Perjalanan Cardiff dalam Liga Perdana Inggeris hanya bertahan semusim selepas tumpas di tempat sendiri kepada Crystal Palace malam tadi sekaligus mengesahkan penyingkiran mereka dari liga paling berprestij di bumi Inggeris.
Hanya kemenangan ke atas Crystal Palace sahaja yang mampu membawa perjuangan Cardiff ke perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini, namun malangnya impian mereka terkubur di tengah jalan.
Palace nyata mempunyai idea lain dan berjaya mendahului 2-1 selepas tamat babak pertama hasil jaringan Wilfried Zaha dan Michy Batshuayi. Andros Townsend meletakkan Palace pada kedudukan lebih selesa dengan jaringan pada minit ke-70.
Penyerang Cardiff, Bobby Reid berjaya merapatkan jurang pada lewat permainan tetapi segalanya sudah terlambat buat Cardiff dan mereka ssecara rasmi menyertai Huddersfield dan Fulham untuk beraksi dalam Liga Kejohanan pada musim hadapan.
Cardiff dan Fulham baru sahaja memenangi promosi untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris tahun lepas tetapi ‘honeymoon’ mereka tidak bertahan lama berikutan persembahan buruk sepanjang musim.
Selain berdepan masalah prestasi kerana ketumpulan jentera serangan, Cardiff turut melihat pemain yang baru ditandatangani mereka, Emiliano Sala terlibat dalam kemalangan maut apabila kapal terbang yang dinaikinya terhempas di English Channel.
Sala dibeli dengan harga rekod kelab sekitar £15 juta tetapi pemain tersebut tidak sempat melakukan sebarang penampilan untuk Cardiff berikutan nahas maut tersebut.
Walaupun hanya bertahan semusim di Liga Perdana Inggeris, pengurus Cardiff Neil Warnock menganggap musim 2019/2019 sebagai tahun terbaik sepanjang karier pengurusannya. Warnock turut percaya Cardiff kini berada pada kedudukan yang jauh lebih baik berbanding ketika beliau tiba di kelab tersebut 3 tahun lepas.
“Semua orang akan berasa kecewa selepas mengalami relegasi. Tidak betul jika anda tidak mempunyai perasaan tersebut tetapi saya tetap berasa bangga dengan pasukan ini.”
“Pemain saya berusaha bersungguh-sungguh tetapi anda boleh melihat sendiri limitasi yang ada pasukan ini.”
“Jentera serangan mereka terlalu bagus buat kami, tetapi kami tetap mencipta banyak peluang menjaringkan gol pada separuh masa kedua.”
“Itulah ceritanya di Liga Perdana Inggeris, anda perlu mengambil peluang seperti itu tetapi kami tidak mempunyai penjaring gol tetap musim ini. Ia agak mengecewakan.”
3 – Neil Warnock has suffered his third top-flight relegation, going down with three different teams in three different decades – Notts County in 1991-92, Sheffield United in 2006-07 and Cardiff City in 2018-19. Traverse.
— OptaJoe (@OptaJoe) May 4, 2019
“Tetapi jika anda melihat kembali detik ketika saya mula tiba di kelab ini, saya rasa pada ketika itu kelab ini berada dalam keadaan yang sukar.”
“Anda lihat peminat kami pada malam ini, kelab ini seperti telah dilahirkan semula dan saya cukup bangga dengan sokongan yang diberikan para peminat kami. Saya tida pernah merasai pengalaman seperti ini sepanjang karier saya.”