Undian Liga Juara-Juara telah selesai dan setiap pasukan kini mengetahui laluan mereka ke perlawanan akhir di Munich.
Peringkat kalah mati menjanjikan aksi terbaik bola sepak Eropah tetapi dengan Aston Villa, Liverpool dan Arsenal berada di bahagian undian yang sama, perjalanan mereka ke final lebih menyerupai saingan domestik berbanding peringkat antarabangsa.
Walaupun cabaran ini sukar, ketiga-tiga pasukan dari UK boleh menarik nafas lega kerana mereka tidak perlu menghadapi perjalanan jauh. Ini amat penting memandangkan mereka juga perlu memberi tumpuan kepada saingan domestik. Liverpool dan Arsenal sedang bersaing untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris manakala Aston Villa berusaha menamatkan musim dalam kelompok 4 teratas bagi memastikan tempat dalam pertandingan Eropah musim depan.
Dalam saingan domestik, setiap pasukan hanya mempunyai sekitar 7 perlawanan di tempat lawan, menjadikan perjalanan mereka dalam Liga Perdana lebih terkawal. Namun di peringkat Eropah, semakin jauh mereka mara semakin besar beban perjalanan yang perlu ditanggung.
Dalam hal ini, Aston Villa mungkin paling bernasib baik. Mereka berkemungkinan hanya perlu melakukan 1 perjalanan ke luar England iaitu ke Belgium untuk perlawanan pusingan 16 menentang Club Brugge. Sebaliknya Arsenal mungkin berdepan jadual yang lebih mencabar dengan perjalanan lebih jauh.
Sementara itu, pertembungan Derbi Madrid di pusingan 16 terakhir dianggap paling ringan dari segi logistik. Malah, Kylian Mbappé turut meluahkan rasa lega dengan undian ini.
“Akan jadi lebih baik jika kami tidak perlu banyak mengembara — kami sudah terlalu banyak melakukan perjalanan,” katanya dalam satu temu bual selepas menjaringkan hatrik menentang Manchester City.
Format Baharu, Perjalanan Lebih Jauh
Perubahan format Liga Juara-Juara mungkin menjadi salah satu punca keletihan Kylian Mbappé.
Format baharu yang diinspirasikan daripada sistem liga Switzerland telah menambah variasi dalam jadual. Setiap pasukan akan bertemu 8 lawan berbeza, berbanding format lama yang hanya melibatkan 6 perlawanan menentang 3 pasukan secara timbal balik. Akibatnya, jumlah perlawanan peringkat kumpulan meningkat daripada 48 kepada 144, menimbulkan kebimbangan mengenai jadual padat dan kebajikan pemain.
Pemain bukan sahaja perlu beraksi lebih banyak minit tetapi mereka juga terpaksa mengharungi perjalanan lebih jauh. Setakat ini, jarak perjalanan dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini telah melebihi dua musim sebelumnya, dengan rekod lebih 190,000 batu (sekitar 305,000 kilometer).
Jika dibandingkan dengan sukan di Amerika, jarak perjalanan pasukan Eropah masih rendah. Sebagai contoh, pasukan NBA biasanya mengembara lebih daripada 40,000 batu setiap musim.
Satu kajian mengukur jarak perjalanan udara pasukan Eropah berdasarkan jarak garis lurus antara stadium tuan rumah dan lawan, tanpa mengambil kira Liga Persidangan Europa.
Dalam kalangan kelab Inggeris, Manchester United di bawah Ruben Amorim mencatat perjalanan paling jauh, hampir 9,500 batu untuk kempen Liga Europa. Mereka telah beraksi di Bucharest (FCSB) dan Istanbul (Fenerbahce).
Sementara itu, Aston Villa dalam kempen Liga Juara-Juara pertamanya telah mengembara ke Belgium, Perancis, Jerman, dan Switzerland. Jumlah perjalanan mereka sedikit lebih jauh berbanding satu perjalanan ke Trabzonspor dalam Piala UEFA 1994-95, yang berjarak 4,180 batu.
Tidak menghairankan jika pasukan di Liga Europa mencatat perjalanan lebih jauh kerana kejohanan ini melibatkan pasukan dari kawasan yang lebih jauh berbanding Liga Juara-Juara, yang kebanyakannya didominasi oleh kelab-kelab dari Eropah Barat.
Namun, tidak kira siapa yang paling banyak mengembara musim ini, mereka masih jauh daripada rekod 2 kelab gergasi Portugal, Porto dan Benfica. Sejak musim 1992-93, kedua-dua pasukan ini tidak pernah gagal layak ke pertandingan Eropah dan telah mengumpul hampir 700,000 batu perjalanan dalam kejohanan UEFA, hampir 3 kali jarak ke bulan!
