Carvajal Kritik Pemain Muda Real Madrid Berikutan Kekalahan Mengejut Di Tempat Sendiri

Pemain pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal mengkritik persembahan pemain muda yang diturunkan Real Madrid ketika tewas mengejut di tangan CSKA Moscow dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu Stadium, Real Madrid dimalukan CSKA Moscow dengan jaringan 3 gol tanpa balas. Ia merupakan kekalahan yang sangat memalukan dan juga kekalahan terbesar di tempat sendiri yang pernah dialami Los Blancos sepanjang sejarah Liga Juara-Juara Eropah.

CSKA Moscow cipta kejutan tewaskan juara bertahan di Santiago Bernabeu

Sebelum sepak mula perlawanan tersebut, Real Madrid sudah mengesahkan tempat mereka selaku juara kumpulan G dengan mengutip 12 mata.

Pengurus Real Madrid, Santiago Solari menggunakan kesempatan tersebut untuk merehatkan beberapa pemain utama dan menurunkan beberapa pemain muda dalam kesebelasan utama. Namun begitu, perubahan taktikal Solari nyata membawa padah dengan Real Madrid ketinggalan 2-0 selepas babak pertama berakhir.

Antara pemain muda yang diturunkan adalah Vinicius Junior, Marcos Llorente, Federico Valverde dan Javier Sanchez de Felipe tetapi persembahan mereka gagal mencapai standard yang diperlukan dan turut mengecewakan Carvajal.

“3 minggu lalu, ada pihak yang mahu Real Madrid menurunkan pemain kelahiran akademi kelab beraksi [menentang CSKA Moscow].”

“Tetapi hari ini kita dapat mengetahui mereka ini tidak cukup bagus untuk beraksi dalam pasukan utama.”

Carvajal hanya mampu gigit baju

Antara pemain yang menerima ejekan dari penyokong Real Madrid adalah pemain tengah, Isco. Dalam satu insiden yang menyaksikan percubaan Isco gagal menepati sasaran, pemain berusia 26 tahun itu berpaling ke arah peminat dan dilaporkan berkata,

“Apa lagi yang anda [penyokong Real Madrid] mahu saya lakukan ?”

Ketika diminta untuk mengulas kejadian tersebut, Carvajal berkata Isco sudah lama berada di Real Madrid dan juga pemain yang berani walaupun mereka sedang menghadapi waktu yang sukar ketika ini.

“Saya tidak tahu sama ada Isco diejek penyokong Real Madrid atau tidak, tetapi apa yang boleh saya cakap mengenai Isco adalah beliau telah berada di sini bertahun lamanya dan merupakan pemain yang berani.”

“Apabila keadaan menjadi sukar buat pasukan, beliau akan meminta bola dan cuba mengubah keputusan perlawanan dan tidak akan menghilang.”

Real Madrid perlu cepat untuk melupakan kekecewaan ini kerana mereka bakal menghadapi Rayo Vallecano di tempat sendiri dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam La Liga.

Carvajal mendakwa seluruh pasukan akan melupakan kekalahan ini dengan cepat dan beliau juga menyokong penuh keputusan yang dilakukan Solari dalam soal pemilihan pemain.

Junior antara pemain muda yang diturunkan tetapi gagal menyerlah

“Bagi mereka yang menonton perlawanan ini, ia tidak membawa sebarang makna. Ia masih perlawanan rasmi dan kami tidak bermain dengan baik.”

“Pada separuh masa pertama kami mencipta banyak peluang tetapi melakukan beberapa kesilapan di bahagian pertahanan dan CSKA Moscow berjaya menghukum kami.”

“Kami kecewa kalah di tempat sendiri tetapi kami menamatkan peringkat kumpulan di tempat teratas dan itulah objektif paling utama.”

BACA:  Neymar Retak Tulang Metatarsal, Tidak Akan Dapat Bermain Menentang Real Madrid