Buffon Hentam Ronaldo Sebagai Punca Juventus Hilang DNA Asal Mereka

Legenda terhebat sepanjang zaman Juventus, Gianluigi Buffon mendakwa yang Cristiano Ronaldo sebenarnya telah membuatkan kelab hilang DNA mereka sejak beliau ditandatangani.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu menyertai Juventus pada tahun 2018 dan telah menghabiskan tiga tahun kariernya di Allianz Stadium sebelum memutuskan untuk kembali ke Old Trafford pada musim panas baru-baru ini.

Walau beliau kini sudah tidak lagi bersama gergasi Serie A itu, namun nama beliau masih disebut-sebut oleh ramai pihak, ada yang memuji dan tidak ketinggalan ada juga yang mengkritik impak yang beliau tinggalkan.

Sementara Buffon pula, ketika Ronaldo tiba di Turin, beliau pada ketika itu memilih untuk meninggalkan kelab dan menyertai Paris Saint Germain.

Beliau kemudiannya kembali semula ke Turin pada tahun 2019 dan sekembalinya beliau ke kelab kesayangannya itu, beliau sedar akan satu perubahan yang ketara.

Beliau mendedahkan kepada TUDN.com bahawa:

“Juventus ada kesempatan untuk menang Champions League pada tahun pertama dia tiba, yang mana pada tahun itu saya sedang beraksi bersama Paris Saint Germain, dan saya tak tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

“Ketika saya kembali, saya bekerja dengan CR7 untuk tempoh dua tahun dan kami lakukan dengan sangat baik bersama, tapi saya fikir Juventus sudah hilang DNA untuk menjadi sebagai sebuah pasukan.”

“Kami berjaya mara ke aksi perlawanan akhir Champions League 2017 kerana kami mempunyai skuad yang berpengalaman, tapi yang paling penting kami bergerak sebagai satu unit dan ada persaingan yang sengit untuk dapatkan tempat dalam kumpulan yang sangat hebat.”

“Kami kalah perlawanan itu kepada Ronaldo.”

Juventus mara ke perlawanan akhir Champions League pada tahun 2015 dan 2017 ketika mereka di bawah kendalian Max Allegri dengan mereka tewas kepada Barcelona (2015) dan Real Madrid (2017).

Sementara ketika Ronaldo sertai mereka pula, Juventus berdepan kekalahan memalukan di tangan Ajax, Lyon dan Porto.

Mereka bahkan tidak pernah berjaya untuk melepasi aksi peringkat suku akhir sekalipun ketika Cristiano Ronaldo beraksi bersama mereka.

Buffon bukanlah otai Juventus pertama yang mengkritik impak negatif Ronaldo tinggalkan di Turin sejak kebelakangan ini, bahkan gandingan Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci turut sama meluahkan kekecewaan mereka.

Pemain berusia 36 tahun itu dianggap pakar dalam saingan Champions League selepas beliau berjaya memenangi lima Piala telinga capang itu sepanjang karier gemilangnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Juventus pada musim ini turut bergelut dengan masalah prestasi di pentas saingan domestik, dengan mereka pada ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta saingan Serie A.

The Old Lady kini 12 mata dibelakang pendahulu saingan Serie A, Inter Milan dan ia bukanlah satu permulaan yang baik untuk mereka.

Sementara Ronaldo yang dianggap telah menyebabkan Juventus hilang DNA mereka itu pula kini sedang beraksi bersama Manchester United.

Beliau membuat kepulangan semula ke Old Trafford pada musim panas baru-baru ini dengan Ronaldo kini merupakan penjaring gol utama setan merah di pentas saingan Champions League dan Premier League.

Dari 18 perlawanan awal pada musim ini, Cristiano Ronaldo berjaya merekodkan 13 jaringan dan ia merupakan rekod terbaik yang dicatatkan oleh bintang Man Utd pada musim ini.

Apa yang lebih menarik lagi, enam dari 13 gol itu berjaya dihasilkan ketika beliau beraksi dalam saingan Champions League.

Man Utd dan Juventus kedua-dua mereka berjaya melepasi aksi peringkat kumpulan dalam saingan Champions League musim ini, dengan setan merah selepas ini akan turun beraksi bertemu Atletico Madrid di pusingan 16 terbaik.

Sementara pasukan nyonya tua pula, mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu Sporting CP di pusingan 16 terbaik.

Ketika bersama Juventus, tidak begitu banyak suara-suara sumbang yang menghentam Ronaldo tanpa belas, melainkan ketika di hujung-hujung kariernya sebelum beliau pergi meninggalkan kelab.

Selepas beliau sah meninggalkan kelab, barulah ada legenda-legenda kelab yang tampil dan menghentam impak negatif yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo.

Walau bagaimanapun, ketika bersama setan merah, baru tamat satu dua perlawanan sahaja, sudah ramai peminat yang meletakkan pelbagai kesalahan di atas bahu Ronaldo.

Beliau dipersalahkan menjadi punca Man Utd yang sebelum ini beraksi cemerlang kini mempamerkan aksi persembahan yang sungguh hambar.

Setiap kali Man Utd berdepan kekalahan yang mengaibkan, sudah tentu nama Ronaldo akan mula disebut-sebut sebagai punca berlakunya kekalahan memalukan itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bernardo Silva Dianggap Jauh Lebih Hebat Dari Cristiano Ronaldo Pada Ketika Ini