Bolehkah Kylian Mbappe Menyaingi Cristiano Ronaldo di Real Madrid?

Kylian Mbappe sudah lama menantikan detik seperti ini.

Sebelum perlawanan menentang Manchester City dalam Liga Juara-Juara, bintang Perancis itu telah pun menjaringkan 25 gol bersama Real Madrid. Malah dia baru sahaja mencatat hatrik pertamanya bersama Real Madrid ketika menentang Real Valladolid dalam saingan La Liga sebulan lalu. Namun, hatrik kejamnya yang menyingkirkan City dari kejohanan Eropah terasa seperti satu kenyataan sebenar, dilakukanndi Bernabeu, di pentas besar Eropah. Bintang galactico baharu telah tiba.

Liga Juara-Juara merupakan kejohanan istimewa untuk Real Madrid, juara 15 kali dan pemegang trofi semasa, serta pentas di mana ramai legenda kelab menempa nama. Mbappe kini menyertai senarai eksklusif 7 pemain yang pernah menjaringkan hatrik Liga Juara-Juara untuk Madrid dan ramai menjangkakan dia akan menyamai rekod Karim Benzema (4 hatrik) dan Cristiano Ronaldo (7 hatrik).

Mbappe masih jauh untuk menyamai pencapaian Ronaldo sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Madrid (422 gol, 116 bantuan gol) tetapi kualitinya yang luar biasa pada malam kemenangan ke atas City telah membuka perbincangan sama ada dia boleh mencapai tahap itu suatu hari nanti.

Mampukah Mbappe Capai Standard Ronaldo?

Hatrik Mbappe mengingatkan ramai kepada Ronaldo – kecekapan yang luar biasa serta kelajuan dalam menyudahkan peluang.

Gol pertamanya hadir selepas satu ledakan pantas yang membuatkan Ruben Dias tersungkur diikuti dengan satu lob sempurna untuk menewaskan Ederson. Gol kedua menyaksikan pergerakan kaki yang pantas untuk memperdaya Josko Gvardiol, sementara gol ketiganya pula terhasil daripada satu gerakan step-over diikuti dengan rembatan tepat dari luar kotak penalti menggunakan kaki lemah.

Walaupun berdepan pertahanan terbaik Eropah, seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

“Dia mempunyai kualiti untuk mencapai jumlah gol seperti Cristiano,” kata Carlo Ancelotti dalam sidang media selepas perlawanan. “Tetapi dia perlu bekerja keras kerana Cristiano telah menetapkan standard yang sangat tinggi.

“Dia sangat teruja bermain di sini, dan saya percaya dia boleh mencapai tahap Cristiano.”

Mbappe baru berusia 26 tahun dan banyak perkara boleh berlaku sepanjang kariernya di Madrid. Ronaldo beraksi hampir 38,000 minit untuk kelab itu, menjaringkan gol dalam 9 musim dan 6 kejohanan berbeza sambil mengekalkan rekod kecederaan yang hampir sempurna. Dia hanya terlepas kurang daripada 50 perlawanan sepanjang tempoh tersebut.

Terdapat tanda-tanda awal menunjukkan Mbappe mampu menandingi konsistensi Ronaldo di hadapan gol sekiranya dia kekal cergas dan mengekalkan kadar jaringan semasanya.

Mbappe Berada di Landasan Tepat?

Jika dibandingkan trajektori jaringan mereka di Eropah, Mbappe sebenarnya berada di landasan untuk melepasi jumlah jaringan Ronaldo. Dia kini mengekalkan kadar jaringan 0.91 gol setiap perlawanan sepanjang kariernya bersama Monaco, Paris Saint-Germain dan Real Madrid.

Lebih menarik, Mbappe mencapai kadar jaringan hampir 1 gol untuk setiap perlawanan pada usia yang jauh lebih muda berbanding Ronaldo.

Ketika berusia 17 tahun, Mbappe sudah menjaringkan 24 gol dan mencatat 7 bantuan dalam 25.6 perlawanan bersama Monaco. Sejak itu, dia sentiasa menjaringkan lebih daripada 20 gol dalam semusim.

