Bukti Nyata Yang Gerard Pique Benar-benar Menyayangi Barcelona

Gerard Pique terus menerus memahatkan namanya di hati para penyokong Barcelona untuk dikenang sebagai seorang legenda yang paling dikagumi.

Dengan keadaan ekonomi kelab ketika ini berada di tahap yang sangat kritikal, Pique secara sukarela telah bersetuju untuk menerima cadangan pemotongan gaji.

Dek kerana kemuliaan hatinya, Barcelona berjaya mendaftarkan beberapa penandatanganan terbaru mereka seperti Memphis Depay, Eric Garcia dan Rey Manaj bagi menghadapi saingan musim baharu ini.

Barcelona sendiri memuji bintang berusia 34 tahun itu menerusi satu kenyataan rasmi di laman web kelab, yang mana mereka mendedahkan Pique sanggup menerima pemotongan gaji yang sangat banyak.

Para peminat begitu terharu melihat pengorbanan dan sumbangan Pique untuk kelab dan ramai yang memberi pujian menggunung untuk pemain centre-back itu.

Beliau kemudiannya mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain kesayangan peminat selepas menjaringkan gol ketika aksi bertemu Real Sociedad.

Pique berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran dari Memphis Depay ketika aksi kemenangan 4-2 Barcelona menewaskan Real Sociedad di Nou Camp.

Pemain centre-back Barca itu jelas banyak menyumbang kepada kelab baik di atas mahupun di luar padang dalam tempoh beberapa hari terakhir ini.

Beliau kemudiannya turut memberikan ucapan yang penuh beremosi ketika temu bual selepas tamat perlawanan tersebut dengan para peminat turut berasa kagum mendengar ucapannya.

Pique sebenarnya memulakan kariernya di akademi Barca sebelum beliau pergi menyertai pasukan lain, dan kembali semula sebagai pemain utama kelab.

Beliau ketika temu bual tersebut telah mendedahkan tentang mengapa dirinya sanggup bekorban apa sahaja untuk Barcelona dengan menyatakan:

“Saya akan sentiasa sanggup untuk membantu kelab.”

Jelas Pique menurut Daily Mail.

“Tidak ada sesiapa perlu meragui saya. Saya sudah berada di sini selama 10 tahun, dan lebih lapan tahun sebelum itu bersama skuad remaja. Ini rumah saya, kelab dalam hidup saya, dan saya akan selalu lakukan yang terbaik untuk kelab.”

Pique turut mengesahkan yang rakan sepasukannya, Sergio Busquets dan Jordi Alba akan turut mengikuti jejak beliau menerima cadangan pemotongan gaji.

“Ia merupakan satu hal yang memang perlu dilakukan.”

“Ketua pasukan lain akan turut melakukan hal yang sama nanti. Atas masalah berkait masa, saya perlu jadi yang pertama untuk lakukannya untuk membolehkan kami mendaftarkan pemain lain. Ketua akan selalu berhasrat untuk melakukan semua yang diperlukan oleh kelab. Kami berbangga dengan keputusan ini.”

Barcelona ketika ini berdepan dengan hutang bernilai £1.1 billion dan kerana itu mereka tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kuat untuk mendaftarkan legenda kelab, Lionel Messi sebelum ini.

Dek kerana itu juga lah Lionel Messi memutuskan untuk menyertai Paris Saint Germain pada musim baharu ini.

Alba sementara itu turut menegaskan yang beliau tidak pernah menolak untuk menerima cadangan pemotongan gaji seperti yang dilaporkan oleh kebanyakkan media sebelum ini.

Ada segelintir peminat dan media yang menyalahkan Alba kerana menolak untuk menerima pemotongan gaji dan menjadi punca Messi tidak mampu didaftarkan.

“Selain menjadi pemain terhebat sepanjang zaman, Leo merupakan individu yang paling memahami saya, jadi bayangkan macam mana usaha saya lakukan untuk pastikan dia kekal.”

Jelas Alba kepada Goal.

“Ia tidak betul (berita Messi pergi kerana para pemain menolak cadangan pemotongan gaji). Hal Messi tidak ada kena mengena dengan pemain, itu antara dia dengan kelab.”

“Saya tak boleh kawal semuanya, tapi saya sentiasa ada di sini. Tidak ada apa yang boleh mengejutkan saya. Jika ada 10 berita di media dan kesemuanya negatif tentang saya, ia sudah jadi kebiasaannya untuk orang fikir buruk pasal saya.”

Sumber: SB

BACA:  Dani Alves Keluar Penjara Selepas Bayar Wang Jaminan RM5.12 Juta