Bonucci Masih Belum Puas Menganjing Penyokong England

Leonardo Bonucci masih belum puas menganjing para penyokong England selepas kejayaan beliau membantu skuad Itali menewaskan The Three Lions dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Kali ini beliau mengajak Chiellini pula untuk bergandingan bersama dengannya untuk terus menambah garam pada luka di hati para penyokong England.

Gandingan centre-back Itali, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini dianggap sebagai gandingan paling mantap dan tidak terkalahkan dalam saingan Euro 2020.

Kedua-dua pemain veteran itu membentuk gandingan yang sangat menjadi dan mereka dilihat mempunyai kesefahaman dan keserasian yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Bonucci bahkan berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika mengikat England 1-1 dalam aksi perlawanan akhir sebelum menewaskan pasukan tuan rumah itu menerusi aksi penentuan sepakan penalti.

Bonucci senantiasa memanfaatkan segala kesempatan yang beliau ada untuk menganjing para penyokong England, sejak dari detik sepakan penalti Bukayo Saka diselamatkan oleh Gianluigi Donnarumma.

Beliau bermula dengan menjerit ‘It’s Coming To Rome’ berulang-ulang kali dan ia jelas beliau sedang menganjing slogan keramat England, ‘It’s Coming Home’.

Bintang Juventus itu ketika ini sedang menikmati percutian bersama sahabat karibnya, Chiellini selepas kedua-dua mereka selesai tugasan bersama skuad kebangsaan Itali.

Mereka dilihat meraikan kejayaan menjuarai saingan Euro 2020 dengan bercuti sambil menikmati hidangan tradisi Itali, Pasta lalu memuat naik gambar di media sosial.

Bonucci memuat naik gambar mereka sedang menikmati pasta tersebut sambil kedua-dua mereka tersenyum sinis melihat kamera.

Bonucci ketika menjaringkan gol penyamaan Itali

Apa yang lebih menariknya lagi, Bonucci memuat naik gambar tersebut dengan caption:

“Kami terus memakan pasta…. Dan kamu?”

Pemain berusia 34 tahun itu merasa meluat dengan lagu It’s Coming Home sepanjang kejohanan ini dan beliau ketika ini meminta para penyokong The Three Lions supaya memasukkan pasta ke dalam lirik lagu tersebut.

Bonucci jelas sangat kecewa dengan layanan yang diberikan oleh para penyokong England dengan beliau menganggap semua hal itu sebenarnya memberi motivasi kepadanya untuk memenangi perlawanan tersebut.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan Itali, Bonucci mengakui yang menewaskan England dalam aksi perlawanan akhir dan menjulang Piala kejuaraan Euro 2020 merupakan penambah rasa untuk menjadikan mereka legenda.

Pertahanan Juventus itu mendedahkan kepada Rai Sport bahawa:

“Matlamat yang cemerlang adalah impian yang menjadi kenyataan dan pujian selayaknya diberikan kepada jurulatih, kepada semua skuad.”

“Ketika kami bersama-sama di Sardinia, ia ada sesuatu yang berbeza jika dibandingkan dengan yang sebelum ini.”

“Kami perlahan-lahan membina keyakinan, kepastian dan keserasian. Semua ini merupakan penambah rasa untuk jadikan kami legenda.”

“Kami sudah cukup hebat, kami menyanyi dengan lebih kuat berbanding bunyi gangguan dari mereka.”

“Ketika sedang panaskan badan, saya bercakap kepada semua rakan sepasukan saya, ‘mari kita tutup telinga dan bermain seperti mana kita tahu”

“Perlawanan akhir sepatutnya dimainkan dengan penyokong kedua-dua pasukan sama ramai, tapi memenangi perlawanan seperti ini menjadikan ia lebih indah.”

Jelas Bonucci lagi.

“England merasakan mereka sudah menang, mereka boo lagu kebangsaan kami dan semua hal itu bagi saya dan untuk orang tua, Chiellini itu, ia menambah motivasi kepada kami.”

“Ia merupakan kepuasan peribadi untuk saya dan Giorgio, sebab kami rasa kadang kala kami tak dihargai seperti selayaknya kami dihargai.”

Leonardo Bonucci juga berjaya menangkap gambar selfie yang turut memperlihatkan sosok sedih Harry Maguire di belakangnya ketika tamat aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Gambar tersebut tular di media sosial kerana membawa beribu maksud dan ia telah menarik perhatian peminat yang menganggap Bonucci merupakan Raja segala troll dalam dunia bola sepak.

Peminat yakin Bonucci sememangnya sengaja memilih detik tersebut untuk mengambil gambar supaya Maguire turut berada dalam gambar tersebut.

Maguire dilihat berdiri kaku sambil berpeluk tubuh di belakang, dan beliau mungkin sedar yang dirinya berada dalam gambar selfie Bonucci pada ketika itu.

Beliau turut memandang kamera ketika Bonucci menangkap gambar tersebut sambil menunjukkan wajah bersahaja tetapi semua orang tahu betapa sedihnya beliau pada ketika itu.

Peminat turut bersimpati dengan Maguire namun mereka tetap terhibur dengan seni menganjing yang ditunjukkan oleh Bonucci.

Skuad Itali dibawah kendalian Roberto Mancini masih belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas mengharungi 34 perlawanan.

Tentunya sangat menarik untuk melihat skuad ini beraksi di pentas Piala Dunia nanti, dan mampukah mereka untuk terus melebarkan rekod tidak terkalahkan itu, dan jika tewas, pasukan manakah yang akan menjadi pasukan pertama menewaskan Azzuri selepas ini.

Sumber: Daily Mail

BACA:  Bonucci Mahu Bertemu Lagi Dengan Steward Yang Tersilap Menyangkanya Penceroboh Padang