Bintang Man Utd Tolak Untuk Sertai Newcastle Januari Ini

Bintang Manchester United, Anthony Martial dilaporkan telah menolak tawaran dari Newcastle yang sanggup membayar £30 juta untuk yuran perpindahan beliau.

Martial menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu melengkapkan perpindahan menyertai Newcastle United pada jendela perpindahan Januari ini.

Martial yang kini masih lagi memiliki kontrak sehingga 2024 bersama setan merah dijangka akan meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan Januari ini.

Beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab kerana mahu menyertai kelab yang boleh menjanjikan minit permainan kepadanya.

Pemain berusia 26 tahun itu gagal untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama United di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Sejak ketibaan Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini, Martial tidak lagi menjadi pemain utama kelab.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick sepertinya tidak begitu memerlukan khidmat Anthony Martial, dengan bintang Perancis itu juga hanya sempat membuat 10 penampilan sahaja di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer musim ini.

Anthony Martial merupakan antara nama paling hangat yang dikaitkan dengan bakal meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini, dengan Sevilla, Newcastle, Barcelona dan Juventus dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurut sumber laporan dari UK, Martial sama sekali tidak berminat untuk menandatangani perjanjian bersama Newcastle, memandangkan The Magpies sedang bergelut di zon penyingkiran.

Menurut laporan dari Sport, bintang Manchester United itu sudah menolak tawaran dari Newcastle United baru-baru ini.

Akhbar tempatan Sepanyol itu mendakwa yang Newcastle sanggup mengeluarkan dana bernilai £30 juta dalam usaha mereka untuk mendapatkan pemain penyerang itu.

Newcastle menganggap Martial merupakan calon paling sesuai untuk menggantikan Callum Wilson, yang menderita kecederaan betis ketika aksi terikat 1-1 bertemu United bulan lalu.

Laporan sama turut mendedahkan yang Martial sebenarnya lebih berminat untuk menandatangani perjanjian bersama Barcelona.

Beliau kini sanggup menolak tawaran dari pelbagai lagi kelab, demi menunggu tawaran rasmi dari Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, Barcelona sendiri sudah mengeluarkan dana bernilai £46.3 juta baru-baru ini, untuk menandatangani Ferran Torres dari Manchester City.

Mereka juga dilaporkan hanya mahu menandatangani Martial sebagai pemain pinjaman sahaja pada jendela perpindahan Januari ini dan bukanlah membeli secara tetap.

Ralf Rangnick sendiri telah mendedahkan yang Martial ada berjumpa beliau secara peribadi, untuk mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan kelab.

Ralf Rangnick sendiri menyatakan kepada Martial yang beliau faham dengan hasrat bintang Perancis itu dan turut memberi keizinan kepadanya andai mahu berpindah.

“Dia jelaskan kepada saya yang dia sudah tujuh tahun berada di sini dan dia rasa ini adalah masa yang tepat untuk lakukan perubahan, untuk pergi ke tempat lain.”

Jelas Ralf Rangnick pada Disember tahun lalu.

“Saya rasa benda ni memang boleh difahami, saya boleh ikut kemahuan dia, tapi pada satu sisi lain, adalah sangat penting juga untuk melihat situasi kelab terlebih dahulu.”

“Kita ada kes C0V-19 yang banyak, kita ada tiga pertandingan yang masih berlangsung yang mana kita ada keinginan untuk memenangi kesemua semampu kita.”

Walau bagaimanapun, selepas berunding dengan Martial, beliau akhirnya akur dan terpaksa menerima keputusan dari bekas bintang Man Utd itu.

Tidak keterlaluan juga untuk menganggap yang Martial kini sememangnya sedang menanti panggilan dari Barcelona, berbanding mana-mana pasukan lain.

Beliau sebelum ini sudah hampir pasti untuk menyertai Sevilla, namun kerana masalah berkait pembayaran gaji, rundingan tersebut masih belum mampu untuk dimuktamadkan.

Kini, Newcastle mencuba nasib untuk mendapatkan Martial, dan walau mereka mampu dari sudut kewangan, namun mereka gagal untuk memenangi hati bintang Perancis itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Newcastle Dah Mula Berangan Mahu Bintang Mega Sertai Mereka