Bintang Tengah Perancis Menjadi Sasaran Pertama Dalam Revolusi Newcastle United

Pasukan yang secara tiba-tiba mempunyai semakin ramai penyokong di Malaysia, Newcastle United, dikatakan bakal melakukan pembelian pertama selepas pengambilalihan kelab oleh Syarikat Pelaburan Awam Saudi pada bulan Januari ini dengan bintang Perancis menjadi sasaran pertama.

Adrion Rabiot, yang kini bersama pasukan yang turut memakai jersi belang hitam putih di Serie A, Juventus, dilaporkan telah ditawarkan kepada Newcastle dan pemilik baharu kelab dilihat sangat berminat untuk membawa pemain ini ke St James Park, dalam proses merevolusikan kelab ini.

Pemain antarabangsa Perancis ini secara umumnya tidak berapa nak menjadi di Turin sejak tiba secara percuma dari Paris Saint Germain pada tahun 2019.

Pihak Juventus dikatakan sangat terdesak untuk melepaskan pemain ini dalam mendapatkan dana untuk kelab, pada masa yang sama ingin mengambil langkah penjimatan memandangkan gaji yang diterima Rabiot adalah sekitar £175,000 seminggu dan Newcastle dianggap sebagai desinasi yang ideal buat pemain ini.

Amanda Staveley, eksekutif di kelab Liga Perdana Inggeris tersebut, mewakili pemilik kelab, dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan Rabiot yang dinilai pada harga kurang £15 juta.

Sebelum ini terdapat banyak desas-desus khabar angin tentang senarai beli belah Newcastle United pada bulan Januari nanti, memandangkan kelab ini mempunyai pemilik yang memiliki aset sekitar £305 billion.

Selepas memecat Steve Bruce daripada jawatan pengurus kelab dan menggantikannya dengan bekas pengurus Bournemouth, Eddie Howe, ramai pemain yang dikaitkan dengan kelab ini dan Rabiot adalah salah seorang daripadanya.

Sememangnya diketahui Howe ingin menguatkan pasukan barunya ini namun tidak diketahui sama ada dia berminat atau tidak dengan pemain tengah Perancis tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu mula menarik perhatian ramai selepas tampil cemerlang bersama PSG dan pada awalnnya dia dijangka bakal menggegar dunia dan menjadi pemain tengah terbaik yang pernah dihasilkan.

Walaubagaimanapun, dia masih belum mampu untuk merealisasikan jangkaan ramai tersebut meskipun telah berjaya memiliki lima kejuaraan Ligue 1 dan satu Serie A, serta sering dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Les Bleus.

Rabiot baru-baru ini telah berasakan bahawa masa depannya bersama kelab yang bertapak di Allianz Arena itu kian malap dan dia pernah ditawarkan kepada pasukan EPL yang kini menjadi bahan jenaka, Manchester United pada musim panas lalu.

Selain Rabiot, rakan sepasukannya di Juventus yang juga bekas pemain Arsenal, Aaron Ramsey, turut berada dalam radar Newcastle.

Jika perpindahan kedua-dua pemain ini menjadi kenyataan, Newcastle seharusnya mampu menjadi lebih berdaya saing dan mendaki tangga liga, sekaligus meninggalkan posisi di tangga ke-19 yang sedang dihuni ketika ini.

Meskipun Howe gagal menyelamatkan pasukan Bournemouth daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan pada tahun lalu, Stevely percaya bahawa pengurus Inggeris tersebut bakal menjadi pengurus yang baik buat kelab yang pernah dipopularkan oleh Santiago Munez itu.

“Kita perlukan seseorang yang menerajui pasukan yang tidak takut kepada tersingkir [ke Liga Kejuaraan],” ujar Staveley kepada NUFC TV.

“Aku ingat lagi masa sembang dengan Eddie pasal ni pada hujung minggu masa lawan Brighton. Dia akan kembali ke posisi yang pernah dia berada sebelum ini.

“Selaku syarikat pelaburan, kami ni bukan berani sangat tapi kalau nak ikut jalan mudah, kitorang tak beli kelab sekarang ni, mungkin tunggu selepas Krismas, selepas jendela perpindahan Januari, tengok keadaan kelab dalam liga dan lepas tu baru beli.

“Itu adalah pelaburan yang selamat tapi kami tak buat lagu tu. Kami dah sepakat bahawa kalau tak beli sekarang ni, memang sampai bila-bila pun takkan jadi dan kami sanggup ambil risiko tersebut.

“Kami faham yang kami ambik risiko sebab kami tahu yang kelab ini sedang berada di tangga ke-19 pada masa tu. Eddie pun ambil sama risiko tu walaupun dia tahu bahawa kemungkinan untuk jatuh liga tu ada.

“Aku rasa dia akan melakukan tugas yang sangat baik, begitu juga dengan pasukan.

“Kita ada skuad yang mempunyai pemain yang elok dan aku jadi dah jatuh hati walaupun baru sangat berada di sini.

“Aku tahu yang mereka [para pemain] akan mampu bekerja dengan baik dengan Eddie,” ujar Staveley panjang lebar.

Berita : SB

BACA:  Newcastle Berjaya Sailang Pemain Sasaran Utama Arsenal Dengan Bidaan Bernilai €40 Juta