Ronaldo pula mengambil masa lebih lama untuk mencapai tahap itu, musim kelimanya di Manchester United menyaksikan dia akhirnya mencatat 39 gol. Namun, segala-galanya berubah selepas perpindahan ke Madrid, di mana Ronaldo menjaringkan lebih daripada 1 gol untuk setiap perlawanan selama 7 musim berturut-turut bermula usia 24 hingga 30 tahun. Dalam tempoh itu, dia mencatat lebih 50 gol semusim sebanyak 6 kali – satu pencapaian luar biasa yang masih belum mampu dicapai Mbappe.

Walaupun Mbappe masih belum mencapai tahap kegilaan jaringan Ronaldo, konsistensinya sejak usia muda memberikan asas kukuh untuk dia mencabar rekod tersebut.

Mampukah Mbappe Kekalkan Konsistensi Hingga Usia 30-an?

Seperti kebanyakan penyerang berbisa, Mbappe mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol dari situasi yang tidak berbahaya, sesuatu yang membantunya mencatat jumlah jaringan lebih tinggi daripada jangkaan (xG).

Dalam 7 musim domestik terakhir, Mbappe telah menjaringkan 192 gol daripada jumlah xG yang dijangkakan sekitar 166.5 – satu petanda bahawa dia adalah penjaring yang lebih baik daripada purata pemain lain.

Tambahan pula, hubungannya dengan Vinicius Junior, Rodrygo dan Jude Bellingham semakin baik. Kemungkinan Trent Alexander-Arnold menyertai Madrid musim panas nanti boleh membantu jumlah peluang yang dicipta untuk Mbappe.

Namun terdapat satu perkara yang mungkin menghalang Mbappe daripada memecahkan rekod Ronaldo iaitu kualiti pemain di sekelilingnya.

Ronaldo adalah penjaring utama Madrid. Karim Benzema, Gareth Bale dan Gonzalo Higuain bertindak sebagai penyokongnya selama 9 tahun di Bernabeu. Dia jarang dibayangi rakan sepasukan malah dalam 2 musim La Liga, dia menjaringkan lebih 40% daripada jumlah gol pasukan. Sukar untuk membayangkan Mbappe mencapai tahap yang sama memandangkan dia berkongsi pentas dengan beberapa bintang lain.

Ancelotti telah menunjukkan bahawa barisan serangannya boleh berfungsi dengan baik secara kolektif.

“Mereka semua mahu berada dalam kesebelasan utama,” katanya dalam satu sidang media pada November lalu. “Kylian tidak pernah meminta saya untuk bermain di posisi tertentu. Mereka tidak mempunyai posisi tetap dan boleh bertukar mengikut situasi.”

Dalam perlawanan menentang City, Mbappe sering bergerak ke posisi kegemarannya iaitu bahagian kiri. Dia bertukar tempat dengan Vinicius Jr tetapi kedua-duanya masih mempunyai ruang untuk memberikan impak berhampiran kawasan penalti lawan. Ia menunjukkan mereka boleh bermain bersama dengan baik tanpa menjejaskan keberkesanan masing-masing.

“Saya tidak kisah menjadi penjaring terbanyak,” kata Mbappe selepas hatriknya menentang City. “Saya sudah menjaringkan banyak gol dalam karier saya. Jika gol-gol ini membantu kami memenangi trofi, saya sanggup menandatanganinya dengan darah. Jika saya boleh menjaringkan 50 gol, itu lebih baik tetapi yang paling penting adalah kejuaraan.”

Dengan mentaliti sebegini, ditambah dengan prestasi semasanya yang menakutkan, gol, kejuaraan dan rekod individu pasti akan menyusul. Malah, Ronaldo sendiri mungkin perlu berjaga-jaga.

BACA:  'Bromance' White Dan Phillips Mengingatkan Peminat Terhadap Aksi Romantis Reus Dan Lewandowski