Bintang Liverpool, Neco Williams Lakukan Kesilapan Yang Menyebabkan Wales Dinodai Denmark

Satu kesilapan kecil dari Neco Williams telah menyebabkan Wales dinodai oleh Denmark dalam aksi perlawanan di pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020 awal pagi tadi.

Ia sememangnya tugas berat untuk Wales berdepan dengan Denmark di Amsterdam dengan mereka tidak berada di tahap persembahan yang terbaik.

Sementara Denmark pula, mereka ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaik skuad selepas kejayaan membelasah Rusia 4-1 dalam aksi perlawanan terakhir saingan peringkat kumpulan minggu lalu.

Denmark turun sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut dengan penyokong mereka memenuhi ruang stadium untuk memberi sokongan.

Sementara para penyokong Wales pula tidak mampu untuk hadir kerana mereka tidak boleh terbang ke Netherlands pada ketika ini.

Walaupun skuad kendalian Rob Page bermula dengan agak baik, dengan mereka berjaya memberi saingan yang sengit pada aksi babak pertama permainan.

Namun begitu, Denmark berjaya mendahului perlawanan pada aksi babak pertama dengan keputusan 1-0 selepas Kasper Dolberg menjaringkan gol yang cukup cantik dari luar kotak penalti.

Wales kemudiannya ditimpa satu lagi musibah selepas Connor Roberts mengalami kecederaan pada aksi babak pertama permainan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-40 permainan.

Roberts yang mengalami kecederaan ketika beliau berusaha untuk menyelamatkan bola supaya kekal dalam kawasan permainan telah digantikan oleh bintang Liverpool, Neco Williams.

Walau bagaimanapun, tiga minit sahaja selepas bermulanya aksi babak kedua permainan, Williams telah melakukan kesilapan dungu yang membawa padah pada skuadnya.

Dengan bola hantaran silang yang rendah dan perlahan masuk ke kotak penalti Wales, Williams mempunyai banyak masa untuk mengawal bola tersebut sebelum mengeluarkannya dari kawasan bahaya.

Namun dek kerana terlalu gelojoh, beliau dengan segera cuba melakukan clearance, namun bola rembatan beliau tiba tepat di kaki Dolberg yang berada betul-betul di hadapannya.

Dolberg yang seolah dibelanja oleh Williams dengan segera melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Wales seterusnya menjaringkan gol kedua peribadinya dan untuk Denmark.

Dan kerana gol itu, mental para pemain Wales jelas mulai goyah dan huru hara, lalu menyebabkan mereka berkali-kali melakukan kesilapan yang mengundang padah.

Namun begitu, para pemain Wales mendakwa ketika build up gol tersebut, ada kekasaran yang berlaku dan mereka seharusnya diberikan sepakan percuma.

Para pemain Wales mendakwa Kieffer Moore telah dikasari terlebih dahulu sebelum bola masuk ke kawasan mereka seterusnya menghasilkan gol untuk Denmark.

Selepas dari gol kedua itu, Wales jelas hilang tumpuan dan Denmark benar-benar mendominasi permainan pada aksi babak kedua permainan itu.

Pada minit ke-88, Joakim Maehle kemudiannya menambah derita Wales dengan beliau meledak gol ketiga untuk Denmark mendahului permainan 3-0.

Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, Harry Wilson kemudiannya telah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada masa kecederaan permainan.

Tidak cukup dengan tiga biji, Martin Braithwaite meledak satu lagi gol pada minit terakhir permainan untuk memastikan kemenangan 4-0 berpihak pada Denmark.

Dalam satu temu bual selepas tamat perlawanan bersama BBC, Bale meluahkan rasa kecewanya dengan meninggalkan temu bual itu separuh jalan sahaja.

Bale turut dilayangkan kad kuning dalam perlawanan tersebut, kerana beliau dirasakan menganjing pengadil perlawanan yang ketika itu membuat keputusan yang tidak memihak kepada Wales.

Beliau sempat meluahkan rasa kecewanya tentang perlawanan tersebut, sebelum berlalu pergi selepas mendengar soalan yang tidak beliau mahukan.

Bale juga sempat memuji rakan sepasukannya yang menunjukkan usaha gigih ketika berdepan dengan anak-anak buah Kasper Hjulmand.

β€œIni bukan tentang bagaimana kami mahu perlawanan ini berjalan.”

Jelas Bale.

β€œKami bermula dengan baik, kami bolos satu gol dan perlawanan mula berubah sedikit.”

β€œKami sayangnya telah melakukan kesilapan yang membunuh terus permainan di pihak kami. Untuk memperbetulkan semula kesilapan kami berakhir dengan kekecewaan, tapi saya rela lakukan semua itu berbanding langsung tak buat apa-apa.”

β€œSaya rasa itu foul, tapi pengadil perlawanan mungkin dipengaruhi oleh penyokong yang memenuhi stadium, tapi tak guna untuk jadikan itu sebagai alasan.”

β€œKami terlepas peluang ini, tapi saya rasa kita tak boleh salahkan usaha yang para pemain sudah tunjukkan.”

Wartawan kemudiannya mahu bertanya kepada Bale soal masa depan beliau bersama skuad kebangsaan Wales, namun belum sempat soalan itu dihabiskan, pemain Real Madrid itu terus pergi meninggalkan temu bual tersebut.

Joe Rodon yang telah memainkan peranan penting untuk skuad Wales di kejohanan Euro 2020 ini merasakan tidak mungkin Gareth Bale akan bersara selepas berakhirnya kejohanan ini.

Ketika beliau ditanya adakah Bale akan menggantung bootsnya selepas kejohanan ini, Rodon menjawab:

β€œTak mungkin! Semuanya terpulang pada Gareth dan saya tak boleh buat apa-apa tentang itu, tidak ada sesiapa antara kami di Wales yang mahu melihat dia menghampiri persaraannya dan kami mahu dia kekal selama yang mungkin.”

β€œDia sungguh hebat dan dia sangat baik dengan saya sejak hari pertama saya bersama dengannya di Tottenham.”

β€œDia seorang yang mengagumkan, sangat hebat untuk miliki pemain seperti dia dalam bilik persalinan, dan jelas sekali, semua orang tahu apa yang telah dia lakukan atas padang bola. Apa yang pasti, sangat hebat untuk kenal orang seperti dia dan dia ada karakter yang menakjubkan.”

Kekalahan ini menyebabkan Wales tersingkir dari saingan Euro 2020, sementara Denmark berjaya menjadi pasukan pertama yang melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Lawan Denmark di peringkat suku akhir nanti adalah antara Czech Republic ataupun Netherlands yang akan bertemu pada 28 Jun nanti.

Baca Juga

Baca Juga