‘Bromance’ White Dan Phillips Mengingatkan Peminat Terhadap Aksi Romantis Reus Dan Lewandowski

Ben White dan Kalvin Phillips mengimbau kembali kenangan romantis antara Lewandowski dan Reus dengan kedua-dua mereka saling berbalas senyuman sebelum sepak mula perlawanan.

Kedua-dua mereka turun beraksi dalam saingan Carabao yang menemukan antara Arsenal bertemu Leeds United awal pagi tadi.

Ben White dilihat mengukir senyuman manis sambil menatap wajah bekas rakan sepasukannya, Kalvin Phillips ketika mereka sedang bersedia untuk sepak mula perlawanan.

Arsenal berjaya menewaskan Leeds United 2-0 untuk mara ke peringkat seterusnya, dengan kedua-dua pasukan menurunkan skuad terbaik mereka dalam perlawanan ini.

Ben White pernah menghabiskan masa selama satu musim beraksi sebagai pemain pinjaman bersama Leeds United pada musim 2019/20.

Beliau merupakan watak penting untuk skuad kendalian Marcelo Bielsa itu, walaupun hanya bergelar pemain berstatus pinjaman sahaja.

Leeds United bahkan berminat untuk menandatangani beliau secara pembelian tetap, namun Brighton menolak untuk melepaskan pemain centre-back mereka itu.

Beliau sebelum menandatangani perjanjian bersama Arsenal turut sempat beraksi selama satu musim penuh bersama Brighton pada musim lalu.

Arsenal berjaya menandatangani Ben White selepas menawarkan yuran perpindahan yang sangat tinggi, dengan mereka membayar £50 juta kepada Brighton untuk mendapatkan pemain England itu.

White juga sebenarnya merupakan sahabat karib kepada pemain midfield Leeds, Kalvin Phillips dengan kedua-dua mereka turut menikmati percutian bersama di Mykonos selepas tamat kejohanan Euro 2020 musim panas lalu.

Awal pagi tadi, kedua-dua mereka telah turun beraksi dan ketika sedang berlutut sebelum sepak mula perlawanan, kamera dapat merakam bagaimana mereka saling berbalas senyuman antara satu dengan yang lain.

Insiden tersebut mengingatkan peminat tentang insiden romantis antara Lewandowski dan Reus, serta Cristiano Ronaldo bersama Karim Benzema.

Dalam perlawanan Arsenal bertemu Leeds, Ben White telah dikeluarkan pada minit ke-55 perlawanan untuk digantikan oleh Calum Chambers yang berjaya menjaringkan gol sebaik dimasukkan.

Sementara Kalvin Phillips pula bermain selama 90 minit untuk Leeds United, namun beliau gagal untuk membantu skuadnya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Detik romantis Benzema dan Ronaldo/ Reus dan Lewandowski

Karim Benzema dan Cristano Ronaldo telah beraksi bersama selama sembilan tahun di Real Madrid, sejak 2009 sehingga 2018.

Serasi bersama, kedua-dua pemain ini telah membawa pelbagai kejuaraan kepada pasukan gergasi Sepanyol tersebut, termasuklah kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam kempen Kejohanan Eropah (Euro 2020), pasukan kedua-dua pemain ini diletakkan dalam kumpulan yang sama, kumpulan F, dan kedua-dua pemain ini turun bertemu buat kali pertama di atas padang sejak Ronaldo berpindah ke Juventus.

Sebelum sepak mula, kamera seperti biasa akan merakam wajah-wajah pemain di atas padang, namun apa yang mencuri perhatian peminat adalah detik ‘romantik’ dan manis antara Ronaldo dan Benzema.

Kedua-dua pemain ini dilihat berbalas senyuman yang sangat manis antara satu sama lain, bagaikan senyuman bahagia sepasang kekasih yang kegembiraan di atas pelamin dan tak ubah seperti manisnya senyuman Rahul kepada Anjali dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.

Detik manis ini mengingatkan peminat kepada peristiwa yang hampir sama berlaku kepada pemain Borussia Dortmund, Marco Reus bersama bekas rakan sepasukannya yang berpindah ke Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Dalam perlawanan Piala Jerman pada tahun 2015 tersebut, mereka bertemu buat kali pertama di atas padang selepas perpindahan Lewandowski dan sebelum sepak mula, Reus tidak dapat menahan kegembiraan dan melontarkan senyuman kepada Lewandoswki yang kemudiannya tersipu-sipu menahan senyuman yang lebar.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Peminat Bakal Menyaksikan Ronaldo Dan Messi Beraksi Bersama Dalam Satu Pasukan