Bruno Fernandes & One Touch Passing: Seni Bola Sepak yang Hampir Pupus

One touch passing yang Hampir Pupus di Liga Perdana Inggeris

Dalam dunia bola sepak, one touch passing bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan. Seperti yang pernah dikatakan oleh legenda Johan Cruyff, “Teknik sebenar adalah menghantar bola dengan satu sentuhan, dengan kelajuan yang tepat, terus ke kaki rakan sepasukan.”

One touch passing semakin berkurangan dalam bola sepak moden terutamanya di Liga Perdana. Pasukan sekarang lebih menekankan kawalan bola yang berhati-hati, mengutamakan penguasaan bola yang stabil berbanding gerakan pantas dan spontan. Tetapi di tengah-tengah perubahan ini, seorang pemain masih berpegang teguh pada gaya permainan lamanya. Dia ialah Bruno Fernandes.

Kepentingan One Touch Passing dalam Bola Sepak

One touch passing boleh menjadi senjata yang berbahaya dalam bola sepak. Contoh terbaik adalah ketika perlawanan akhir Piala FA musim lalu, di mana Fernandes membantu Manchester United menewaskan Manchester City 2-1.

Dalam situasi yang mendesak, Fernandes dengan pantas menghantar bola di celah John Stones dan Kyle Walker kepada Kobbie Mainoo, yang kemudian berjaya menjaringkan gol. Jika Fernandes memilih untuk mengawal bola terlebih dahulu sebelum menghantar, kemungkinan besar Walker yang terkenal dengan kelajuannya sempat menutup ruang hantaran tersebut.

Ia menunjukkan bahawa hantaran satu sentuhan boleh mengeksploitasi pertahanan lawan yang belum bersedia, memberikan kelebihan kepada pasukan yang menyerang.

Kemerosotan one touch passing di Liga Perdana

Corak di Liga Perdana menunjukkan sebaliknya. Statistik menunjukkan bahawa kadar one touch passing dalam permainan terbuka musim ini hanya 21.3%. ia adalah angka terendah sejak data tersrbut mula direkodkan pada musim 2018-2019.

Perubahan itu berpunca daripada falsafah bola sepak moden yang menekankan penguasaan bola dengan lebih berhati-hati. Jurulatih sekarang lebih mengutamakan kawalan permainan yang lebih tersusun dan mengelakkan risiko kehilangan bola akibat hantaran terburu-buru.

Bruno Fernandes: Melawan Arus

Di saat ramai pemain melakukan lebih banyak sentuhan sebelum menghantar bola, Fernandes tetap mengekalkan identitinya sebagai pemain kreatif. Pada musim ini, 34.8% daripada keseluruhan hantarannya adalah one touch passing – meningkat hampir 5% sejak dia menyertai United pada 2019.

Bekas pengurus United, Erik ten Hag, pernah memujinya sebagai “pakar hantaran terakhir”. Pengurus itu juga mengakui bahawa teknik memerlukan kecekapan yang tinggi. Menurut Ten Hag, “Ia memerlukan kecerdasan dan juga keperibadian yang kuat kerana apabila percubaan gagal, pemain perlu terus mencuba tanpa rasa takut.”

Tidak ramai pemain yang berani mengambil risiko sebegini, kerana one touch passing bukan sekadar teknik, tetapi juga soal keberanian dan keyakinan diri.

One touch passing: Penanda Kreativiti atau Sekadar Statistik?

Menariknya, walaupun Fernandes mendominasi statistik one touch passing di Liga Perdana dengan 470 hantaran musim ini, ia tidak semestinya menunjukkan bahawa pemain lain yang berada dalam senarai ini adalah pemain kreatif.

Sebagai contoh, Jan Bednarek, seorang pertahanan Southampton, berada di tempat ke-5 dalam senarai pemain dengan one touch passing terbanyak. Namun, oa tidak bermakna dia setanding dengan Fernandes dari segi kreativiti.

Pemain seperti Bednarek lebih kepada, memastikan bola terus bergerak dalam fasa membina serangan, bukan mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Oleh itu, kebanyakan pemain dalam senarai ini adalah defensive midfielder seperti Jorginho, Rodri, dan James Ward-Prowse. Tugas utama mereka adalah mengekalkan penguasaan bola.

Namun, apabila statistik ini ditapis kepada one touch passing di kawasan serangan, nama-nama pemain yang lebih kreatif mula muncul. Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Phil Foden dan Fernandes pernah mengungguli senarai ini sejak 2018.

Peranan Baharu Fernandes di Bawah Ruben Amorim

Fernandes bukan sahaja mendominasi one touch passing di kawasan serangan tetapi juga di kawasan tengah padang yang lebih berisiko. Ia berkaitan dengan perubahan peranannya dalam skuad United sejak beberapa musim lalu.

Diawal ketibaan di United, Fernandes lebih banyak bermain sebagai pemain nombor 10, dengan 46% daripada one touch passing dilakukan di kawasan serangan. Selepas ketibaan Ten Hag pada 2022, dia mula beroperasi lebih ke bawah sebagai perancang utama pasukan.

Sekarang, di bawah pengurus baharu, Ruben Amorim, Fernandes semakin kerap beraksi di kawasan tengah padang. Hanya 28% daripada one touch passing berlaku di kawasan serangan, angka terendah sepanjang kariernya di United. Amorim berpendapat bahawa Fernandes lebih berkesan apabila bermain lebih dekat dengan bola dan membantu mengawal permainan dari bahagian tengah.

Dilema Manchester United: Antara Kreativiti dan Kawalan Permainan

Perubahan ini menimbulkan persoalan; adakah Fernandes perlu mengubah gaya permainannya untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Amorim?

Dalam sistem 3-4-2-1 yang diperkenalkan Amorim, United bermain dengan lebih sabar dan berhati-hati. Hanya Manchester City di yang mempunyai kadar serangan langsung lebih rendah daripada United.

Namun, one touch passing juga mempunyai risiko tersendiri. Data menunjukkan bahawa kadar hantaran berjaya untuk one touch passing adalah lebih rendah berbanding hantaran biasa. Seperti yang dikatakan Cruyff, menghantar bola tanpa mengawal terlebih dahulu memerlukan ketepatan yang sangat tinggi.

Jika Fernandes terus bermain lebih dalam, kesilapan dalam hantaran boleh membawa padah kerana kehilangan bola di kawasan tengah padang akan membuka ruang kepada pihak lawan untuk menyerang balas. Tetapi jika dia terlalu berhati-hati, ia mungkin merencatkan keupayaan kreatifnya yang menjadi senjata utama pasukan.

Kesimpulan: Cabaran Masa Depan Fernandes

Fernandes bakal berusia 31 tahun pada musim hadapan dan berkemungkinan akan terus beroperasi lebih dalam sebagai pengatur permainan.

Tetapi untuk berjaya dalam peranan ini, dia bukan sahaja perlu mengekalkan kreativiti tetapi juga kebijaksanaan dalam menentukan tempo permainan.

Dia perlu tahu bila masanya untuk melakukan hantaran yang berisiko tinggi dan bila masanya untuk bermain lebih selamat. Keupayaannya untuk mengimbangi dua aspek ini akan menentukan sama ada dia kekal sebagai pemain unik di Liga Perdana atau terpaksa mengubah identitinya mengikut tuntutan taktikal pasukan.

Yang pasti, dalam bola sepak moden yang semakin perlahan dan berhati-hati, Bruno Fernandes masih menjadi pemain yang berani mengambil risiko dan itu yang menjadikannya istimewa.

BACA:  Bruno Fernandes Adalah Milner Versi Manchester United