Benfica juga memegang rekod perjalanan paling jauh dalam sejarah bola sepak Eropah. Dalam Liga Juara-Juara musim 2015-16, mereka menempuh lebih daripada 7,000 batu untuk berdepan kelab Kazakhstan, Astana. Jarak ini hampir menyamai penerbangan dari London ke Hawaii!
Adakah Perjalanan Jauh Mempengaruhi Prestasi Pasukan?
Pengurus sering bimbang tentang perjalanan jauh dalam saingan Eropah kerana ia boleh menjejaskan prestasi di liga domestik.
Pada musim 2009-10 selepas undian Liga Juara-Juara, pengurus Liverpool ketika itu, Rafael Benitez lega kerana pasukannya tidak perlu mengembara terlalu jauh.
“Perkara paling penting, seperti biasa adalah perjalanan yang tidak terlalu sukar,” katanya.
Malah, perjalanan dalam negara pun boleh menjadi isu. Selepas Manchester City tewas 1-0 kepada Tottenham pada Februari 2023, Pep Guardiola mengeluh.
“Sangat meletihkan untuk datang ke London.”
Arsenal memegang rekod moden untuk perjalanan paling jauh dalam satu musim di pertandingan Eropah, dengan lebih 21,000 batu dalam Liga Europa 2018-19. Mereka mara ke final menentang Chelsea di Baku, sejauh 6,000 batu. Perjalanan yang bukan sahaja mencabar secara logistik tetapi juga menambahkan keletihan pasukan. (Chelsea juga menghadapi cabaran yang sama!)
Tetapi sejauh mana perjalanan jauh benar-benar memberi kesan kepada prestasi pasukan?
Menurut Stephen Smith, CEO Kitman Labs sebuah syarikat teknologi dan analitik sukan, jarak perjalanan adalah faktor utama yang mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Hasil kajian kami menunjukkan bahawa jarak perjalanan adalah faktor paling besar yang mempengaruhi prestasi,” katanya. “Bukan sahaja jarak itu tetapi juga bagaimana ia berinteraksi dengan faktor lain seperti keserasian pasukan, momentum dan tempoh pemulihan.”
Kajian Kitman Labs, yang menggunakan kecerdasan buatan (Air) untuk menganalisis lebih daripada 61,000 perlawanan dalam tujuh liga utama Eropah sepanjang 2 dekad lalu mendapati bahawa perjalanan jauh memberi kesan lebih besar kepada keputusan perlawanan berbanding kekuatan lawan atau prestasi semasa pasukan.
Smith menjelaskan bahawa perjalanan jauh boleh mengganggu pola tidur, pemakanan, dan ritma sirkadian iaitu perubahan fizikal, mental dan tingkah laku badan dalam tempoh 24 jam.
“Anda tidak boleh meniru tilam yang anda gunakan setiap malam, suhu bilik yang biasa dan semua perkara kecil ini sebenarnya memberi kesan besar,” katanya.
Walaupun sains sukan moden dapat membantu mengurangkan kesan ini tetapi kemampuannya tetap terhad.
Menurut Smith, pengurusan skuad yang bijak boleh menjadi penyelesaian terbaik. Penggunaan data analitik membolehkan jurulatih mengatur strategi penggiliran pemain secara lebih efektif, memastikan mereka mendapat rehat yang cukup tanpa menjejaskan keserasian pasukan.
Kesan Perlawanan Eropah pada Pertandingan Domestik
Aston Villa menghadapi kesukaran untuk mengekalkan prestasi kerana perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.
Daripada 8 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang dimainkan selepas aksi Eropah, mereka hanya menang 1 kali – menewaskan Wolves pada September selepas perlawanan pertama Liga Juara-Juara menentang Young Boys.
Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira. 2 perlawanan selepas aksi Eropah adalah menentang Liverpool dan Bournemouth – lawan yang sukar walau dalam apa jua keadaan. Selain itu, ia merupakan kempen pertama mereka di Liga Juara-Juara atau Piala Eropah sejak musim 1982-83, menjadikannya satu pengalaman baharu bagi ramai pemain dalam skuad itu.
Secara keseluruhan, perjalanan jauh dalam saingan Eropah memang memberi kesan kepada keputusan perlawanan tetapi jarang menjejaskan prestasi pasukan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Analisis data menunjukkan bahawa purata mata per perlawanan (PPG) bagi pasukan Liga Juara-Juara selepas aksi Eropah hampir sama dengan purata mata mereka dalam perlawanan liga lain. Perbezaan dari musim ke musim juga sangat kecil, menunjukkan bahawa kesannya lebih kepada kebetulan berbanding satu corak yang jelas.
