Bintang Man Utd Sangat Berminat Sertai Barcelona Januari Ini

Pemain penyerang Manchester United dan Uruguay, Edinson Cavani dilaporkan sangat berminat untuk beraksi bersama Barcelona di bawah kendalian Xavi, dan beliau mahu perpindahan itu berlaku pada jendela perpindahan Januari ini.

Edinson Cavani pada ketika ini sudah bersedia untuk melengkapkan perpindahan ke Nou Camp, dengan Barcelona sendiri turut sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain penyerang berusia 34 tahun itu berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika debutnya di Old Trafford pada musim lalu.

Beliau berjaya menjaringkan 17 gol dan turut mencatatkan 10 assists dari 40 penampilan dalam semua pertandingan bersama Manchester United.

Kontrak Cavani bersama Manchester United akan berakhir pada musim panas 2022, dengan beliau pada ketika ini dilihat sukar untuk mendapat minit permainan yang diharapkan.

Pada musim ini, beliau hanya diberi kesempatan untuk beraksi sebanyak lapan perlawanan, dengan bekas bintang PSG itu hanya mampu meledak satu gol sahaja sepanjang tempoh tersebut.

Beliau kerap diketepikan dek kerana dibelenggu masalah kecederaan dan Cavani juga turut berdepan persaingan yang sangat sengit pada ketika ini dari barisan pemain muda kelab.

Xavi sementara itu benar-benar mahu mengubah dan menambah baik kemampuan jentera serangan beliau, dengan Barca kini baru sahaja kehilangan khidmat Sergio Aguero yang sudah mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak.

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, Cavani merupakan pemain sasaran Barcelona pada ketika ini, dalam usaha mereka untuk menyelesaikan masalah ketumpulan di bahagian jentera serangan.

Laporan sama turut menyatakan yang Cavani sangat berminat untuk menyarung jersi Barcelona pada jendela perpindahan Januari ini nanti.

Media tempatan Sepanyol itu turut menambah yang mereka mendapatkan maklumat dari sumber terdekat Cavani, yang mana mereka menyatakan bahawa bintang Uruguay itu nampak Barcelona sebagai cabaran yang sangat beliau mahukan.

Beraksi bersama Barcelona di Nou Camp bakal mengindahkan lagi karier Edinson Cavani sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Cavani yang melanjutkan kontraknya bersama Barcelona pada Mei lalu turut faham dan bersimpati dengan masalah kewangan Barca pada ketika ini, dan beliau menegaskan duit bukan halangan.

Bekas bintang PSG dan Napoli itu pada ketika ini masih belum diturunkan dengan aksi terakhir beliau adalah ketika aksi terikat 2-2 bertemu Atalanta dalam saingan Champions League.

Dek kerana masalah kecederaan dan kecergasan, Edinson Cavani telah direhatkan dan beliau masih belum diberikan minit permainan sehingga hari ini.

“Sepanjang tempoh rehat antarabangsa ini, saya berpeluang untuk berehat dan memberi tumpuan untuk jalani fasa penyembuhan.”

Jelas Cavani kepada laman rasmi kelab.

“Saya mahu segera pulih dan mahu terus beraksi bersama kelab dan skuad kebangsaan saya.”

“Jadi sepanjang tempoh ini, saya mampu untuk menghabiskan waktu beberapa hari di Uruguay, lakukan fitness dan jalani proses penyembuhan, dan pada masa sama juga, saya berkesempatan untuk bertemu keluarga saya juga, yang mana ia selalu menjadi keutamaan, untuk berjumpa keluarga dan berada dekat disamping mereka.”

Cavani sememangnya berada dalam radar Xavi, dengan pengurus baharu Barca itu baru-baru ini telah menyerahkan senarai wishlist beliau kepada kelab.

Beliau menyenaraikan 10 pemain, dan berharap agar ada pemain-pemain dari wishlist beliau yang akan mampu untuk ditandatangani oleh kelab.

Senarai 10 pemain yang berada dalam wishlist Xavi

Xavi telah menyenaraikan 10 pemain yang beliau sangat berharap agar Barcelona akan pertimbangkan untuk ditandatangani pada jendela perpindahan Januari ini.

