula kepada dunia untuk berkenalan dengan N’Golo Kante baharu ini.

Cerita diolah dari : talkSPORT dan wikipedia

BACA:  Wales Dan Scotland Perlu Tarik Diri Agar Ukraine Boleh Layak Ke Piala Dunia