Bruno Fernandes Dikatakan Langsung Tak Ada Rupa Pemain Bola Sepak Ketika Awal Kariernya

Bruno Fernandes dikatakan langsung tak ada rupa seperti seorang pemain bola sepak ketika beliau tiba di Itali untuk menyertai Novara Calcio.

Dakwaan itu dibuat oleh bekas pengurusnya sendiri yang menjelaskan apa yang beliau rasa ketika mula-mula bertentang mata dengan Fernandes.

Mauro Borghetti membeli pemain berbakat Potugal itu dari Boavista dengan yuran perpindahan bernilai €40,000 pada musim panas 2012.

Fernandes yang banyak menghabiskan karier awalnya di Estadio da Varzea telah dibawa untuk sertai skuad remaja oleh Borghetti dan barisan kejurulatihan beliau.

Namun selepas beberapa minggu bermain bersama skuad remaja, Fernandes telah berjaya memukau semua orang dengan bakat yang beliau miliki.

Dek kerana melihat kemampuan dan kehebatan beliau, Fernandes telah diserap masuk untuk sertai skuad senior dan beliau terus memberi impak yang sangat positif.

Borghetti menjelaskan yang Bruno Fernandes langsung tak nampak seperti tipikal seorang pemain bola sepak.

Dalam satu temu bual bersama media Itali, Gazetta, pengurus berusia 52 tahun itu menggambarkan Bruno ketika remaja merupakan seorang yang sangat merendah diri dan tidak ada personaliti.

Namun Fernandes berjaya membuktikan kematangan beliau bahkan lebih matang dari semua pemain lain dalam skuadnya.

“Ketika dia tiba, dia langsung tak nampak macam pemain bola sepak.”

Jelas Borghetti.

Portuguese Football Federation

Bekas pengurus Fernandes di Novara Calcio itu percaya kerja keras dan keazaman beliau yang membantu dirinya untuk lebih menonjol berbanding pemain lain.

“Dari semua orang, dia ada personaliti yang hebat, yang mana itu yang membantu dia sekarang, dia bermain di peringkat yang sangat tinggi.”

Jelas Borghetti kepada Football Italia.

“Setahu saya, kami merupakan satu-satunya kelab yang mahu menandatangani dia ketika itu dan dia dengan segera menerima tawaran kami.”

“Dia sangat bekerja keras, dia terus berusaha belajar bahasa Itali, dia sertai pemain lain dan dengan segera semua orang selesa dengan dia, kerana dia mampu untuk bina hubungan akrab bersama rakan sepasukannya.”

“Dia ada hubungan yang sangat baik dengan semua orang yang ada di Novarello.”

Borghetti kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Kadang kala, ibu atau teman wanita dia datang melawat. Dia sememangnya seorang yang sangat santai. Pangkat dan nama tidak akan mengubah dia.”

“Skill utama dia adalah dari keupayaan mental dan teknikal. Dia berusaha keras untuk tingkatkan kemampuan fizikal dia, yang mana memang itu satu-satunya kekurangan yang dia ada.”

“Kalau bukan dari sudut pandangan athletic, dia sentiasa ada daya tahan dan kemampuan aerobic. Dia masuk ke usia 18 tahun ketika dia beraksi bersama Novara, pada ketika itu dia sudah mula perbaiki struktur fizikal dia.”

Dek kerana kehebatan dan kemampuan beliau, Fernandes kemudiannya telah ditandatangani oleh pasukan dari Serie A, Udinese setahun sahaja selepas beliau tiba di Novara.

Dari situ kariernya mula meningkat naik dan terus berkembang menjadi seorang pemain midfield yang digeruni oleh pasukan lawan.

Beliau turut menghabiskan karier bersama Sampdoria dan Sporting CP sebelum menandatangani perjanjian bersama gergasi Inggeris, Manchester United.

Bersama setan merah, Fernandes berjaya mencuri perhatian seluruh dunia dengan memikul United di atas bahunya dan membawa kelab kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Sebelum ketibaan Fernandes, Manchester United tidak ubah seperti pasukan pertengahan dan sering menjadi lubok tiga mata.

Namun sejak Fernandes beraksi di Old Trafford, Manchester United kembali menjadi pasukan yang digeruni dan beliau sememangnya membawa impak yang sangat positif.

Beliau berjaya membawa United ke perlawanan akhir Europa League musim lalu dan turut cemerlang membawa setan merah mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua.

Musim lalu, Bruno berjaya menjaringkan 18 gol dari 37 penampilan dalam saingan premier league.

Walaupun beliau dianggap hanya pandai menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun Fernandes membuktikan beliau mampu memberi impak yang luar biasa.

Tanpa beliau, United jelas tidak begitu mengancam dan Fernandes menjadi nadi terpenting dalam skuad setan merah sejak dari awal beliau ditandatangani.

Mungkin kerana terlalu diperah, Fernandes ketika ini dikritik kerana beliau gagal memberi impak yang diharapkan bersama skuad kebangsaan Portugal dalam saingan Euro 2020.

Beliau jelas mempamerkan aksi yang berbeza dengan apa yang beliau pamerkan ketika di peringkat kelab.

Walau tidak mempamerkan rentak persembahan yang baik di kejohanan Euro ini, namun peminat yakin Fernandes akan terus menjadi nadi penting United bagi menghadapi musim baharu nanti.

BACA:  Bruno Fernandes Beri Penjelasan Ekoran Insiden Beliau Menyuruh Pep Guardiola Diam