Namun menurut Smith, kesan buruk perjalanan jauh tidak selalu dirasai serta-merta. Sebaliknya, ia berkumpul secara perlahan sepanjang musim yang akhirnya boleh menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.
Sebagai contoh, Newcastle menghadapi kesukaran untuk mengimbangi komitmen mereka dalam Liga Juara-Juara dan Liga Perdana musim lalu. Akhirnya menyebabkan mereka menamatkan musim di tempat ke-7. Begitu juga dengan Aston Villa yang kini berada di tangga ke-7. Ia menunjukkan betapa mencabarnya untuk bersaing dalam kedua-dua kejohanan secara serentak.
Bagaimana perubahan jumlah batu perjalanan dalam saingan Eropah dari satu musim ke musim berikutnya mempengaruhi prestasi pasukan dalam liga domestik?
Hasil kajian mendapati bahawa pasukan yang melakukan perjalanan lebih dekat dalam saingan Eropah cenderung mengumpul lebih banyak mata dalam Liga Perdana. Walaupun kesannya tidak besar, ia tetap boleh menjadi faktor penentu dalam perebutan kejuaraan atau kelayakan ke Liga Juara-Juara. Secara purata, tambahan 10,000 batu perjalanan dalam kejohanan Eropah dikaitkan dengan kehilangan kira-kira 3 mata sepanjang musim, perbezaan kecil yang boleh memberi impak besar dalam persaingan liga.
Satu contoh jelas ialah musim pertama Antonio Conte di Chelsea. Pada musim sebelumnya, Chelsea gagal layak ke pertandingan Eropah dan hanya mengumpul 50 mata dalam Liga Perdana. Namun pada musim 2016-17, tanpa gangguan perlawanan pertengahan minggu, pasukan Conte tampil dominan dengan 93 mata dan menjulang kejuaraan. Ia juga dibantu dengan ketajaman Diego Costa di hadapan gol.
Namun, keadaan berubah pada musim berikutnya apabila Chelsea kembali beraksi di Liga Juara-Juara. Jadual yang padat memberi kesan dan selepas perjalanan jauh ke Azerbaijan untuk menentang Qarabag, Conte mengakui bahawa “sangat sukar untuk bermain selepas perjalanan jauh dan tanpa masa rehat yang cukup untuk pemain saya.”
Bagaimanapun, kurangnya aksi Eropah tidak semestinya menjamin kejayaan dalam liga domestik. Contohnya, Nottingham Forest menamatkan musim 1995-96 di tempat ke-9 sambil mara ke suku akhir Piala UEFA. Tetapi pada musim berikutnya, walaupun mempunyai jadual tidak padat, mereka tetap tersingkir daripada Liga Perdana.
Kesimpulan: Kepentingan Pengurusan Perjalanan dalam Bola Sepak Moden
Logistik perjalanan dalam bola sepak Eropah tidak akan pernah menggantikan faktor utama seperti bakat pemain dan strategi taktikal dalam menentukan keputusan perlawanan. Jika jarak perjalanan menjadi faktor utama, kelab-kelab London, yang secara umumnya mempunyai perjalanan lebih dekat dalam Liga Perdana sepatutnya mendominasi liga. Namun realitinya, kelab London hanya memenangi 25% daripada kejuaraan Liga Perdana setakat ini.
Dengan jadual bola sepak yang semakin padat, pengurusan perjalanan memainkan peranan penting dalam prestasi pasukan. Perjalanan jauh dan kerap bukan sahaja meningkatkan keletihan fizikal tetapi juga memberi kesan kepada mental serta proses pemulihan pemain.
Smith menegaskan bahawa memahami dan mengurus faktor ini adalah kunci kejayaan dalam bola sepak moden.
“Jika pasukan dapat menurunkan pemain terbaiknya dengan lebih kerap dan meningkatkan prestasi ke tahap maksimum, ia akan menghasilkan persaingan yang lebih menarik, perlawanan yang lebih berkualiti dan pengalaman yang lebih baik untuk liga bola sepak,” katanya.
Dalam Liga Juara-Juara, di mana persaingan sangat sengit dan setiap kesilapan boleh membawa padah, mengekalkan kecergasan fizikal dan mental adalah aspek yang sangat penting. Pasukan yang mampu mengurus perjalanan dengan baik akan mempunyai kelebihan besar dalam saingan yang semakin mencabar ini.
Namun, sekurang-kurangnya untuk musim ini, jumlah perjalanan yang lebih rendah boleh menjadi kelebihan bagi pasukan seperti Arsenal, Liverpool, dan Aston Villa – satu faktor kecil yang mungkin memberi impak besar dalam kempen mereka.