Boateng Kecam Pihak Yang Mengkritik Ozil Berikutan Prestasi Hambar Jerman

Pemain pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng mengecam pihak yang mengkritik Mesut Ozil berikutan prestasi hambar Jerman dalam Piala Dunia 2018.

Jerman menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot selepas tewas dua dari tiga perlawanan sekaligus tersingkir awal dari kejohanan yang mereka menangi 4 tahun lepas di Brazil.

Ozil teruk dikecam peminat Jerman berikutan keputusan buruk Jerman di Piala Dunia 2018

Kekalahan di tangan Mexico dan Korea Selatan memaksa Jerman pulang awal dan ini merupakan kali pertama Jerman gagal mara ke peringkat kalah mati sejak tahun 1938.

Seperti dijangka, kritikan dari segenap pihak datang bertalu-talu bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap persembahan Jerman di Russia. Antara pemain yang menjadi mangsa kritikan adalah pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil.

Lenggok badan Ozil yang kelihatan seperti beliau tidak berminat untuk bermain menjadikan dirinya ‘easy target’ kepada pengkritik-pengkritik bola sepak di luar sana. Kritikan yang selalu kita dengar di Arsenal kini telah berjangkit ke pasukan kebangsaan.

Walaupun demikian, rakan Ozil dalam skuad kebangsaan, Jerome Boateng mengecam pihak yang menyalahkan Ozil sambil berkata Ozil tidak berhak untuk menerima kecaman atas apa yang berlaku di Russia.

Gaya permainan Ozil yang bermain seperti beliau ‘malas bermain’ menyebabkan dirinya menjadi sasaran pengkritik bola sepak di luar sana

“Semua pihak memilih untuk menyalahkan Mesut Ozil, tetapi itu tidak wajar dilakukan kerana Ozil hanya seorang manusia biasa.” Ujar Boateng kepada Welt am Sonntag

“Seluruh pasukan bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada pasukan Jerman. Kami gagal bekerjasama dengan baik dalam Piala Dunia kali ini. Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri sahaja.”

Bekas pemain Manchester City ini juga menjelaskan mengapa Ozil sering dijadikan sasaran pengkritik.

“Beliau seorang artis apabila bola berada di kakinya, bukan seorang pejuang seperti saya di bahagian pertahanan. Sebab itulah Ozil sering dinilai dalam cara yang buruk. Tetapi itu bermakna beliau tidak mahu menang atau beliau melakukannya dengan sengaja. Ia situasi yang sukar untuk Ozil hadapi.”

Boateng tetap akan meneruskan karier antarabangsanya selepas ini tetapi tidak tahu apa rancangan Ozil selepas ini

Boateng mengesahkan beliau tidak akan bersara dari arena antarabangsa dan akan terus mewakili Jerman dalam pusingan kelayakan Euro’ 2020 yang bakal bermula tidak lama lagi. Spekulasi bertiup kencang mengatakan Ozil akan bersara, tetapi Boateng enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara dan hanya mahu mendengar dari mulut Ozil sendiri.

“Sudah tentu saya ada bercakap dengan Ozil. Sama seperti pemain-pemain yang lain, Mesut berasa sangat kecewa dan sedih selepas Piala Dunia berakhir lebih awal buat kami, tetapi sudah tentu saya tidak boleh bercakap untuk pihak beliau.”

Ozil mempunyai 92 penampilan antarabangsa untuk Jerman dan telah menjaringkan 23 gol sejak melakukan penampilan pertamanya menentang Norway pada Februari 2009.

BACA:  Jerman Pecat Hansi Flick Selepas Dimalukan Jepun