Gergasi Catalan itu pada ketika ini berada di kedudukan kelapan dalam saingan La Liga, dengan mereka juga sedang berada di zon bahaya untuk tersingkir dari saingan Champions League.

Mereka berada di kedudukan ini dek kerana Barcelona mengharungi awal musim yang sangat teruk ketika di bawah kendalian Ronald Koeman.

Pengurus baharu kelab, Xavi sedar dengan standard Barca pada ketika ini dan beliau sangat berharap akan mampu untuk kembalikan Barca menjadi pasukan yang paling digeruni lawan.

Untuk merealisasikan hasratnya itu, Xavi sudah menyenaraikan beberapa nama untuk beliau tandatangani dengan dua dari 10 pemain yang ada dalam wishlist beliau adalah Edinson Cavani dan Jesse Lingard.

Kedua-dua mereka pada ketika ini sedang bergelut bersama Manchester United pada ketika ini, dengan mereka hanya membuat enam penampilan sahaja dalam saingan Premier League musim ini.

Kontrak kedua-dua mereka juga akan tamat pada musim panas ini dengan Barca sudah boleh memulakan rundingan seawal Januari ini nanti.

Untuk kes Edinson Cavani pula, pihak kelab mungkin boleh berunding untuk segera membawa beliau ke Sepanyol, memandangkan pihak kelab sedang bergelut dengan masalah kecederaan.

Sergio Aguero sudah tentu tidak akan membuat sebarang penampilan lagi untuk Barca pada musim ini dengan Martin Braithwaite pula turut terpaksa diketepikan atas alasan yang sama.

Ousmane Dembele masih terus bergelut dengan masalah kecederaan dan kecergasan, sementara Luuk de Jong pula sudah diketepikan dari perancangan Xavi.

Dua pemain penyerang Chelsea, Hakim Ziyech dan Timo Werner telah dikaitkan dengan bakal ditandatangani oleh Barcelona tidak lama lagi.

Raheem Sterling juga merupakan antara pemain yang paling dikehendaki oleh Xavi dengan bintang Manchester City itu sendiri dilaporkan bersedia untuk meninggalkan kelab selepas enam tahun beliau menabur bakti di Etihad.

Minit permainan beliau sepanjang musim ini juga semakin berkurangan selepas City menandatangani Jack Grealish dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta.

Antara nama paling mengejutkan yang ada dalam senarai pemain yang Xavi mahukan adalah bintang muda Tottenham Hotspur, Bryan Gil.

Pemain muda berusia 20 tahun itu tiba di Sevilla pada musim panas lalu dengan perjanjian pertukaran pemain yang melibatkan Erik Lamela.

Beliau beraksi sebanyak 13 kali, namun tidak pernah diturunkan sebagai kesebelasan utama dan Barca pada ketika ini berminat untuk mendapatkan khidmat beliau sebagai pemain pinjaman.

Empat pemain terakhir yang ada dalam senarai wishlist Xavi merupakan bakat-bakat muda dari seluruh dunia seperti Dani Olmo (RB Leipzig), Karim Adeyemi (Red Bull Salzburg), Julian Alvarez (River Plate) dan Arthur Cabral (Basel).

Olmo sebelum ini sudah beraksi bersama skuad akademi Barca selama tujuh tahun, sementara Adeyemi sebenarnya turut berminat untuk menyertai Barcelona.

Alvarez dan Cabral sememangnya tidak begitu dikenali oleh para peminat, namun Xavi yakin kedua-dua pemain muda ini merupakan prospek masa hadapan yang menakjubkan.

Walau bagaimanapun sukar untuk Barcelona memenuhi kehendak pengurus baharu mereka itu, memandangkan kedudukan ekonomi Barca pada ketika ini sangat teruk.

Seandainya mereka berjaya melepaskan beban-beban kelab pada ketika ini, maka Barca akan ada kemampuan untuk membeli dan menggaji pemain yang baharu.

Namun begitu, Barca tentu saja akan tetap berusaha mendapatkan setidak-tidaknya satu atau dua pemain dari wishlist Xavi itu, dalam usaha untuk menaikkan semula kelab.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Heung-Min Son Mahu Tewaskan Manchester United Sebelum Berangkat Ke Piala Asia