Suatu ketika dahulu, ketika internet belum lagi dicipta, terdapat seorang pemuda yang mempunyai impian untuk menjadi pemain bola sepak yang terkenal. Carlos Henrique mungkin satu nama yang tidak dikenali hari ini tetapi sebenarnya dia adalah merupakan lagenda penipu dalam bola sepak sehingga digelar ‘Kaiser’.
Hebat kan?
Menurut Henrique, nama Kaiser diberikan kerana persamaannya dengan lagenda Jerman, Franz Beckenbauer. Dalam karier selama 30 tahun, Henrique telah ‘bermain’ di banyak kelab sekitar Brazil, Mexico, Amerika Syarikat dan juga Perancis. Setelah berhempas pulas dalam kariernya, Kaiser akhirnya bersara.
Ketika kecil, seperti impian kebanyakan kanak-kanak di Brazil, Kaiser mahu menjadi pemain bola sepak. Sebenarnya dia agak berbakat ketika muda dan telah disunting oleh kelab Mexico, Puebla. Walaubagaimanapun, dia sedar bahawa bakatnya sebenar tidak cukup untuk menempa nama dalam sukan ini, tetapi dia tidak putus asa.
Bermodalkan berkawan rapat dengan pemain ternama seperti Romario, Renato Gaucho dan Edmundo si Binatang, Kaiser berjaya bergiat sebagai pemain bola separuh masa dan menipu sepenuh masa. Disebabkan hubungannya dengan pemain-pemain di atas, Kaiser berjaya mendapatkan tempoh percubaan sekurang-kurangnya selama tiga bulan dengan beberapa kelab.
Sebaik sahaja diterima bermain, Kaiser mula melancarkan modus operandinya. Pertama, dia akan meminta kelab untuk memberikan masa kepadanya untuk meningkatkan kecergasan sebelum dia mampu untuk turun bermain dalam perlawanan sebenar, dan apabila dia menyertai sesi latihan, dia akan berpura-pura jatuh dan memegang hamstring sambil meraung kesakitan.
Disebabkan ketika itu tiada peralatan untuk memeriksa tahap kecederaan seperti hari ini, kelab tiada pilihan selain mempercayai ‘kecederaannya’, sekaligus membiarkannya menjalani rawatan dan pada masa yang sama, dia mendapat gaji daripada kelab. Dengan kata lain, Kaiser akan makan gaji buta di setiap kelab yang disertainya.
Dengan status sebagai pemain bola sepak, Kaiser menggunakan gelaran tersebut untuk memuaskan nafsu serakah bersama wanita-wanita. Meskipun berjaya menipu banyak pihak, perancangannya tidaklah selalu berjalan lancar.
Di Botafogo, dia sering membawa telefon bimbit yang besar- lambang kekayaan ketika itu – dan menggunakannya untuk membuat panggilan palsu dalam Bahasa Inggeris, dan mengatakan bahawa terdapat kelab-kelab eropah yang berminat untuk mendapatkannya.
Memandangkan rakan sepasukannya tidak mempunyai English education seperti Usop Wilcha, mereka serta merta percaya akan kata-kata Kaiser, kecuali doktor pasukan, Ronaldo Torres yang mendapat pendidikan di England.
Mungkin bahasa Inggeris Kaiser telampau karut seperti Pak Kodi Kampung Kalut, maka doktor tersebut bernekad untuk menyiasat sendiri latar belakang Kaiser. Dalam siasatannya, Ronaldo Torres menemui bahawa telefon bimbit Kaiser sebenarnya merupakan mainan!
Pada awal 1990-an, Kaiser menyertai satu lagi kelab Brazil, Bangu. Untuk memikat Bangu, Kaiser mengatakan bahawa dia merupakan penjaring terbanyak dalam liga di negara lain, dan presiden kelab terus mempercayainya. Di Bangu, Kaiser mempunyai satu masalah – dia perlu selalu bermain. Ini kerana presiden kelab mahukan penyerang bintang mereka untuk selalu mengetuai barisan serangan.
Ketika masih dalam proses menerima ‘rawatan’ akibat kecederaan palsu, Kaiser terkejut kerana dipilih untuk membarisi kesebelasan utama dengan jaminan ketua jurulatih bahawa dia akan mendapat perlindungan daripada pengadil. Ketika memanaskan badan, Kaiser sangat risau reputasinya akan jatuh jika bermain dengan teruk, lantas dia terfikir satu idea bernas.
“Den perasan yang penyokong lawan tengah marah pemain pasukan sendiri. Jadi, apo den buat, den panjat pagar den maki penyokong lawan,” kata Kaiser dalam satu termuramah.
Perancangannya berjaya dan Kaiser dilayangkan kad merah oleh pengadil sebelum menjejakkan kaki ke padang! President kelab yang berang dengan tindakannya itu, meminta penjelasan daripada Kaiser, dan dengan hati yang terbuka Kaiser menjawab,
“Sebelum pak cik cakap apo-apo, pak cik dongar dulu. Tuhan bagi sey sorang abah, tapi dah moningaal. Tapi Tuhan bagi sey sorang lagi abah,” kata Kaiser sambil memegang bahu presiden kelab.
“Urang nak kutuk sey, sey takpo. Tapi kalau urang kato abah sey ni pencuri, sey panas! Itu sebab sey maki dio urang balik bah,” tambah Kaiser.
Mengalir air mata jantan presiden kelab lalu menambah kontrak Kaiser selama enam bulan!
Bosan dengan arena bola sepak di Amerika, Kaiser ingin menguji kehebatannya di Perancis pula dengan menyertai Ajaccio – pasukan di pulau Corsica. Ketika itu, bola sepak Brazil sangat dipandang mulia dan kehadiran seorang pemain import yang berasal dari negara samba tersebut pastinya menambahkan ghairah peminat untuk memberikan sokongan.
Dalam sesi latihan pertama Kaiser bersama Ajaccio, ribuan peminat telah membanjiri stadium untuk melihat bintang baru berlatih. Menyedari dia akan reputasinya akan jatuh jika peminat melihat aksi sarkisnya, Kaiser menambil setiap bola lalu ditendangnya ke arah penyokong, konon-kononya sebagai hadiah kepada mereka yang sudi hadir.
Memandangkan mereka kehabisan bola, maka latihan pada hari tersebut sekadar memfokuskan kepada dril kecergasan dan Kaiser tidak ada masalah dalam hal ini. Walaupun kerap ‘cedera’ bersama Ajaccio, Kaiser kekal di sana selama beberapa tahun sebelum bersara. Secara totalnya, sepanjang 20 tahun karier bola sepaknya, Kaiser sekadar bermain sebanyak 30 perlawanan!
Dia mungkin bukan bintang seperti Pele, Maradona, Romario dan Dollah Salleh, tapi ceritanya wajar disampaikan untuk generasi berikutnya supaya peminat dan penyokong bola sepak tidak lagi tertipu dengan makhluk seperti Kaiser.
Tetapi di Malaysia, mungkin Kaiser versi baru masih ada dan sebab itulah kita selalu dapat lihat pemain import yang hadir sebagai penjaring terbanyak sekian-sekian negara, tetapi gagal untuk menembusi gol yang dikawal Apek. Kesian juga peminat dan penyokong bola sepak Malaysia. Dah la kena tipu dalam politik, dalam bola pun kena tipu.
Artikel dipetik dari Sportskeeda