Bubarkan Pasukan Harimau Malaya – Lim Teong Kim

KUALA LUMPUR: Pasukan kebangsaan sedia ada dicadangkan supaya dibubarkan untuk memberi peluang kepada pemain bawah 23 tahun (B-23) menggalas tanggungjawab itu. Itu pandangan yang dilontarkan oleh Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim.

Baca Juga : Jurulatih Tempatan Amalkan Latihan Cara Lama Dan Masih Duduk Dalam Gua

Dia menyifatkan tindakan itu sebagai satu langkah jangka panjang yang perlu disegerakan bagi memastikan negara memiliki pasukan kebangsaan lebih mantap pada masa akan datang.

lim-teong-kim-nfdp
Lim Teong Kim Bersama Pasukan Kebangsaan

Katanya, segala usaha untuk ‘memperbaiki kerosakan’ dalam skuad kebangsaan perlu ditumpukan kepada barisan pemain muda yang masih lagi cergas dan kuat serta memiliki semangat juang tinggi untuk menyarung jersi Harimau Malaysia.

“Pada pandangan saya, tidak menjadi masalah jika barisan pemain bawah 23 tahun pula yang dinaikkan taraf menjadi pasukan kebangsaan sekali gus pasukan ini juga yang akan menjalani persiapan untuk menghadapi aksi kompetitif pada Sukan SEA 2017 nanti.

“Sekalipun mereka gagal membawa pulang pingat emas dalam sukan bola sepak pada temasya terbabit, saya anggap itu boleh dijadikan pengalaman yang mampu mematangkan mereka sebagai pemain bola sepak yang membarisi skuad kebangsaan.

“Bakat yang kita ada tidak perlu dibazirkan dan jika kita tidak memberi peluang kepada mereka sekarang, bila lagi?,” katanya ketika ditemui pada Forum Bola Sepak di Institut Sukan Negara (ISN), di sini.

Selain itu, Teong Kim juga dilihat sudah bosan dengan pemilihan skuad kebangsaan rata-ratanya dibarisi pemain sama yang tidak lagi mampu memberi persembahan terbaik buat pasukan kebangsaan.

“Apa yang saya lihat buat masa ini, pemain kebangsaan sedia ada sudah tidak mampu memberi lebih daripada apa yang boleh mereka tawarkan dan berkemungkinan ada tidak mahu lagi menyarung jersi kebangsaan.

“Malah, ada juga yang lebih mementingkan aksi bersama kelab dengan menunjukkan prestasi yang cemerlang, namun beraksi ala kadar ketika bersama pasukan kebangsaan. Jadi kita tidak perlu memberi tumpuan kepada pemain yang tidak mahu menyarung jersi negara,” katanya.

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich ini juga turut berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu melabur untuk perkembangan bola sepak dari peringkat akar umbi dan juga untuk pendidikan dalam bidang kejurulatihan.

“Dua aspek ini lebih penting dan perlu diberi perhatian serius kerana ia lebih membawa manfaat kepada perkembangan bola sepak negara berbanding perkara lain.

“Bawalah mana-mana jurulatih terbaik dunia pun untuk mengendali pasukan kebangsaan, masalah sama juga akan berlaku sama seperti sebelum ini jika kedua-dua aspek ini tidak diberikan perhatian,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga