Bournemouth 1-0 Liverpool: Liverpool Insaf Dan Kembali Kepada Fitrah Sebenar

Liverpool yang berada pada prestasi terbaik dijangka tidak berdepan kesukaran untuk meneruskan rentak permainan bertaraf dunia selepas pada minggu lalu mengaibkan kelab kerdil dari Manchester dengan jaringan 7-0. Pada minggu ini, Liverpool berkunjung ke Vitality Stadium pada aksi Liga Premier untuk bertemu Bournemouth dijangka tidak akan berdepan kesukaran bertemu dengan kelab yang menghuni tangga tercorot liga.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membuat satu sahaja pertukaran dalam kesebelasan utama skud Liverpool iaitu menggantikan kapten pasukan, Jordan Henderson dengan pemain muda, Stefan Bajčetić. Ini mungkin disebabkan Henderson masih lagi keletihan bersorak horaa hooreyy ketika Liverpool menang besar pada minggu lepas. Untuk rekod, Bournemouth hanya berjaya menang satu kali sahaja daripada 11 pertemuan menentang Liverpool (Seri 1, Kalah 9), kalah kesemua 7 perlawanan berturut turut dengan aggregat jaringan 28-1.

Bournemouth mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-9 disebabkan clearance tolol Trent Alexander-Arnold sampai ke kaki pemain lawan, namun percubaan pemain Dango Ouattara sekadar sipi sahaja ke arah gawang Liverpool. Liverpool meneruskan dominasi permainan dengan beberapa percubaan bahaya dari arah serangan kombinasi antara Andy Robertson dan Darwin Nunez. Pemain kebangsaan Belanda, Cody Gakpo yang popular dengan klip video “Welcome to Manchester United” berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minat ke 13, namun dibatalkan kerana berada pada kedudukan offsaid.

Kedua pasukan saling berbalas serangan, dengan Bournemouth dilihat sangat dominan pada bahagian tengah, begitu padat memberikan tekanan kepada Liverpool. Tengah Liverpool dilihat agak bergelut untuk menghubungkan antara pertahanan dan serangan disebabkan tekanan yang dikenakan oleh pemain Bournemouth.  Philip Billing membuka jaringan pada minit ke 28 selepas mudah menyepak masuk hantaran lintang Dango Ouattara yang berjaya menembusi pertahanan kiri Liverpool hasil gerakan pantas yang bijak memperdaya perangka offsaid Liverpool.

https://twitter.com/SkySportsPL/status/1634561733397291008?s=20

Liverpool berpeluang untuk merapatkan jurang gol pada minit ke 40, namun tandukan Virgil van Dijk hasil sepakan percuma Andy Robertson sedikit tersasar ke kanan gawang Bournemouth. Tamat separuh masa pertama perlawanan dengan Liverpool kembali menjadi pasukan yang kita semua harapkan, lemah dan jinak dengan keputusan semasa ketinggalan 1-0.

Separuh masa kedua bermula dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melakukan perubahan taktikal apabila memasukkan pemain serangan Diogo Jota menggantikan pemain tengah muda, Harvey Elliot. Pemain kebangsaan Portugal tersebut memberikan impak segera apabila hampir menjaringkan gol pada minit ke 48 namun rembatan beliau diselamatkan oleh penjaga gol Bournemouth, Neto.

Bournemouth dilihat lebih bertahan pada separuh masa kedua, dengan harapan untuk mengekalkan kelebihan 1 gol yang dicetak pada separuh masa pertama perlawanan.

Liverpool masih bergelut untuk mencari gol penyamaan dengan Jurgen Klopp memasukkan pemain baharu iaitu Jordan Henderson, James Milner dan Roberto Firmino menggantikan Darwin Nunez, Trent Alexander Arnold dan Fabinho untuk mencari tonik di bahagian serangan. Untuk rekod, ini adalah penampilan yang ke 250 buat Roberto Firmino di dalam kancah Liga Premier, musim ini disifatkan sebagai musim terakhir beliau selepas mengumumkan beliau tidak lagi akan menyambung kontrak baharu bersama Liverpool.

Liverpool bernasib baik mendapat bantuan Video Assistant Referee (VAR) selepas tandukan Diogo Jota terkena tangan pemain Bournemouth didalam kotak penalti. Nanun, pemain kebangsaan Mesir yang juga penjaring terbanyak Liverpool dalam Liga Premier gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas sepakan beliau sedikit tersasar dari gawang Bournemouth. Ini adalah kali pertama Salah gagal menyempurnakan penalti dalam karier Liga Premier beliau.

Detik demi detik terus berlalu, namun Liverpool masih gagal mencari gol penyamaan. Penuh mula menitik di dahi para penyokong Liverpool, sudah tentu akan menjadi mangsa ejekan dan kutukan terutamanya dari penyokong Manchester United yang teruk kena bahan pada minggu lepas. Mungkin penyokong Liverpool boleh menyamar jadi meja atau jadi pokok, boleh juga menyamar jadi speaker masjid, ada juga kegunaan untuk masyarakat.

Tamat perlawanan, Bournemouth 1- 0 Liverpool.

Liverpool: Alisson, Alexander-Arnold, Konate, Van Dijk, Robertson, Fabinho, Bajcetic, Elliott, Salah, Nunez, Gakpo.

Bournemouth: Neto; Smith, Kelly, Senesi, Stephens; Ouattara, Billing, Rothwell, Lerma, Anthony; Solanke.

Baca Juga

Baca Juga