Brighton & Hove Albion Cipta Sejarah Layak ke Liga Perdana Inggeris

Kelab divisyen Liga Kejuaraan, Brighton & Hove Albion telah mengesahkan kelayakan ke Liga Perdana Inggeris musim hadapan selepas mengutip 92 mata, 13 mata melebihi pasukan di tangga ketiga, Reading, dengan baki tiga perlawanan, selain mempunyai perbezaan gol sebanyak 32 gol, melebihi pasukan di tangga keempat, Huddersfield yang masih mempunyai baki empat perlawanan – secara logiknya mustahil Huddersfield akan menjaringkan lapan gol setiap baki perlawanan mereka.

Lebih manis lagi, ini adalah kali pertama mereka layak ke liga divisyen pertama sejak musim 1982-83, dan juga kali pertama menyertai Liga Perdanan Inggeris. Kejayaan ini hadir selepas Brighton terkandas dalam pusingan kalah mati sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.

Anthony Knockaert memberikan ucapan kemenangan.

Brighton pertama kali bermain dalam pusingan kalah mati untuk ke Liga Perdana pada tahun 2013, tewas kepada Crystal Palace 0-2 secara aggregat. Pada musim berikutnya pula, Brighton dikecewakan oleh Derby County 2-6 secara aggregat.

Pada tahun 2015, Brighton sekadar menamatkan liga di tangga ke 20, setelah bergelut dengan prestasi namun kembali layak ke pusingan kalah mati pada musim berikutnya, sekali lagi kecewa kali ini kepada Sheffield Wednesday dengan aggregat 1-3.

Namun begitu, penyokong dan pengurusan masih percaya bahawa pasukan ini bakal layak ke Liga Perdana Inggeris dan pada musim ini, pasukan bimbingan Chris Hughton ini bersaing rapat dengan Newcastle United yang dikendalikan olleh Rafael Benitez untuk menakluki takhta Liga Kejuaraan dan selepas 43 perlawanan, Brighton muncul pasukan pertama yang layak ke Liga Perdana secara automatik.

Penantian lima tahun yang berbaloi!

Watak utama pasukan pesisir pantai ini adalah pemain tengah kelahiran Perancis, Anthony Knockaert, yang telah menjaringkan 15 gol dan menyumbang 8 assist sepanjang musim dan pemain ini telah memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Kejuaraan musim ini. Knockaert pernah beraksi untuk Leicester City dari 2012 sehingga 2015, sebelum menyertai kelab Belgium, Standard Liege.

Namun bola sepak Inggeris tetap di hati pemain berusia 25 tahun ini dan kembali ke England untuk menyertai Brighton pada musim panas lalu. Ternyata penghijrahan ini membuahkan hasil sempurna!

Selepas Brighton berjaya menewaskan Wigan Athletic 2-1 di Stadium Falmer semalam, para penyokong telah turun ke padang stadium beramai-ramai kerana mereka tahu pasukan kesayangan mereka ini sudah layak ke liga yang paling berprestij di dunia.

Pengerusi kelab, Tony Bloom juga sangat gembira dengan pencapaian luar biasa ini.

“Lama gila kami tunggu saat ini,” katanya kepada wartawan.

Pemimpin Majlis Perbandaran Bandar Brighton & Hove, Warren Morgan, yang juga merupakan penyokong Brighton sejak kecil turut merayakan kejayaan ini.

“Aku terharu dan berbangga dengan pencapaian ini. Akhirnya kami berjaya. Jalan yang kami lalui ni tak payah cerita la panjang dia sejak kali terakhir kami bermain di divisyen tertinggi pada 1983, keperitan sejak era Goldstone 20 tahun lalu juga telah kami lalui.

“Kami tak akan berjaya kalau tiada Dick Knight, Martin Perry, Tony Bloom dan juga semua penyokong yang tetap berjuang bersama Albion dan juga stadium baru kami di Falmer. Terima kasih!

“Aku akan mencadangkan supaya Tony Bloom dan Chris Hughton diberikan anugerah freedom of the city sempena kejayaan ini.

“Bercakap sebagai pemimpin majlis perbandaran, kenaikan kami ke Liga Perdana bermakna ekonomi setempat juga akan meningkat sehingga ratusan juta Pounds dan meletakkan bandar Brighton and Hove ini ke dalam peta sukan dunia.

“Tetapi bercakap sebagai penyokong setia zaman berzaman, apa yang penting ialah kami berjaya naik!

“Chelsea, Liverpool, Spurs, Man United dan Palace, kami akan menghantui anda. Dan kami ada Knockaert. Anthony Knockaert,” ujar Morgan dengan penuh semangat, siap beri amaran kepada kelab lain tu.

Menarik untuk nantikan bagaimana kelab kerdil ini bersaing dengan kelab-kelab besar lain seperti Manchester City, Chelsea dan Tottenham Hotspur, dan bagaimana kelab ini memberikan cabaran terhadap kelab biasa-biasa seperti Arsenal, Liverpool dan Manchester United.

Baca Juga

Baca Juga