Bola Rembatan Lewandowski Menghancurkan Telefon Bimbit Salah Seorang Peminat

Robert Lewandowski menunjukkan kekuatan dan kelajuan bola rembatan beliau ketika menjalani sesi latihan terakhir Poland sebelum sepak mula Euro, dengan menjahanamkan telefon bimbit peminat.

Perbuatan tidak disengajakan itu berlaku ketika skuad Poland sedang menjalani sesi latihan terakhir mereka menjelang aksi perlawanan pembukaan kumpulan E nanti.

Penyerang berusia 32 tahun itu dianggap sebagai salah seorang penyerang paling prolific dalam dunia bola sepak masa kini.

Beliau merupakan penyerang yang paling digeruni di kejohanan Euro 2020 ini selepas mengharungi satu lagi musim yang menakjubkan bersama Bayern Munich.

Lewandowski berjaya menjaringkan 53 gol dari 47 penampilan untuk kelab dan negara, dan beliau juga berjaya memecahkan rekod Bundesliga milik Gerd Muller sebagai penjaring terbanyak dalam satu musim dengan menjaringkan 41 gol hanya dari 29 penampilan sahaja.

Dengan penyerang berpengalaman itu tidak diragukan lagi sedang berada dalam rentak persembahan terbaik sepanjang kariernya, Lewandowski dijangka akan terus merobek gawang lawan di kejohanan musim panas ini bersama skuad kebangsaannya.

Ketika sedang menjalani sesi latihan semalam, Lewandowski telah menunjukkan bagaimana ketepatan rembatan yang mampu beliau lakukan.

Terdapat satu klip video yang tular di media sosial, menunjukkan bagaimana beliau merembat bola, dan bola tersebut tepat mengenai iphone salah seorang peminat yang sedang merakam suasana di padang latihan.

Lihat video di bawah. Lihat sendiri bagaimana tepatnya bola rembatan beliau mengenai sasaran walau bukan itu sasaran utamanya.

Lewandowski sangat berharap untuk menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan mereka bertemu Slovakia pada Isnin nanti.

Dan beliau tidak diragukan bakal jadi pemain terpenting yang akan menentukan nasib Poland, sama ada mampu untuk lepas dari peringkat kumpulan atau tidak.

Mereka bakal berdepan dengan lawan yang agak sukar dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan dengan bertemu Sweden.

Selepas bertemu Sweden, cabaran Poland sedikit lebih berat dengan mereka bakal berdepan dengan Juara Euro sebanyak tiga kali, Sepanyol.

Pengurus Poland, Paulo Sousa sendiri sedar dan tahu bagaimana pentingnya Lewandowski untuk skuad kendalian beliau menghadapi saingan Euro kali ini.

“Dia sangat penting dengan kualiti yang dia ada dalam menaikkan lagi tahap kami dan kamu sendiri boleh nampak negara bergantung padanya.”

Jelas beliau kepada EUFA.

“Dia merupakan seorang pemain yang sangat matang, dia selalu nak berikan yang terbaik. Kamu boleh lihat sendiri segala pencapaian dia setakat ini. Dia memang ada disiplin, cita-cita, dia selalu mahu membuatkan dirinya berada di tahap yang maksimum.”

“Kami ketika ini sedang berusaha dan dalam perjalanan untuk memiliki skuad yang seimbang, teratur, dengan mempunyai pemain yang lebih aggressive dan cemerlang membantu skuad”

“Kami juga akan menjadikan pemain kami lebih berkualiti dengan memastikan mereka sentiasa ada untuk beri sokongan kepada satu sama yang lain.”

Poland sebenarnya berkesempatan untuk mara ke peringkat seterusnya dengan laluan mereka di peringkat kumpulan E tidak begitu sukar.

BACA:  Robert Lewandowski Akhirnya Dinobatkan Pemain Terbaik Dunia