Brandon Barker: Dari Pemain Berbakat Besar, Diramal Menjadi Bintang Kepada Pemain Yang Tidak Mempunyai Kelab

Brandon Barker: Dari Prospek Cemerlang Manchester City, Kini Sedang Mencari Peluang Kedua

Trent Alexander-Arnold tidak ragu-ragu. Lawan paling sukar yang pernah dihadapinya adalah seorang pemuda pendiam Bernam Brandon Barker. Pemain sayap berbakat yang pernah “menghancurkan” Alexander-Arnold dalam perlawanan B21 antara Liverpool dan Manchester City di Anfield 9 tahun lalu.

Ketika itu, Barker dianggap sebagai prospek besar di Manchester City. Malah pengerusi kelab, Khaldoon Al-Mubarak pernah menyebut namanya sebagai salah seorang pemain muda yang berpotensi untuk berjaya di bawah kendalian Pep Guardiola.

Namun selepas membuat debut senior dalam perlawanan Piala FA menentang Chelsea, Barker tidak pernah lagi mendapat peluang bersama skuad utama City. 9 tahun kemudian, selepas berkelana di 9 kelab termasuk Rangers di Scotland dan Omonia Nicosia di Cyprus, pemain berusia 28 tahun ini kini tidak mempunyai kelab. Dia sedang menunggu peluang untuk kembali ke kancah bola sepak profesional.


Puncak Karier Remajanya dan Harapan Besar Manchester City

Brandon Barker dikenali sebagai pemain sayap yang mempunyai kawalan bola yang hebat, keseimbangan badan yang mantap, dan kepantasan luar biasa. Sejak menyertai akademi Manchester City pada usia 7 tahun, dia sudah dilihat sebagai bakat istimewa.

“Apabila saya mula mempunyai kepantasan sekitar umur 15 atau 16 tahun, saya rasa saya mempunyai peluang yang besar,” katanya. “Saya bermain dengan kumpulan umur lebih tua dan boleh menyesuaikan diri, jadi saya mula percaya saya mampu pergi jauh.”

Barker kerap berlatih bersama pasukan utama City. Dia berlatih bersama legenda seperti David Silva dan Yaya Touré. Pada tahun 2015 dia menyertai jelajah pra-musim City ke Australia dan Vietnam serta beberapa kem latihan di Abu Dhabi.

Pada musim panas 2015, City menawarkannya kontrak 5 tahun. Ia menjadi satu bukti kepercayaan besar terhadap pemain berusia 18 tahun itu. “Apa yang saya mahukan hanyalah berjaya di City,” katanya pada laman web rasmi kelab ketika itu.


Permulaan Masalah: Pinjaman, Kecederaan, dan Laluannya Terhenti

Barker dipinjamkan ke Rotherham United (Championship). Dia menjaringkan gol pada debutnya menentang Ipswich Town. Namun, disebabkan Rotherham sedang bergelut di tangga terbawah liga, dia mula sukar mendapat minit permainan. Pada Disember 2015, dia dipanggil pulang oleh City.

Selepas kembali ke Manchester, dia sering menyertai pasukan utama City tetapi jarang mendapat peluang bermain. Pada Februari 2016, dia akhirnya membuat debut senior. City kalah 1-5  menentang Chelsea di Piala FA.

Satu insiden pelik berlaku yang menghalang kemajuannya, paspotnya dicuri dalam satu kejadian pecah rumah dan menyebabkannya terlepas peluang mengikuti skuad City ke perlawanan Liga Juara-Juara menentang Dynamo Kyiv. Sejak itu dia jarang dipanggil menyertai skuad utama.

Dalam 3 tahun berikutnya, Barker dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk NAC Breda di Belanda, Hibernian di Scotland dan Preston North End di Championship. Terdapat beberapa detik gemilang seperti jaringan solo hebat ketika menentang Leeds di Elland Road. Namun kecederaan dan persaingan sengit menjadikan laluan ke skuad utama City semakin kabur.

Pada 2016, City membawa masuk Leroy Sané dari Schalke dengan harga £37 juta. Sané cuma 9 bulan lebih tua dariBarker tetapi sudah mempunyai banyak pengalaman senior termasuk bermain untuk Jerman di Euro 2016. Ketibaan Sané menutup terus peluang Barker untuk menembusi pasukan utama City.


Mencari Peluang di Luar

Pada 2019 Barker meninggalkan untuk menyertai Rangers di Scotland. Walaupun menjadi sebahagian daripada skuad yang memenangi Liga Scotland pada 2021, dia jarang diturunkan.

“Saya ada beberapa peluang, tetapi saya tidak cukup menyerlah dalam perlawanan,” akunya.

Selepas Rangers, dia mencuba nasib di Oxford United dan Reading tetapi gagal mendapatkan rentak permainan yang konsisten. Pada 2022, dia berhijrah ke Cyprus menyertai Omonia di bawah kendalian Neil Lennon. Apabila Lennon dipecat, pengurus baru membawa perubahan besar dan Barker kehilangan tempat dalam pasukan.

Tahun berikutnya, dia menyertai Morecambe di League Two. Malangnya, selepas hanya 2 perlawanan dia mengalami kecederaan hamstring serius yang memerlukan pembedahan. Ia menamatkan tempohnya di Morecambe dan sejak itu dia tidak mempunyai kelab lagi.


Dilema Pemain Muda di Kelab Besar

Barker bukan lah satu-satunya pemain muda berbakat yang gagal menembusi pasukan utama sesebuah kelab besar. Jalan ke skuad utama di kelab seperti Manchester City cukup sukar kerana mereka sentiasa membeli pemain bintang.

Dia juga merasakan sistem pinjaman tidak membantunya berkembang dengan baik.

“Kelab pinjaman tidak begitu mengambil berat tentang perkembangan anda kerana anda bukan pemain mereka. Mereka hanya mahu menggunakan anda,” katanya.

Beberapa bekas jurulatihnya juga pernah mempertikai tahap keyakinan Barker. Namun Barker menegaskan dirinya bukanlah pemain yang lemah mental.

“Saya hanya seorang yang santai. Ramai pengurus mahukan saya kelihatan lebih agresif tetapi itu bukan diri saya.”


Mencari Peluang Untuk Kembali

Kini Barker sudah berusia 28 tahun dan dia masih ingin meneruskan karier bola sepaknya. Dia telah pulih daripada kecederaan hamstring dan sedang menunggu tawaran yang sesuai. Walaupun sebelum ini Barker tidak mahu bermain di liga bawahan sekarang dia bersedia untuk mempertimbangkan sebarang peluang.

Wang bukan lagi keutamaan. “Impian saya sejak kecil adalah membantu ibu bapa saya memiliki rumah yang selesa dan saya sudah berjaya melakukannya,” katanya.

Walaupun kariernya tidak berjalan seperti yang diharapkan, Barker tetap bersyukur atas peluang dan pengalaman yang pernah dimilikinya.

“Setiap pemain menghadapi cabaran. Saya hanya mahu terus mencuba selagi saya mampu. Saya hanya mahu bermain bola sepak.”

BACA:  Manchester City Menjuarai Carabao Cup Menewaskan Aston Villa