Bintang Newcastle Tak Goyang Kehadiran Cristiano Ronaldo

Bintang Newcastle mendedahkan yang beliau sama sekali tidak goyang dengan kehadiran Cristiano Ronaldo menjelang aksi pertemuan kedua-dua pasukan hujung minggu ini.

Para peminat bola sepak terutamanya penyokong Manchester United sudah tidak sabar untuk menantikan perlawanan penuh bersejarah itu.

Ia kerana mereka begitu teruja untuk menyaksikan debut kedua Cristiano Ronaldo yang baru ditandatangani semula oleh pihak kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

Steve Bruce akan kembali ke Old Trafford membawa anak-anak buahnya, dan tidak diragukan beliau tentu akan merasai element nostalgia yang ada pada hari tersebut.

Ia kerana beliau turut beraksi untuk setan merah, ketika menyambut kepulangan semula Eric Cantona pada tahun 1995 dengan memakai jersi bernombor tujuh.

Saint-Maximin anggap Newcastle tidak goyang dengan Ronaldo

Perlawanan yang digelar ‘Return of the King’ itu sebenarnya meraikan kepulangan semula Cantona, yang sebelum itu digantung selama sembilan bulan.

Pemain kebangsaan Perancis yang beraksi dalam skuad kendalian Steve Bruce, Allan Saint-Maximin bertekad untuk menjadi perosak pesta di Old Trafford pada hujung minggu ini.

Allan Saint-Maximin tidak diragukan lagi bakal menjadi ancaman terbesar United dalam perlawanan tersebut, dengan beliau turut bertekad untuk memberikan segala yang beliau mampu untuk membawa pulang tiga mata penuh.

“Bahkan saya rasa Manchester United bukanlah terlalu kebal.”

Jelas bintang berusia 24 tahun itu.

“Sebelum mereka menandatangani Ronaldo, mereka ada skuad yang hebat, dan mereka turut memenangi perlawanan. Jadi sudah tentu, dengan adanya Cristiano Ronaldo sekarang, mereka dilihat lebih bagus, tapi kami akan tetap beri tumpuan.”

Walau gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan dari tiga perlawanan awal mereka, Newcastle United tidak dinafikan lagi memang antara pasukan underdogs yang perlu diberi perhatian.

Saint-Maximin yakin mereka akan berjaya mengejutkan United dalam perlawanan yang akan dilangsungkan di Old Trafford itu nanti.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik semampu saya, kerana saya yakin seluruh dunia akan menyaksikan perlawanan tersebut kerana Ronaldo.”

Jelas Saint-Maximin kepada NUTV.

“Tapi saya tahu kualiti saya. Saya tahu yang saya boleh lakukannya di atas padang, dan saya tahu ia bakal menjadi perlawanan yang sukar. Kami mahukan menang untuk memulakan saingan musim baru ini.”

“Dan jika kami bermain bertemu Man Utd, kami tahu jika semua pemain berikan yang terbaik semampu mereka, kami boleh menang perlawanan itu, jadi mari kita saksikan.”

Ole Gunnar Solskjaer masih belum memutuskan sama ada beliau akan turunkan Cristiano Ronaldo atau tidak pada hari perlawanan tersebut.

Melihat kepada keterujaan para penyokong, tidak dinafikan lagi yang Ole tentunya akan beri peluang kepada Cristiano Ronaldo untuk melakukan debutnya.

Manchester United ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam carta liga, dengan mereka berjaya mengumpul tujuh mata dari tiga perlawanan.

Setan merah tentunya mahu terus mengutip mata demi mata, dalam usaha mereka untuk merampas takhta liga, seterusnya berusaha untuk menjulang kejuaraan Premier League pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lima Calon Pengurus Yang Bakal Mengurus Newcastle United