Bundesliga: Perlawanan Terpaksa Ditangguhkan Kerana Kepala Pembantu Pengadil Dilempar Dengan Tin Beer

Aksi pertemuan antara Bochum bertemu Borussia Monchengladbach dalam saingan Bundesliga terpaksa ditangguhkan dek kerana pembantu pengadil telah dilempar dengan tin beer oleh penyokong.

Ya, perlawanan terus dihentikan selepas penjaga garisan mengadu kepalanya dilempar dengan tin beer tersebut.

Selepas menamatkan aksi babak pertama dengan keputusan seri tanpa jaringan, Alassane Plea berjaya meletakkan Monchengladbach di hadapan 10 minit selepas sepak mula aksi babak kedua.

Jelas sekali gol itu sangat penting untuk Monchengladbach, kerana mereka sangat memerlukan tiga mata penuh untuk mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Pasukan pelawat menggandakan kedudukan mereka menerusi Breel Embolo pada minit ke-60 permainan, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka untuk mengutip tiga mata penuh.

Walau bagaimanapun, berbaki 19 minit sebelum wisel penamat dibunyikan, perlawanan tersebut terpaksa dihentikan oleh pengadil kerana salah seorang dari penyokong telah melempar tin beer ke kepala penjaga garisan.

Tin beer tersebut kena tepat di kepala Christian Gittelman dan menyebabkan penjaga garisan itu terduduk seketika sambil menggosok kepalanya.

Selepas menggosok-gosok kepalanya sambil berlutut, Christian menunjukkan isyarat ibu jari untuk memberitahu yang beliau dalam keadaan baik-baik sahaja.

Pengadil perlawanan, Cortus kemudiannya menghentikan permainan dan meninggalkan padang bersama barisan pengadil yang lain.

Para pemain pasukan Bochum kemudiannya dilihat pergi ke arah penyokong untuk meluahkan rasa kecewa mereka melihat insiden seperti itu.

Tin itu sememangnya datang dari kawasan tempat duduk penyokong dari pasukan tuan rumah dan kerana itulah Bochum memarahi penyokong mereka yang melakukan hal tak bermoral itu.

“Kami hanya mampu meminta maaf secara langsung kepada penjaga garisan, Christian Gittelman.”

Jelas Bochum menerusi satu muat naik di laman twitter mereka sebaik perlawanan tersebut dihentikan.

“Satu hal yang sangat memalukan dan petang yang benar-benar mengecewakan kami. Tindakan dungu dari penyokong yang betul-betul bodoh.”

Ironinya, sebelum sepak mula perlawanan, pihak kelab telah memuat naik video di laman media sosial mereka, dengan meminta para penyokong supaya menikmati beer masing-masing, dan jangan melempar tinnya.

Memang malang untuk Bochum kerana ada penyokong yang salah faham dengan beliau memilih untuk melempar tin tersebut, dan lebih sedih lagi ia mengenai kepala pembantu pengadil.

Insiden memalukan seperti ini sudah sering berlaku dalam dunia bola sepak hari ini, dengan beberapa insiden hampir serupa ada berlaku pada minggu lalu.

Diego Simeone kena lempar dengan penyokong Man Utd

Ketika aksi leg kedua di pusingan 16 terbaik saingan Champions League yang menemukan antara Manchester United bertemu Atletico Madrid, telah berlaku insiden penyokong melempar objek selepas tamat perlawanan.

Mungkin tak terima yang pasukan mereka kalah serta sudah tersingkir dari kejohanan, para penyokong setan merah kemudiannya memutuskan untuk melontar pelbagai objek ke arah Diego Simeone.

Pengurus Atletico Madrid itu dilihat berlari mahu kembali ke bilik persalinan sebaik selepas pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat.

Ketika perjalanan beliau menuju ke terowong, beliau telah dilempar dengan objek ke arahnya dan ada botol minuman yang sekadar lalu di atas kepala mereka.

Penyokong Galatasaray lempar objek ke arah Jordi Alba

Ketika aksi dalam saingan Europa League yang menemukan Barcelona dengan Galatasaray, penyokong pasukan tuan rumah telah mengganggu perjalanan perlawanan dengan melempar objek masuk ke padang.

Bukan hanya masuk ke padang, bahkan objek tersebut juga turut mengenai Jordi Alba yang ketika itu sedang bersedia untuk membuat lontaran ke dalam.

Penyokong pasukan tuan rumah kemudiannya tak henti-henti melempar objek ke arah Alba dan menyebabkan bintang Sepanyol itu koyak.

Alba kemudiannya merembat bola sekuat hati ke arah kumpulan penyokong yang melempar objek ke arahnya itu.

Sebaik Alba melepaskan rembatan, para pemain Galatasaray cuba berkonfrontasi dengan bintang Barca itu dan telah berlakunya insiden panas ketika itu.

Mujur saja pengadil mampu kawal keadaan dan meneruskan permainan seperti biasa.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lihat Aksi Penyelamatan Atas Garisan Tidak Masuk Akal Dari Hinteregger